Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus komited dalam membantu perkembangan dan daya saing usahawan tempatan menerusi kajian serta inovasi berkaitan perniagaan tempatan.

Menerusi satu program pembentangan akhir oleh pelajar kursus Komunikasi Pemasaran Bersepadu, para pelajar terlibat dalam membentangkan hasil kerja mereka dengan penglibatan usahawan perniagaan berasaskan produk tempatan Sabah.

Dengan membawa tema, “The 2nd Product Development and Promotional Campaign Competition for BG31903 Integrated Marketing Communication Pitching to Judges”, program pembentangan akhir yang diadakan di FPEP itu melibatkan 93 orang pelajar Tahun Dua, yang kemudiannya membentuk 13 kumpulan bagi pembentangan hasil kerja.

Menurut Pensyarah Kanan FPEP, Dr Siti Nor Bayaah Ahmad yang mengendalikan kursus tersebut, program itu antara lain bertujuan melibatkan pelajar dari program pemasaran untuk mencipta serta menghasilkan idea pembungkusan baru dan inovatif.

“Program ini juga menjana komunikasi digital yang efektif bagi membantu usahawan tempatan untuk mengembangkan keluaran mereka di peringkat tempatan dan nasional.

“Selain itu, usaha ini turut memberi peluang pelajar tahun dua Program Pemasaran yang terlibat untuk menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang telah dipelajari dalam menghasilkan idea yang unik dan kreatif, sejajar dengan sasaran program pemasaran iaitu menghasilkan graduan berilmu, berkualiti dan berdaya saing.

“Tambahan pula, ini merupakan salah satu tonggak bagi merealisasikan aspirasi penubuhan UMS sebagai wadah ilmu untuk membantu komuniti tempatan dalam meningkatkan sosioekonomi dan menyemai nilai keusahawanan dalam kalangan pelajar UMS,” katanya.

Siti Nor Bayaah turut memaklumkan, program pengemukaan idea ini melibatkan seramai tujuh pensyarah dari pelbagai program FPEP bersama dengan empat orang usahawan tempatan yang bertindak sebagai penilai pertandingan.

“Empat usahawan itu ialah Juddy Lasisu, pemilik Aurora Mutiara Enterprise yang menghasilkan produk dari buah-buahan dan tumbuhan yang dikeringkan; Rosalia Anthony, pengasas Ohakakita Food Sdn Bhd, satu produk berkaitan sos pencicah, sambal tausi dan sambal tuhau.

“Vellarry Maydelina Yong, pengusaha Oupus Organic yang menghasilkan produk krim berasaskan buah bambangan; dan Sainah Asoh, pengusaha Tumuna Enterprise yang baru melibatkan diri dengan produk keladi serbuk, keladi keping dan kopi Pensiangan.

“Pelajar yang terlibat telah menyelidik, mengaplikasi dan mencadangkan pembungkusan baru serta melaksanakan pengiklanan digital melalui aplikasi Tik Tok sebagai mempromosi produk usahawan-usahawan wanita ini,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada usahawan-usahawan wanita tempatan tersebut atas sumbangan hadiah kepada pemenang bagi setiap kategori produk yang dipersembahkan oleh setiap kumpulan pelajar.

“Penglibatan usahawan tempatan ini telah memberi peluang kepada pelajar untuk berinteraksi dengan mereka melalui pembentangan idea dan mempromosikan hasil kerja kepada industri seperti yang berlaku di luar universiti.

“Ini membolehkan mereka mendapat pengalaman berharga iaitu mengaplikasikan idea pembungkusan produk yang kreatif dan promosi secara realiti dan bukan hanya bersandarkan kepada teori sahaja,” katanya.

Beliau turut berharap usaha itu dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penglibatan lebih ramai usahawan mikro, kecil dan sederhana untuk bersama-sama dengan pelajar universiti dalam menghasilkan output kreatif bagi organisasi mereka.

Hadir sama pada program tersebut Timbalan Dekan Hal Ehwal pelajar FPEP, Dr. Noor Fzlinda Fabeil; Ketua Program Pemasaran, Dr Brahim Chekima; dan pensyarah kanan FPEP, Charlie Albert Lasuin yang turut bersama mengendalikan kursus Komunikasi Pemasaran Bersepadu.

