serah bendera umskalKHAMIS, 30 JULAI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kampus Antarabangsa Labuan (KAL) telah menerima bendera Jalur Gemilang daripada Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Labuan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2015.

Bendera yang disampaikan Pegawai Penerangan, Yahya Abd Rajak telah diterima Timbalan Pengarah UMSKAL, Prof. Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal di pejabatnya di Tingkat 13, Bangunan Menara kelmarin.

Yahya yang mewakili Pengarah Jabatan Penerangan, Matteri Marusin turut menyerahkan bahan bacaan seperti buku dan risalah berkaitan pemimpin dan dasar-dasar kerajaan serta gambar terbaru Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Sementara itu, Dr. Geoffrey yang mewakili Pengarah UMS Labuan, Prof. Madya Dr. Murnizam Haji Halik berkata bahan-bahan bacaan termasuk buku-buku dan risalah kerajaan terbitan Kementerian Penerangan itu akan diletakkan di perpustakaan UMSKAL untuk dibaca oleh mahasiswa dan kakitangan serta pensyarah universiti.

“Bahan bacaan itu boleh menjadi bahan bacaan dan rujukan mahasiswa, kakitangan dan pensyarah UMS Labuan bagi menambah ilmu pengetahuan mereka mengenai dasar-dasar dan program anjuran kerajaan,” katanya. –SS

Bahagian Media dan Citra

Sumber: Azri Onn

program diplomatKHAMIS, 30 JULAI - 15 pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) dari pelbagai fakulti terpilih bagi menyertai Program Latihan Sangkutan Pelajar Diplomat ke Kementerian Luar Negeri Malaysia.

Program selama tiga minggu yang bermula dari 27 Julai sehingga 14 Ogos ini menyaksikan para pelajar berpeluang untuk memperoleh pengetahuan dan pengalaman dalam aspek diplomasi hasil lawatan ke Wisma Putra serta penglibatan secara langsung dalam aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang program tersebut.

Sebuah projek sangkutan di bawah Program Seranta dan Diplomasi Awam oleh Menteri Luar Negeri Malaysia,  Dato’ Sri Anifah Hj. Aman, pemilihan pelajar-pelajar UMS buat julung kalinya ini adalah satu penghormatan kepada UMS yang dilantik sebagai pelopor bagi program Latihan Sangkutan Pelajar Diplomat atas pengiktirafan yang begitu tinggi oleh kementerian tersebut.

Melalui program ini, para peserta akan dilatih menguasai kemahiran-kemahiran perorangan dan meningkatkan mutu kemahiran komunikasi, penampilan diri, penyampaian, dan kemahiran-kemahiran lain selain mendapat pendedahan kepada fungsi Kementerian Luar Negeri.

Pelajar Diplomat UMS ditubuhkan sejak tahun 2014 dan kini mempunyai ahli  seramai 15 orang pelajar yang terdiri daripada pelbagai bidang pengajian di Universiti Malaysia Sabah.

Kumpulan kecil Pelajar Diplomat ini adalah merupakan pelajar terpilih yang mempunyai ciri-ciri dan sikap positif, mempunyai kemahiran berkomunikasi yang sangat baik, mempunyai daya keyakinan diri yang tinggi, berfikiran secara matang dan fasih dalam berbahasa Malaysia dan Inggeris selain mahir dalam menggunakan lain-lain bahasa.

Penubuhan Pelajar  Diplomat turut dilihat sebagai salah suatu usaha yang baik dan proaktif dalam melahirkan pelajar diplomat yang berkepimpinan dan beketerampilan, seiring dengan tugas mereka sebagai seorang diplomat untuk UMS.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah berkesempatan mengadakan pertemuan bersama 15 orang pelajar tersebut dalam satu sesi taklimat beliau bersama para peserta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sebelum mereka berlepas ke Kuala Lumpur bagi menyertai program tersebut.

Senarai 15 pelajar Diplomat Program Latihan Sangkutan Kementerian Luar Negeri adalah seperti berikut:

 

NoNamaNo. PelajarProgramFakulti
1Abdul Ismail Bin Abd RaniBS13110003HS22FSSA
2Ain Zaharah Bt YasriBI14110013HC00FKI
3Bradly Virus MalitamBK14110077HK02FKJ
4Mohd. Fareez Bin JohranBK13160579HC00FKI
5Joanna Lynn OliveiroBA14110208HA02FKSW
6Mohd. Abd. Fattah Abd. RahimBP14110347HS20FPP
7Mohd. Nazrin Bin NoinBA14161259HA15FKSW
8Mohd. Risdi Surij Bin ZainudinBK13110232HC00FKI
9Nurfaizatul Syuhada Awang ShamBA14110982HA02FKSW
10Nurfarahanie Bt HamzahBP14110497HT06FPP
11Cassandra SamanthanBS14161080HS40FSSA
12Rodzmidi Bin Abd LatifBA14110566HA32FKSW
13Siti Nurmasyittah Bt Ag. BesarBK14110052HK01FKJ
14Wydia Farhain Fredelina WilfredoBS14110932HS40FSSA
15Joey Lee Jia YiBT13110045HT18FPP

