KHAMIS, 11 MEI - Sumber kewangan merupakan motivasi penting dalam memastikan para pelajar pascasiswazah khasnya menyelesaikan pengajian mereka dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Sehubungan itu, Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Pusat Pengajian Pascasiswazah menawarkan Skim Bantuan Pascasiswazah kepada para pelajar Doktor Falsafah (PhD) dan Sarjana, khusus bagi membantu meringankan beban kewangan para pelajar yang tidak mempunyai kemudahan kewangan.

Bagi semester tahun ini, sejumlah 70 pelajar, meliputi 39 pelajar dari gugusan sains dan 31 lagi dari gugusan sastera telah terpilih untuk menerima skim bantuan tersebut.

Dekan Pusat Pengajian Pascasiswazah UMS, Prof. Dr. Rasid Mail dalam satu majlis penyerahan surat tawaran kepada para pelajar tersebut berkata, skim bantuan biasiswa yang ditawarkan itu adalah merupakan satu usaha murni universiti di bawah kepimpinan Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah yang ingin melihat lebih ramai pelajar pascasiswazah dapat menamatkan pengajian pada masa yang ditetapkan.

“Kita menyedari bahawa salah satu faktor yang menyukarkan para pelajar pascasiswazah menjalankan penyelidikan dan seterusnya menyiapkan penulisan tesis mereka adalah berkaitan dengan sokongan kewangan.

Justeru itu, walaupun berhadapan dengan cabaran kawalan perbelanjaan, UMS tetap memperuntukkan sejumlah wang dari bajet yang terhad demi untuk melihat lebih ramai pelajarnya, khususnya pelajar pascasiswazah berjaya menamatkan pengajian mereka mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.

Ujar Dr. Rasid, dengan bantuan yang diterima, pihak universiti berharap agar para pelajar lebih bersemangat dalam pengajian, berkeyakinan tinggi, dan lebih fokus terhadap pengajian mereka.

Skim Bantuan Pascasiswazah UMS meliputi tiga skim bantuan yang ditawarkan iaitu Elaun Khas Pembantu Pengajar (EKPP) yang ditawarkan kepada para pelajar Sarjana yang mendapat tajaan MyMaster dari Kementerian Pendidikan Tinggi, Skim Pembantu Pengajar (SPP) yang dibuka kepada pelajar PhD dan Sarjana, serta Skim Yuran Pelajar Antarabangsa (SYPA) dikhususkan kepada pelajar antarabangsa.

Sumber: Jakaria Dasan, Pusat Pengajian Pascasiswazah, UMS.

SELASA, 9 MEI - Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini menganjurkan ‘Talk on Depression and Anxiety’ dengan penyertaan kira-kira 50 peserta di 1Megalab UMS.

Program tersebut dijayakan oleh penceramah jemputan dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS, Prof. Dr. Khamisan Awang Lukman.

Dalam ceramahnya, Dr. Khamisan berkata, kesihatan mental boleh mempengaruhi produktiviti kerja seseorang individu dan organisasi.

“Kerisauan, tekanan dan kemurungan harus dielakkan oleh setiap individu agar tugasan harian kita tidak terganggu.

“Tiga gangguan ini boleh mengakibatkan produktiviti kerja seseorang kakitangan terjejas dan mampu melumpuhkan peranan organisasi,” katanya.

Dr. Khamisah turut menasihatkan para peserta untuk sentiasa melakukan senaman bagi mengurangkan tekanan di tempat kerja.

“Elakkan membuat sesuatu kerja yang sama terlalu lama dan pastikan anda ada masa untuk membuat pergerakan atau bersenam bagi mengelakkan kekejangan otot yang boleh mengganggu kerja.

“Selepas program ini, saya berharap anda boleh mengenalpasti tanda-tanda awal gangguan emosi yang mungkin dihadapi oleh rakan sekerja atau keluarga anda. Jika perlu, rujuklah kepada pakar untuk mendapatkan bantuan,” tambah beliau.

Pada program itu, para peserta turut diberikan pendedahan mengenai alat bantuan saringan untuk mengenalpasti tahap tekanan, kerisauan atau kemurungan yang dihadapi oleh seseorang individu yang dinamakan DASS21.

Berlangsung selama sehari, program itu  bertujuan memberi pendedahan dan kesedaran kepada warga UMS tentang kepentingan kesihatan mental.

Turut hadir, Ketua Pustakawan UMS, Dayang Rukiah Awang Amit.

SELASA, 9 MEI - Lebih 200 pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyertai Workshop On Business Ethics-Repsol yang dianjurkan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) dengan kerjasama REPSOL Oil & Gas Limited Malaysia, di Galeri, Bangunan Canselori, pagi tadi.
Menurut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah, bengkel yang ditaja khas oleh REPSOL itu merupakan satu peluang untuk memperoleh ilmu dan berkongsi idea bagi membincangkan isu etika dalam perniagaan.

“Saya yakin isu yang dibincangkan ini amat berguna kepada para pelajar terutama apabila mereka masuk ke alam pekerjaan kelak,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, Prof. Madya Dr. Raman Noordin.

