SELASA, 18 JULAI – Acara kemuncak sambutan World Oceans & Coral Triangle Month (WOTCM) berlangsung meriah di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Sabtu dengan kehadiran orang ramai yang tidak putus-putus bagi mengikuti setiap aktiviti yang diadakan.

Pelbagai acara menjadi tumpuan seperti 7KM Ocean Edu-Walk, car boot sale, face painting, buggy ride, pertandingan melukis dan kuiz.

Hari Terbuka Akuarium dan Muzium Marin UMS yang diadakan sempena WOTCM itu juga menerima kebanjiran orang awam sejak ia dibuka dari pukul 8.00 pagi sehingga pukul 4.00 petang.

Tinjauan media mendapati, rata-rata pengunjung hadir bersama keluarga masing-masing bagi menikmati cuti hujung minggu dengan sebaiknya.

WOTCM tersebut merupakan anjuran bersama Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) UMS, Pejabat Inisiatif Segitiga Terumbu Karang (CTI) Sabah dan Pusat Pengurusan Ecocampus UMS bagi  meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan pemeliharaan laut dan hidupan marin.

Sambutan itu telah diadakan sejak 15 Jun lalu bagi menyokong inisiatif mengurangkan penggunaan plastik dalam aktiviti harian manusia sekali gus mengelakkan pencemaran plastik yang membahayakan hidupan marin daripada terus berlaku.

Dengan tema “Our Oceans, Our Future”, sambutan itu turut melibatkan murid-murid sekolah rendah dan menengah serta komuniti pesisir laut di Kampung Ambong, Kota Belud melalui sesi ceramah kesedaran tentang peri pentingnya pemeliharaan hidupan marin pada 13 Julai 2017.

Turut mengisi program selama sebulan itu ialah pameran khas WOCTM, kuiz dan pertandingan fotografi yang dibuka kepada orang ramai.

Turut mengisi program selama sebulan itu ialah pertandingan fotografi yang dibuka kepada orang ramai.

ISNIN, 17 JULAI – Kelab Suri Rumah dan Staf Wanita Universiti Malaysia Sabah (KESUMBA) mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan ke-20 di Galeri Bangunan Canselori, Universiti Malaysia Sabah (UMS), baru-baru ini.

Mesyuarat yang dipengerusikan Prof. Dr. Arsiah Bahron menyaksikan seramai 170 ahli hadir dan beberapa kakitangan wanita UMS turut mendaftar sebagai ahli baharu.

Majlis perasmiannya disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Ismail Ali mewakili Naib Canselor, Prof. Dr. D. Kamarudin D. Mudin.

Dalam teks ucapannya, Prof. Dr. D. Kamarudin merakamkan ucapan penghargaan kepada mantan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah atas sumbangan sebagai Penasihat KESUMBA selama 5 tahun dan isteri, Datin Baidah Ibrahim selaku mantan Yang Dipertua KESUMBA.

“Saya berharap agar melalui pimpinan Yang Dipertua dan barisan Jawatankuasa KESUMBA yang baharu, kelab ini akan terus maju ke hadapan dengan mengekalkan momentum yang ada sekali gus meningkatkan imej dan nama baik universiti melalui hubungan kerjasama serta penganjuran aktiviti yang memberi manfaat kepada semua ahli,” katanya.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah isteri Naib Canselor merangkap Yang Dipertua KESUMBA yang baharu, Roha Asmara; Ketua Pustakawan, Dayang Rukiah Ag. Amit dan Bendahari UMS, Zallifah Shadan.

 

Jurugambar: Suzeaniwaty Gasinin

Bahagian Perhubungan Korporat

KHAMIS, 13 JULAI – Sambutan Aidilfitiri Raya@UMS yang berlangsung di Kompleks Dewan Kuliah Pusat Ke-2, Universiti Malaysia Sabah (UMS) pagi tadi meriah dengan pelbagai juadah yang dihidangkan di 31 buah gerai makanan.

Antara juadah yang disediakan oleh kakitangan di pelbagai Jabatan, Fakulti, Pusat, Institut, Unit  (JFPIU) serta persatuan-persatuan dan kelab-kelab di UMS ialah  kelupis, buras, nasi linopot, kambing golek, soto, laksa, spaghetti, rendang, lemang, buah-buahan, kek, nasi beriani dan banyak lagi.

