RABU, 2 OGOS – Pelajar program Hubungan Antarabangsa, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) mempamerkan aksi memberangsangkan dalam pertandingan Debat Belia Suruhanjaya Hak Asasi Manusia antara Kerajaan ASEAN (AICHR) peringkat kebangsaan baru-baru ini.

Berlangsung di Wilayah Persekutuan Putrajaya, mereka yang mewakili Universiti Malaysia Sabah (UMS) ialah Jordan Irutheeyanathan, Nurul Askikin Mohd Nohan dan Umi Nur Zahidah Mohd Kaslan.

Dengan persembahan yang penuh bertenaga dan meyakinkan, dua peserta yang mewakili UMS terpilih untuk mewakili Malaysia ke pertandingan Human Right Debate 2017 di Bangkok, Thailand pada September depan.

Jordan bakal beraksi bersama-sama dengan tiga lagi pendebat dari universiti lain yang telah terpilih, manakala Umi Nur dinamakan sebagai ahli pasukan simpanan bagi menggantikan peserta utama sekiranya tidak dapat hadir ke pertandingan tersebut.

Penyertaan UMS buat julung kalinya itu dipelawa AICHR Malaysia dengan dibiayai oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Kota Kinabalu.

Debat AICHR mula dipertandingkan sejak tahun 2014 dengan objektif meningkatkan kesedaran golongan belia tentang hak asasi manusia.

Penganjuran tahun ini mengangkat tema “The 50th Anniversary of ASEAN: Forging Ahead Together Towards a Sustainable Community”.

Sumber: Dr. Ayesah Uy Abubakar                       

SELASA, 1 OGOS – Kerjasama erat antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Kindai University, Jepun yang terjalin lebih sedekad lalu akan terus diperkukuh melalui pelbagai lagi bidang kerjasama antara kedua-dua universiti.

Demikian menurut Naib Canselor UMS, Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin dalam satu pertemuan dengan delegasi Kindai University, Jepun yang diketuai oleh Pendaftarnya, Hiroyasu Tsuji di Bilik Mesyuarat Lembaga Eksekutif Universiti, pagi tadi.

Katanya, kerjasama yang sekian lama terjalin telah banyak memberi manfaat kepada kedua-dua universiti khususnya dalam bidang marin dan akuakultur melalui latihan industri pelajar, pertukaran kakitangan, penganugerahan biasiswa Ijazah Doktor Falsafah, dan penganjuran bersama seminar berkaitan akuakultur.

“Justeru, saya berpandangan bahawa kolaborasi antara dua universiti yang telah terjalin sejak tahun 2002 ini boleh ditingkatkan lagi ke tahap yang lebih tinggi.

“Kewujudan Pusat Pembangunan Akuakultur UMS-Kindai University juga adalah hasil kolaborasi berpanjangan yang saya percaya mampu memacu kepada penghasilan pengetahuan baru dan pengkomersilan hasil penyelidikan khususnya dalam bidang akuakultur,” tambah Prof. D Kamarudin.

Dalam pada itu, Prof. Dr. D Kamarudin turut menyampaikan penghargaan kepada Hiroyasu Tsuji yang telah banyak terlibat dalam kerjasama antara kedua-dua universiti, khususnya sumbangan beliau terhadap penubuhan Pusat Pembangunan Akuakultur UMS-Kindai University.

Hadir sama pada majlis itu Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Dr. Ismail Ali, dan Pengarah Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) UMS, Prof. Dr. Rossita Shapawi.

SELASA, 1 OGOS - Persatuan Pelajar Pascasiswazah (PSA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengambil pendekatan strategik dengan mewujudkan satu kerjasama rapat dengan al-Hidayah Training and Consultancy (HTC), dalam menganjurkan kursus bertajuk Revolusi Seni Ucapan Berkesan.

Berlangsung baru-baru ini di Dewan Auditorium Pascasiswazah, kursus tersebut dikendalikan penceramah dari HTC, Hadi Hidayah Tutuh, pakar pengucapan awam yang bergiat aktif di negeri Sabah.

Beliau memperkenalkan teknik yang menekankan kepada pengaruh variasi suara bagi menarik perhatian para pendengar berdasarkan pengalaman menyampaikan ceramah lebih 25 tahun serta pengalaman mewakili Sabah dalam pidato kebangsaan.

Menurut Hadi, manfaat utama yang dapat diperolehi oleh seseorang itu melalui pengalaman mengikuti kursus sedemikian ialah meningkatnya rasa keyakinan yang lebih baik.

“Rasa gugup dapat dikawal jika seseorang itu tahu bagaimana menggunakan seni variasi suara dengan sesuai dan teratur,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar) Pusat Pengajian Pascasiswazah, Jakaria Dasan menjelaskan penganjuran kursus sebegini adalah perlu bagi mengasah kemahiran berkomunikasi para pelajar.