Datuk Harun berkata, etika perniagaan boleh dijelaskan sebagai kajian ke atas perlakuan atau tingkah laku dan moral yang menghasilkan peraturan dan prinsip dalam situasi perniagaan.

“Nilai-nilai etika seperti integriti, jujur, saksama, bertanggungjawab, cekap dan boleh dipercayai bukan sahaja harus diterapkan dalam dunia perniagaan atau kerjaya bahkan di dalam kehidupan harian.

“Para pekerja yang berpegang pada nilai etika akan cenderung untuk menjadi pekerja yang baik, berprestasi cemerlang dan mampu memberi impak positif kepada jabatan atau organisasi,” jelasnya.

Justeru beliau menyeru, para pelajar memberikan tumpuan sepenuhnya sepanjang bengkel itu berlangsung yang disifatkannya sangat bermanfaat untuk masa depan mereka.

Hadir sama, Pengurus Perundangan REPSOL Oil & Gas Limited Malaysia, Dayangku Marianah Pengiran Mahmuddin dan Ketua Jabatan HEP, Ahmadi Nurdin.

 

ISNIN, 8 MEI – Persembahan teater muzikal “Kes Asylum” yang dianjurkan oleh pelajar tahun 2 Program Hubungan Antarabangsa, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW), Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya memukau lebih 200 penonton di Dewan Auditorium Pascasiwazah, UMS baru-baru ini.

Menurut Pengarah Persembahan, Mohamad Sharizal Murat, teater itu merupakan tugasan berkumpulan yang akan dinilai di bawah Kursus Undang-undang Awam Antarabangsa  dibawah bimbingan Pensyarah Kanan FKSW, Marja Azlima Omar

“Persembahan teater ini mengisahkan Kes Asylum (Columbia V Peru 1950) ICJ Rep 266 yang dijayakan dengan kreatif oleh pelajar-pelajar yang menjiwai watak masing-masing dengan penuh penghayatan,” jelas Sharizal.

Justeru, bagi pihak pelajar tahun 2 Hubungan Antarabangsa beliau berharap, persembahan teater itu dapat memberi kefahaman kepada orang ramai bagaimana Kes Asylum telah dibicarakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa selain menyedarkan orang ramai akan kepentingan Undang-undang Awam Antarabangsa (UUA) dan memahami bagaimana UUA diaplikasikan dalam kehidupan sebenar.

Hadir sama pada program itu,  Dr. Teuku Arfizal Anwar, Dr Ayesah Uy Abu Bakar dan Abdul Latif Lai yang juga merupakan Pensyarah-pensyarah Kanan, FKSW.

JUMAAT, 5 MEI – Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjalin kerjasama dengan Jabatan Penjara Malaysia menerusi Majlis Menandatangani Surat Niat (LoI) sempena Majlis Penutupan Kursus Kaunseling Penyalahgunaan Dadah yang diadakan di Dewan Theatrette, UMS Labuan, baru-baru ini.

LoI itu ditandatangani antara Dekan FPP UMS, Prof. Madya Dr. Mohd Dahlan Haji A. Halek dengan Timbalan Pengarah Penjara Negeri Sabah, Nora Musa.

Majlis itu disaksikan Timbalan Ketua Pengarah Penjara Malaysia (Keselamatan dan Koreksional), Timbalan Komisioner Jeneral Penjara, Dato’ Alzafry Mohamed Alnassif Mohamed Adahan, mewakili Ketua Pengarah Penjara Malaysia, Komisioner Jeneral Penjara, Dato’ Sri Haji Zulkifli Omar; Pengarah UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Prof. Madya Dr. Murnizam Haji Halik yang mewakili Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Mohd Harun Abdullah; dan Timbalan Pengarah Pengurusan Banduan, Zainah Pardi.

Terdahulu, Datuk  Harun dalam ucapannya yang dibacakan oleh Dr. Murnizam berkata, dengan terjalinnya kerjasama antara kedua-dua pihak, ia juga dapat menunjukkan nilai inovasi yang memacu pencapaian dan membantu masyarakat menghadapi cabaran yang bakal dihadapi.

Katanya, aspek membantu adalah sangat penting kerana pihak FPP memperturunkan ilmu manakala Jabatan Penjara mengaplikasikan ilmu tersebut.

“Harapan saya agar kerjasama ini akan terus terjalin bagi membantu masyarakat membanteras penyalahgunaan dadah,” katanya.

Sementara itu, Haji Zulkifli berkata kerjasama strategik antara Jabatan Penjara dan UMS itu akan memberi impak yang sangat besar di dalam pemulihan serta memberi manfaat bersama.

Katanya, Jabatan Penjara Malaysia mengalu-alukan pandangan mahupun cadangan, idea baru dan diharapkan ianya akan ditambah baik demi memantapkan lagi program-program pemulihan yang dibangunkan di institusi ini.

Pada majlis itu, Dr. Murnizam turut menyerahkan modul Adaptasi Motivational Interviewing (AMI) kepada Dato’ Alzafry Mohamed Al Nassif.

Turut diadakan pembentangan Projek KTP UMS-Penjara daripada Ketua Projek,  Dr. Puteri Hayati Megat Ahmad.

 

Sumber: Azri Onn, UMSKAL