Majlis Sambutan Aidilfitiri Raya@UMS diserikan lagi dengan kehadiran Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sabah merangkap Canselor UMS, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Juhar bin Datuk Haji Mahiruddin bersama isteri, serta Ketua Menteri Sabah merangkap Pro Canselor UMS, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman yang turut bersama warga UMS menikmati suasana Aidilfitri pada sebelah tengahari.

Naib Canselor UMS, Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin ketika berucap pada majlis tersebut berkata, majlis rumah terbuka seperti ini bertujuan mengeratkan jalinan ukhuwah, persaudaraan dan perpaduan sesama warga UMS dan organisasi sama ada dari dalam mahupun dari luar UMS.

“Majlis sebegini boleh dijadikan batu loncatan untuk kita merapatkan kembali hubungan, saling bermaafan dan bersedia membuka lembaran baru bagi mewujudkan permuafakatan yang lebih utuh lagi.

“Berbeza pendapat adalah lumrah dan harus dimanfaatkan menjadi percambahan idea dan ilmu untuk menghasilkan keputusan yang terbaik dan memberikan kemaslahatan kepada masyarakat dan negara,” ujar beliau.

Suasana majlis dihangatkan lagi dengan persembahan nyanyian dan muzik dari kakitangan UMS, dan cabutan tiket bertuah kepada lebih 2,000 pengunjung yang hadir.

 

SELASA, 11 JULAI – Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) mahu memastikan muzik tempatan di Sabah khususnya dapat diperkenalkan di peringkat antarabangsa melalui kerjasama dengan pelbagai pakar dari luar negara dalam bidang tersebut.

Dekan FKSW, Prof. Dr. Ismail Ibrahim berkata usaha itu dilaksanakan melalui penglibatan profesor universiti luar negara dalam setiap bengkel yang menjurus kepada bidang muzik di institusi berkenaan.

“Penganjuran bengkel yang menjurus kepada muzik mampu memberi impak positif kepada industri muzik negara khususnya di Sabah yang kaya dengan pelbagai etnik dan budaya.

“Justeru, usaha murni ini sekali gus mampu memelihara budaya tempatan khususnya muzik di Sabah termasuk usaha mendokumentasikan budaya etnik Borneo,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Bengkel Early Childhood Music Level 1 di Theatrette Ahmad Nisfu.

Mengulas berkenaan penganjuran bengkel tersebut, beliau berkata bengkel selama lima hari itu disertai 27 peserta membabitkan guru muzik dari dalam dan luar negara.

“Pengisian bengkel kendalian profesor dari Universiti of Hawaii, Prof. Dr. Chet Yeng Loong antara lain memberi pendedahan perkembangan kanak-kanak serta mencari kaedah sesuai membantu kanak-kanak dalam dunia muzik,” ujar beliau.

ISNIN, 10 JULAI – Unit Penyelidikan Warisan Borneo (UPWB) dan Program Seni Muzik dari Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) telah menjalin kerjasama dalam penganjuran Bengkel Early Childhood Music Level 1 bermula hari ini sehingga 14 Julai.

Bengkel ini disertai oleh 27 orang peserta termasuk 2 orang peserta luar negara, iaitu dari Guangding, China, dan Macau.

Bengkel tersebut diadakan bertujuan untuk membantu tenaga pengajar menyediakan strategi pengajaran menerusi muzik khususnya kepada kanak-kanak yang berusia dalam lingkungan 3 hingga 6 tahun, serta kanak-kanak yang mengalami penyakit Autisme dan menghadapi kecelaruan hiperaktif kurang daya tumpuan (ADHD).

Bengkel kendalian profesor dalam bidang muzik dari University of Hawai’i, Amerika Syarikat, Prof. Dr. Loong Chet Yeng antara lain memberi pendedahan kepada peserta tentang penyediaan bahan-bahan bersesuaian bagi merangsang perkembangan minda kanak-kanak, dengan memfokuskan pengajaran terhadap kanak-kanak penghidap Autisme.

Dalam pada itu, guru piano, Maple Foo ketika ditemui media pada bengkel tersebut berkata, beliau berasa teruja dapat menyertai bengkel tersebut.

“Saya percaya input dari bengkel ini dapat membantu saya untuk mengajar pelajar saya dengan lebih efektif,” katanya.

Bengkel yang dipengerusikan Ketua UPWB, Prof. Madya Dr. Low Kok On itu dirasmikan oleh Dekan FKSW, Prof. Dr. Ismail Ibrahim.