Katanya, ia kerana kemahiran berkomunikasi merupakan satu halangan besar dalam usaha pelajar pascasiswazah membuat penyelidikan terutama ketika mereka membuat pembentangan mengenai kajian di peringkat fakulti mahu pun di persidangan kebangsaan dan antarabangsa.

“Usaha mengadakan kursus seperti yang diadakan itu adalah suatu usaha yang relevan dan wajar untuk dianjurkan secara berterusan,” ujar beliau.

Pada kursus tersebut, seramai 53 peserta telah mengambil bahagian termasuk peserta dari Makassar, Indonesia yang terdiri daripada kalangan penjawat awam dan swasta serta para penuntut dari UMS dan universiti lain.

Oleh Jakaria Dasan

 

ISNIN, 31 JULAI – Filem pendek “Impian Negaraku” hasil karya produksi KK High School diangkat sebagai pemenang anugerah utama program ‘Bengkel Bikin Filem Pendek 2017’ yang berlangsung di Dewan ResitaL, Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Sabtu.

Program anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dengan kerjasama UMS dan Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu itu menyaksikan filem tersebut mengatasi sembilan lagi filem pendek, sekali gus membawa pulang hadiah bernilai RM1,000.

Naib johan disandang produksi SMK Likas dengan filem bertajuk ‘Tanah Yang Dirindui’, manakala tempat ketiga dimenangi produksi SM All Saints dengan filem ‘Aku Negaraku’.

Tujuh produksi menerima hadiah saguhati termasuklah dari Maktab Sabah, SMK Inanam, SMK Perempuan Likas, SMK Bandaraya, SMK Taman Tun Fuad, SMK Kolombong dan SMK Lok Yuk.

Hadiah disampaikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said Keruak.

Dalam pada itu, Datuk Seri Salleh ketika menyampaikan ucapan perasmian penutupan program tersebut berkata, kementerian beliau dan agensi di bawahnya sentiasa memberi sokongan padu terhadap aktiviti yang memartabatkan industri filem negara, dengan kira-kira RM400,000 telah dibelanjakan kerajaan untuk pelbagai program latihan, bengkel dan sebagainya yang memanfaatkan 5,000 peserta di Sabah tahun lalu.

“Program-program ini merangkumi seni persembahan, penulisan skrip, penerbitan filem, pengarahan, efek khas dan animasi.

“Pendedahan awal berkenaan asas perfileman merupakan inisiatif unggul dalam memberi pendedahan kepada generasi muda,” katanya.

Turut hadir pada program tersebut Pengerusi Finas, Dato’ Mohd Khusairi Abdul Talib; Ketua Pengarah Finas, Dato’ Fauzi Ayob; Penasihat Industri Kreatif Sabah dan Sarawak, Datuk Deddy M. Borhan; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Dr. Ismail Ali; dan Pengarah Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu, Umin Hj Sadi.

KHAMIS, 27 JULAI – Kejohanan Enactus Kebangsaan Malaysia 2017 menyaksikan usaha keras pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) berbaloi apabila pasukan Enactus UMS diumumkan sebagai juara.

Kejayaan itu sekali gus menjadikan pasukan Enactus UMS akan bertanding mewakili Malaysia di kejohanan Enactus World Cup 2017 di London pada September depan.

Kejuaraan itu diperoleh melalui dua projek keusahawanan berimpak tinggi yang membuatkan para juri terpukau dan memberi markah tertinggi semasa pertandingan peringkat akhir.

Ia melibatkan Projek Teh Daun Mulberi yang telah berjaya meningkatkan purata pendapatan bulanan lebih 300 penduduk Kampung Tudan, Tuaran dalam tempoh setahun pelaksanaannya.

Sementara itu, Projek ‘Payao’ iaitu pemasangan tukun tiruan di tengah laut di Pulau Sepanggar pula bukan sahaja meningkatkan hasil tangkapan bahkan turut mengurangkan kos bahan api seterusnya memberi manfaat kepada 23 nelayan kecil.

Melalui pembentangan projek tersebut,  UMS telah mengetepikan Universiti Tenaga Nasional Kampus Sultan Haji Ahmad Shah dan Universiti Malaysia Terengganu untuk unggul di persada kejohanan.

Acara tahunan anjuran Yayasan Enactus Malaysia itu berlangsung selama tujuh hari di MATRADE Exhibition & Convention Centre (MECC), Kuala Lumpur.

Untuk rekod, UMS sebelum ini pernah mewakili Malaysia ke pertandingan Enactus peringkat dunia di Mexico pada tahun 2013.

Kali terakhir UMS menyertai pertandingan itu ialah pada tahun 2015 yang menyaksikan Enactus UMS muncul sebagai naib juara.

 

Oleh Elfiah Jekius (Pelajar Latihan Industri BPK)