 

Sumber: Pusat Hal Ehwal Antarabangsa

 

Foto: Ernest Berinus

Bahagian Media dan Citra

Integrasi Nasional KTMRABU, 29 JULAI - Mahasiswa dan felo Kolej Kediaman Tun Mustapha Universiti Malaysia Sabah (UMS) kini menyertai Program Integrasi Borneo Siri 3.

Pengetua kolej itu, Dr. Mohamad Nizam Nazarudin berkata, program selama tujuh hari itu turut disertai mahasiswa dan felo Kolej Kediaman Desasiswa Aman Damai, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Kolej Cempaka dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Katanya, program tersebut antara lain sebagai satu usaha untuk meneruskan agenda integrasi nasional yang melibatkan universiti di Semenanjung, Sarawak dan Sabah yang turut menyaksikan penglibatan masyarakat tempatan.

“Program sebegini amatlah baik sekali gus menangkis sebarang presepsi buruk yang sering menjadi viral di laman sosial terutama isu-isu yang berbaur perkauman dan menyentuh sensitiviti agama,” katanya ketika ditemui media.

Jelasnya, melalui program integrasi seumpama itu juga akan dapat mengukuhkan semangat perpaduan dan mengukuhkan keharmonian negara.

“Acara tersebut menyaksikan para peserta seramai 25 orang telah membuat lawatan beberapa lokasi di Sarawak termasuk Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Miri.

“Di Sabah, rombongan tersebut melawat ke SMK Kota Marudu II untuk melaksanakan Program Motivasi dan interaksi sosial bersama pelajar SPM,” tambah Dr. Nizam sambil menyatakan penganjuran program itu hasil inisiatif Pengawal Kolej Kediaman Desasiswa Aman Damai USM, Nazu Hj. Ismail

Kesemua peserta juga dijadualkan untuk mengunjungi Kampung Perapat Laut Kudat dan melawat beberapa tempat menarik sekitar Kota Kinabalu. –SS

 

Bahagian Media dan Citra

Sumber: Kolej Kediaman Tun Mustapha

Bimbing hepaRABU, 29 JULAI - Seramai 45 pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) sedang menyertai Kursus Kepimpinan dan Pengurusan Ketua Pembimbing Suai Mesra (PSM) Sesi 2015/2016.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP), Kursus yang juga dikenali sebagai BIMBING itu diadakan di Dewan Serbaguna Kolej Kediaman Tun Fuad sehingga 31 Julai 2015 selepas dimulakan pada Selasa.

Kursus yang melibatkan mental, fizikal, jasmani dan rohani tersebut diadakan khusus untuk memberi latihan awal kepada Ketua PSM.

Kursus tersebut turut memuatkan taklimat berkenaan keselamatan dan perkhidmatan akademik yang akan menjadi rujukan kepada pelajar-pelajar baharu kelak.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa ia juga dianjurkan bagi memantapkan semangat jati diri, disiplin dan pendedahan kepimpinan kepada para peserta.

Taklimat mengenai program telah disampaikan Ketua Jabatan HEP, Azmi Jumat serta beberapa pegawai HEP lain.

Majlis Penutupan kursus tersebut dijangka akan dirasmikan Timbalan Naib Canselor Hal ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Profesor Madya Dr. Ismail Ali.-ZMD

 

Bahagian Media dan Citra

Sumber: Norhana Nordin, HEP

gambar hiasanISNIN, 27 JULAI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal mempunyai kamudahan simulasi minyak dan gas melalui kerjasama pihak industri-universiti.

Perkara itu dinyatakan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Raymond Tan ketika melancarkan Majalah Sabah Industry Quaterly (SIQ) baru-baru ini.

Katanya, UMS melalui Fakulti Kejuruteraan bekerjasama dengan Sitegroup International sedang dalam proses menubuhkan Pusat Persijilan dan Latihan Minyak dan Gas UMS.

Dengan adanya pusat itu nanti, pelantar simulasi akan menjadi platform latihan kepada pelatih mengenai situasi sebenar bekerja di pelantar minyak.

Pembinaan pelantar simulasi itu dijangka akan mengambil tempoh selama sembilan bulan untuk disiapkan. –SS

Bahagian Media dan Citra

Foto: Google Image (Sekadar Hiasan)