HOME2SELASA, 14 JULAI - Pelbagai pihak terus tampil bagi meringankan beban golongan kurang bernasib baik menjelang sambutan Aidilfitri.

Tidak terkecuali Kelab Suri Rumah dan Staf Wanita Universiti Malaysia Sabah (KESUMBA) yang baru-baru ini telah mengadakan lawatan ke Rumah Anak Yatim Home Tuaran bagi meluangkan masa bersama penghuni rumah kebajikan tersebut.

Pada lawatan itu, KESUMBA turut menyampaikan sumbangan kepada tabung rumah kebajikan Home Tuaran serta bantuan Aidilfitri kepada para penghuni.

Menurut penyelaras Home Tuaran, Dr. Arsiah Bahron, rumah kebajikan yang mula beroperasi sepenuhnya pada bulan Julai 2014 itu sentiasa mengalu-alukan kunjungan daripada pihak luar yang ingin meluangkan masa bersama para penghuni.

“Selain sumbangan dan bantuan barangan, Home Tuaran juga memerlukan sumbangan masa daripada orang ramai untuk memberi sokongan motivasi dan semangat kepada anak-anak di sini,” ujar beliau.

Lawatan tersebut turut dihadiri Yang Dipertua KESUMBA, Datin Baidah Ibrahim. –ZMD

Bahagian Media dan Citra

Geologi menang dua kumpulanSELASA, 14 JULAI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) menghantar dua kumpulan pelajar jurusan Geologi bagi 'Geoscience Exhibition and Competition 2015' di Universiti Teknologi Petronas (UTP) baru-baru ini.

Dua kumpulan tersebut iaitu The Crockers dan The Huttons telah bersaing dengan 16 kumpulan lain dari Universiti Malaya (UM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Curtin University Sarawak dan tuan rumah UTP.

Pertandingan tersebut menyaksikan tuah lebih memihak The Crockers apabila dipilih sebagai pemenang Best Exhibiton Awards.

Kumpulan itu yang dianggotai Kartigeyan Ramanathan, Ahmad Nazer Amre, Ahmad Zarif Kaldan, Ain Maisyara Yazrol, Leendy Gulibat Richard, Lim Yu Hong, Nur Shaizah Ismail dan Syart Adillah Syaripudin turut menyandang naib juara keseluruhan pertandingan.

Untuk rekod, kedua-dua kumpulan yang dihantar UMS hanya dua minggu melakukan persiapan sebelum tarikh pertandingan. –SS

Bahagian Media dan Citra

Sumber: Majlis Perwakilan Pelajar

kebagu3SELASA, 14 JULAI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Jawatankuasa Penduduk Kampung Kebagu, Sepanggar telah mengadakan program Jaringan Masyarakat dan Majlis Berbuka Puasa, baru-baru ini.

Majlis yang dirasmikan Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah  itu bertujuan memperkukuhkan ukhwah membantu penduduk kampung tersebut membaiki masjid dan sekolah untuk keselesaan penduduk.

Pada majlis itu, Profesor Datuk Dr. Harun berkesempatan menyampaikan sumbangan berbentuk sejadah dan Al-Quran serta beberapa kelengkapan masjid kepada Imam masjid tersebut, Tuan Haji Saili @ Kumbang Hj. Taib.

UMS juga turut menyampaikan sumbangan zakat berupa wang tunai dan beras kepada Badan Masjid Kampung Kebagu, warga emas, Orang Kelainan Upaya (OKU), serta anak-anak yatim yang diwakili Ketua Kampung Kebagu, Haji Wid Musi.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Madya Dr. Ismail Ali serta Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Azmi Jumat.-ZMD

Bahagian Media dan Citra

Sumber: Norhana Nordin, HEPA

Foto: Musa Derin, HEPA

Asnaf UMSKALJUMAAT, 10 JULAI - Warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kampus Antarabangsa Labuan (KAL) mengadakan program Ziarah Ramadan sambil menyampaikan bantuan Aidilfitri kepada golongan asnaf di Wilayah Persekutuan Labuan, baru-baru ini.

Pada program itu, sebanyak tujuh buah kampung iaitu Kampung Layang-Layangan, Lubok Temiang, Batu Arang, Bandar Labuan, Bukit Kuda, Durian Tunjong dan Tanjung Aru menerima bantuan tersebut.

Menurut penyelaras program, Mohd Fazli Sarudi, program ziarah itu merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) UMSKAL kepada golongan yang kurang berkemampuan di wilayah itu.

“Sumbangan ini diharap dapat membantu meringankan beban penderitaan golongan asnaf untuk menyambut Ramadan dan Aidilfitri,” ujarnaya.

Bantuan tersebut disampaikan kepada penerima ibu tunggal, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan anak yatim serta fakir miskin yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Labuan.

Rombongan ziarah itu juga turut disertai Timbalan Pendaftar Kanan, Zamri Mohamad Tuah yang mewakili Pengarah UMSKAL, Profesor Madya Dr. Murnizam Haji Halik serta Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Mas Adi Alimin.-ZMD

Bahagian Media dan Citra

Ceramah Gempa KundasangKHAMIS, 09 JULAI - Hampir seribu penduduk sekitar Kundasang membanjiri pekan Kundasang bagi mendengar Ceramah Gempa Bumi anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) kelmarin.

Bertempat di Pentas Kebudayaan Pekan Kundasang, ceramah tersebut disampaikan beberapa pakar UMS termasuk Pensyarah Geologi, Prof. Dr. Felix Tongkul yang menyampaikan ceramah bertajuk Sains Gempa Bumi.

Turut menyampaikan ceramah termasuklah beberapa lagi pensyarah Pusat Kajian Bencana Alam dan ahli Geologi dari universiti kebanggaan masyarakat Sabah itu.

Membawakan tajuk berdasarkan kepakaran masing-masing, mereka ialah Profesor Dr. Baba Musta (Tanah Runtuh), Prof. Dr. Kawi Bidin (Saliran Air), Dr. Moh Pak Yan (Kualiti Air Sungai) dan Prof. Ir. Dr. Abdul Karim Mirasa (Kerosakan Infrastruktur).

Sebuah ceramah bertajuk Kesan Psikologi turut disampaikan Dr. Ferlis Bulare @ Bahari selain tayangan video Pasca Gempa oleh Hj Mustapa Abd Talib.

Ceramah tersebut yang bertujuan untuk memberi pengetahuan dan kesedaran awam juga diadakan di Dewan Masyarakat Ranau pagi tadi. –SS

Bahagian Media dan Citra