enactus ums naib juaraRABU, 05 OGOS - Pasukan ENACTUS Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus mempamerkan pencapaian cemerlang apabila muncul naib juara dalam pertandingan ENACTUS Malaysia National Cup 2015 yang berakhir kelmarin.

Pasukan itu berjaya menyingkirkan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di peringkat akhir yang berlangsung di Pusat Konvensyen dan PameranMatrade (MECC) Kuala Lumpur.

Namun ENACTUS UMS terpaksa akur dengan saingan hebat dari Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Kampus Sultan Haji Ahmad Shah (KSHAS) yang kemudiannya muncul sebagai juara keseluruhan.

Tempat ketiga dan keempat masing-masing disandang oleh UUM dan USIM.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMS, Prof. Dr. Mohd Harun Abdullah turut melahirkan rasa bangga atas pencapaian yang dikecapi pasukan universiti.

“Tahniah kepada Pasukan ENACTUS UMS yang telah berjaya mendapat tempat kedua di peringkat kebangsaan,” ujarnya dalam laman facebook rasminya hari ini.

Bahagian Media dan Citra

Oleh Salbinous Saribun

gambar ncRABU, 05 OGOS - Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah mengucapkan takziah terhadap keluarga Nurul Liyana Mahmod, pelajar Fakulti Pertanian Lestari UMS yang maut dalam kemalangan pada Isnin.

Datuk Dr. Harun dalam kenyataan di laman facebook turut memberi kata-kata motivasi kepada keluarga mangsa agar tabah dan bersabar menghadapi musibah yang berlaku.

“Saya mendoakan agar roh arwah sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman,” katanya.

Ketika kejadian, Nurul Liyana dalam perjalanan bersama ayahnya ke Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk menjalani latihan amali sebelum kereta Honda Civic dipandunya terbabas dan bertembung kereta Perodua Myvi.

Mangsa meninggal serta merta di tempat kejadian manakala ayahnya yang parah dimasukkan ke unit Rawatan Kecemasan Hospital Kuala Lipis.

Berasal dari Melaka, mangsa juga merupakan pelajar tahun akhir dan bakal bergraduat pada November ini.

Bahagian Media dan Citra

Oleh Salbinous Saribun

bendera merdeka UMSRABU, 03 OGOS - Kehangatan sambutan Bulan Kebangsaan kian dirasai walaupun bulan Ogos baru sahaja memasuki hari ketiga.

Di Universiti Malaysia Sabah (UMS), sambutan disemarakkan dengan pemasangan bendera gergasi Jalur Gemilang dan negeri Sabah di pintu gerbang universiti.

Hasil tinjauan media UMS mendapati bendera kemegahan negara dan kebanggaan negeri Sabah itu juga dipasang pada tiang-tiang sekitar jalan-jalan utama universiti seperti Jalan Perdana Puncak Ilmu, Jalan Samudera dan Jalan Canselor.

Kibaran bendera itu turut dilihat dipasang pada pagar-pagar kampus.

Beberapa kenderaan warga kampus UMS turut dilihat dilengkapi dengan bendera Malaysia sebagai tanda semangat patriotisme terhadap negara yang menyambut Hari Kebangsaan 2015 pada 31 Ogos ini.

Bahagian Media dan Citra

Oleh Sainah Mustakim

kursus haji2015ISNIN, 03 OGOS –  Universiti Malaysia Sabah (UMS) sekali lagi terpilih sebagai lokasi penganjuran Kursus Perdana Haji Musim Haji 1436H/2015M Peringkat Negeri Sabah (Zon Pantai Barat) yang berakhir kelmarin di Masjid UMS.

Kursus selama dua hari itu disempurnakan Yang Di-Pertua Negeri Sabah merangkap Pro Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Tun (Dr) Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin.

Dalam ucapannya beliau mengingatkan bakal haji Malaysia agar menjaga nama baik negara ini yang sering mendapat pujian Kerajaan Arab Saudi sebagai jemaah haji yang mempunyai akhlak terpuji dan berdisiplin.

“Tujuan Kursus Perdana Haji ini dianjurkan adalah untuk memberi peluang bakal-bakal haji menjalankan amali ibadat haji dan umrah dengan tertib dan betul serta dapat memberi gambaran sebenar semasa berada di Tanah Suci nanti, syabas dan tahniah kepada pihak pengurusan Tabung Haji yang telah melaksanakan tanggungjawab sebaik-baiknya,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Tabung Haji, Haji Ahmad Sohaimi Dato’ Abd. Rahim ketika ditemui media turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada pihak UMS atas kerjasama dan komitmen yang baik dalam menyediakan tempat dan kemudahan logistik kepada hampir 350 peserta bakal haji.

Turut hadir pada majlis itu, Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Haji Mohd. Ariffin Haji Mohd. Arif; Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah dan Pengarah Tabung Haji Negeri Sabah, Datin Hajah Nurlaila Haji Said. -SM-

Bahagian Media dan Citra
Foto: Martubat Jamlan, BPK

Oleh Salbinous Saribun

Jaciah bola sabahISNIN, 03 OGOS - Seorang kakitangan wanita Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi antara nadi utama skuad bola sepak Sabah yang membenam pasukan Negeri Sembilan 16-0 pada aksi perlawanan pertama Kejohanan Piala Tun Sharifah Rodziah di Selangor.

Jaciah Jumilis, seorang anggota Keselamatan universiti ketika dihubungi media UMS melahirkan rasa bangga atas kejayaan pasukan itu sambil menyatakan tekad untuk terus mengekalkan momentum semangat yang tinggi bersama rakan-rakan sepasukan.

“Kami akan berusaha  untuk menang setiap perlawanan dan meraih gelaran juara untuk memastikan Sabah terus mendominasi sukan bola sepak wanita negara,” ujarnya yang bersemangat dalam mengharumkan nama UMS.

Beliau yang juga pemain skuad kebangsaan negara turut menyumbat dua jaringan cantik pada aksi perlawanan yang bermula pukul 4.45 petang itu.

Kejohanan tersebut berlangsung selama tujuh hari sehingga Sabtu ini.

Bahagian Media dan Citra