 

Menyedari pelbagai cabaran graduan memasuki alam kerjaya, Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar (PKPKP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan program SME Bank Career Day @ UMS.

Menurut Pengarah PKPKP, Profesor Madya Ts. Dr. Sidah Idris, program tersebut memberi ruang dan pendedahan para pelajar mengenai pelbagai peluang pekerjaan serta mengenal pasti minat dan kemahiran berkaitan dunia perbankan.

Sidah berkata selain itu program tersebut membantu dan membimbing para pelajar dalam merancang laluan kerjaya yang sesuai dengan aspirasi dan potensi diri.

“Program ini membantu pelajar memahami keperluan industri dan membina rangkaian profesional yang berguna.

“Dengan kerjasama SME Bank, program ini mendedahkan dengan lebih terperinci tentang program latihan industri dan Graduate Talent yang ditawarkan oleh SME Bank.

“Saya percaya program ini akan memberi manfaat besar kepada para pelajar dalam menyediakan diri mereka untuk melangkah ke alam kerjaya dengan lebih yakin dan bersedia,” katanya.

Pada program tersebut, seramai 60 pelajar daripada pelbagai program akademik menyertai program tersebut yang turut menyediakan bengkel penyediaan resume serta aktiviti bersifat interaktif.

“Saya berharap agar semua peserta dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada pada hari ini. Gunakanlah setiap sesi sebagai platform untuk menimba ilmu, bertanya soalan, dan membina jaringan yang akan membantu dalam perjalanan kerjaya anda kelak,” tambah Sidah.

 

Pameran Solo “The Kingdom: Rivers and Tributaries (II)” oleh pengkarya seni abstrak tersohor dari Negara Brunei Darussalam, Pengiran Abd. Wahab Hassan Al-Abbas di Galeri Azman Hashim Universiti Malaysia Sabah (GAH-UMS) memperlihatkan usaha galeri tersebut dalam memartabatkan hasil seni pengkarya dari rantau Borneo.

Pameran yang berlangsung bermula 27 Jun sehingga 15 Ogos itu mempamerkan 82 karya yang mengangkat pelbagai kisah sejarah dan keunikan biodiversiti di Kepulauan Borneo yang diterjemahkan melalui hasil seni berbentuk abstrak.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof dalam ucapannya sempena perasmian pameran tersebut baru-baru ini berkata, kepelbagaian kaum dan budaya di negeri Sabah itu sendiri merupakan satu keunikan yang berpotensi untuk diceritakan melalui hasil karya seni.

“Melihat kepada potensi itu, GAH-UMS ini ditubuhkan sebagai menyokong usaha-usaha penggiat seni di Sabah dalam menghasilkan karya serta mengembangkan lagi industri seni khususnya seni visual di negeri ini.

“Walaupun dengan kepesatan teknologi serta perkembangan kecerdasan buatan yang telah menggantikan pelbagai kemahiran, namun bidang seni masih memerlukan sentuhan manusia dan tidak boleh diganti dengan kemajuan teknologi,” katanya.

Beliau turut menyeru para pelajar UMS khususnya pelajar program Teknologi Seni Visual, Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) untuk memanfaatkan program pameran yang giat dijalankan oleh GAH-UMS dalam mempelajari dan mendalami bidang seni daripada pengkarya-pengkarya berpengalaman sebagai panduan untuk kerjaya pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Pengiran Abd. Wahab menjelaskan, pameran solonya antara lain mahu membawa potensi dimiliki rantau Borneo ke peringkat antarabangsa.

“Banyak hasil karya pengkarya berwibawa serantau boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa dan usaha ini tidak hanya memberi manfaat kepada pengkarya seni, malah mampu memberi nilai keuntungan kepada kerajaan negeri khususnya dalam memacu sektor ekonomi dan pelancongan serantau.

“Justeru, usaha-usaha seperti meningkatkan infrastruktur bagi menyokong industri seni serta memperbanyakkan lagi platform untuk pameran seni perlu dilaksanakan dalam mengembangkan lagi industri seni serantau,” ujar beliau.

Hadir sama pada perasmian pameran tersebut Konsul, Konsulat Agung Negara Brunei Darussalam di Sabah, Mohamad Ashrul Abdul Samad; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Lembaga Pembangunan Seni Negara, Rohana Mohd. Yusof; dan Pengarah GAH-UMS, Prof. Madya Dr. Mohammad Puad Bebit.

 

Persatuan Pegawai Pengurusan dan Profesional Universiti Malaysia Sabah (PPUMS) bersama Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) Sabah Chapter telah mengadakan program larian “7KM Campus Run” sebagai memupuk kesedaran tentang kepentingan penjagaan kesihatan, di samping menjana dana kebajikan bagi membantu pertubuhan amal terpilih.

Program larian di sekitar kampus UMS itu mendapat sambutan baik apabila kira-kira 890 peserta dalam kalangan pelajar sekolah rendah, menengah, pelajar universiti, kolej dan politeknik, dan orang awam dari pelbagai peringkat umur telah mengambil bahagian.

Program yang bermula seawal jam 6 pagi itu melibatkan larian sejauh 7KM bermula dari Dataran Dewan Canselor UMS dan merentasi jalan ke Dewan Resital, simpang berhampiran Galeri Azman Hashim, Jalan Canselori, mengelilingi Jalan Masjid, sebelum merentasi ke Bulatan Menara Jam UMS melalui Jalan Banjaran dan berakhir semula di Dataran Dewan Canselor.

Perasmian penutupan program larian tersebut disempurnakan oleh Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Negeri Sabah, Peto Galim yang mewakili Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud.

Dalam ucapannya, beliau memuji kolaborasi antara PPUMS dan PAM Sabah Chapter dalam menjayakan program tersebut

“Acara sukan larian seperti ini bukan hanya memberikan faedah fizikal, malah memupuk nilai-nilai penting seperti disiplin, kerjasama dan kecekalan mental.

“Ini membantu kita membentuk aspek kepimpinan yang berdaya saing dengan memahami bahawa kejayaan datang melalui usaha gigih, komitmen dan kecekalan,” katanya.

Beliau menambah, melalui perkongsian tersebut bukan hanya berjaya menganjurkan acara sukan yang berkualiti, tetapi turut menyampaikan mesej tentang kepentingan pemeliharaan kesihatan dan kebajikan masyarakat secara lebih meluas.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor turut merakamkan penghargaan kepada PPUMS, PAM Sabah Chapter, penaja-penaja serta sukarelawan yang terlibat dalam menjayakan acara tersebut.

“Sokongan ini telah membolehkan kita bukan sahaja menganjurkan acara ini dengan jayanya, tetapi juga memberi impak positif kepada masyarakat melalui sumbangan yang dikumpulkan.

“Justeru, marilah kita terus menyokong antara satu sama lain dalam usaha untuk memupuk kesihatan yang baik dan membantu mereka yang memerlukan,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, Peto turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM3,000 kepada Rumah Amal Bukit Harapan, serta menyampaikan hadiah kemenangan kepada peserta larian dari pelbagai kategori.

Hadir sama pada majlis tersebut Pengerusi PAM Sabah Chapter, Mok Juang Yu; Pengurus Besar Nippon Paint Sabah Sdn. Bhd., Daniel Yong; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin; Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; dan Presiden PPUMS, Alna Tugon.

 

Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar (PKPKP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Maybank telah mengadakan Program Maybank Funancial Day di Dewan Auditorium Perpustakaan UMS, baru-baru ini.

Menurut Timbalan Pengarah PKPKP, Dr. Nur Thara Atikah Zainal, program tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran kewangan dalam kalangan pelajar dan golongan muda sebagai persiapan memasuki alam kerjaya.

Katanya adalah penting untuk para pelajar dan graduan baharu mempunyai impian mencapai kebebasan kewangan tanpa mengira latar belakang sosial dan ekonomi.

“Penganjuran program ini juga sebagai platform mengukuhkan kerjasama industri dan universiti dalam usaha meningkatkan pengetahuan mengenai kewangan serta memberi peluang kepada kebolehpasaran graduan negeri Sabah.

“Bakal graduan perlu mempersiapkan diri dengan ilmu berkaitan pengurusan kewangan selain memastikan resume dan grooming diri yang baik sebelum melangkah ke alam kerjaya,” katanya.

Sebanyak 145 peserta menyertai program tersebut yang terdiri daripada pelajar dan alumni UMS.

Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan seperti cabutan bertuah, bengkel persediaan kerjaya, ceramah penyediaan resume serta tip temu duga agensi kewangan.