Universiti Malaysia Sabah (UMS) komited dalam memastikan sebarang isu berkaitan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) khususnya di dalam kampus dapat ditangani dengan tindakan yang pantas dan efisien.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, dalam menangani isu tersebut, tiga peringkat jawatankuasa telah dibentuk khusus untuk menumpukan perkara berkaitan KKP, iaitu Jawatankuasa Induk, Sekretariat KKP yang diketuai seorang Profesor, dan Jawatankuasa Peringkat Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang diketuai oleh Ketua PTJ masing-masing.

“Melalui penubuhan tiga peringkat jawatankuasa ini, kita dapat berbincang setiap masa, dan sebarang isu berkaitan KKP dapat ditangani dengan cepat.

“Universiti mahu memastikan bahawa tidak ada kompromi terhadap sebarang isu berkaitan KKP,” katanya dalam satu rancangan temu bual sempena kejayaan UMS menerima dua Anugerah Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2022 baru-baru ini.

Kasim turut memaklumkan, UMS turut mewujudkan satu sistem berhubungan atas talian yang dikenali sebagai NADOPOD UMS (Notification of Accident, Dangerous Occurence, Occupational Poisoning and Occupational Disease UMS).

“Sistem NADOPOD ini membolehkan warga kampus UMS untuk membuat sebarang aduan atas talian sekiranya berlaku sebarang insiden berkaitan KKP.

“Ini sekali gus memberikan kesegeraan kepada tindakan untuk menangani isu KKP dalam kampus, baik di kampus induk Kota Kinabalu, UMS Kampus Antarabangsa Labuan, mahupun Fakulti Pertanian Lestari Kampus Sandakan,” katanya.

Terdahulu, Kasim menghargai pengiktirafan yang diberikan kepada UMS bagi dua anugerah yang diberikan sempena Majlis Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (National OSH Award) 2022.

Katanya anugerah tersebut adalah pengiktirafan kepada komitmen seluruh warga UMS yang komited memastikan persekitaran kampus adalah selamat dan sihat untuk lebih 22 ribu pelajar dan lebih tiga ribu kakitangan UMS.

UMS memenangi dua kategori Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara, iaitu bagi Organisasi Terbaik (Kategori Institut Pengajian Tinggi) dan Kategori Ketua Pegawai Eksekutif Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Sektor Awam).

UMS diwakili Pengarah Pusat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UMS, Prof. Dr. Khamisah Awang Lukman menerima trofi dan sijil bagi Anugerah Organisasi Terbaik (Kategori Institut Pengajian Tinggi) manakala Kasim dinobatkan sebagai penerima anugerah bagi Kategori Ketua Pegawai Eksekutif Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Sektor Awam).

Anugerah KKP Negara merupakan satu pengiktirafan kepada organisasi-organisasi daripada pelbagai sektor industri yang telah menunjukkan prestasi dan pencapaian cemerlang dalam memastikan KKP di tempat kerja dan individu-individu yang telah menunjukkan prestasi, komitmen serta sumbangan yang cemerlang di dalam bidang tersebut.

 

Menyedari penyu adalah antara haiwan marin yang tergolong dalam spesies terancam, Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus menggiatkan pelbagai usaha agar haiwan tersebut tidak diancam kepupusan.

Terbaru, UMS telah membawa sejumlah 20 pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah berserta guru iringan di sekolah sekitar daerah Semporna ke Pulau Bohey Dulang, Semporna bagi program pendidikan berkaitan penyu di pulau tersebut.

Antara sekolah yang terlibat adalah SK Bangau-Bangau, SK Kg. Simunul, SMK Kabogan II, dan SMK Datuk Panglima Abdullah.

Rombongan UMS yang diketuai oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor serta rombongan pelajar sekolah telah diberi penerangan ringkas oleh pegawai dari Taman-Taman Sabah berkaitan proses kehidupan dari anak penyu hingga penyu dewasa.

Sesi perkongsian tersebut turut mengupas berkaitan fakta-fakta am berkaitan penyu, serta kepentingan usaha memulihara penyu dan habitat marin yang menjadi tanggungjawab semua pihak.

Dalam pada itu, Kasim dalam kunjungannya ke pulau tersebut memaklumkan UMS sentiasa menyokong sebarang usaha terhadap memupuk kesedaran berkaitan kepentingan penjagaan alam sekitar, kepelbagaian spesies haiwan serta habitatnya.

“Melihat kepada keindahan khazanah alam yang terdapat di Pulau Bohey Dulang ini, saya percaya pulau ini berpotensi untuk menjadi tarikan pelancong melalui aktiviti pengembaraan dan pendidikan.

“UMS juga amat gembira dapat membawa sekumpulan pelajar sekolah rendah dan menengah ke pulau ini bagi menambah pengalaman dan pengetahuan mereka berkaitan kepelbagaian biodiversiti khususnya haiwan penyu,” katanya.

Kasim turut berpesan kepada para peserta agar terus belajar bersungguh-sungguh dan menanam minat terhadap mata pelajaran berkaitan sains agar mampu menjadi generasi yang meneruskan legasi tanggungjawab terhadap pemuliharaan haiwan dan alam sekitar.

Pada program tersebut, Kasim turut menyempurnakan perasmian Projek Kelestarian Penyu Dan Edu-Tourism UMS dan Taman-Taman Sabah, serta acara pelepasan anak-anak penyu di laut.

Hadir sama pada program tersebut Timbalan Pengarah (Pentadbiran, Kewangan, Penyelidikan & Inovasi) Taman-Taman Sabah, Rimi Repin dan Profesor di Fakulti Sains Sosial Dan Kemanusiaan (FSSK) UMS, Prof. Dr. Ismail Ali yang juga merupakan Ketua Projek Kelestarian Anak-anak Penyu di Pulau Bohey Dulang, Semporna

Universiti Malaysia Sabah (UMS) komited dalam agenda pembangunan kerjaya dan keusahawanan pelajar.

Terbaharu, UMS menerusi Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar (PKPKP) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama TalentCorp Malaysia sebagai salah satu inisiatif menyokong Pelan Strategik Kebolehpasarasan Graduan yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Haji Mansor, kolaborasi antara PKPKP UMS bersama TalentCorp akan menyokong teras utama pelan berkenaan terutamanya dalam meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan, mengukuhkan pelaksaaan profiling kerjaya pelajar yang komprehensif dan memperkasakan jaringan antara universiti dan industri.

“Menerusi kolaborasi ini, UMS menyediakan platform kepada TalentCorp Malaysia untuk menyumbangkan kepakaran dalam perundingan dan penyelesaian isu berkaitan pembangunan bakat.

“Seperti yang kita sedia maklum, usaha mempersiap bakal graduan tidaklah boleh dilakukan oleh universiti sahaja. Ia harus melibatkan usaha kolektif bersama industri.

Sejak PKPKP UMS ditubuhkan pada tahun 2018, beberapa program kolaborasi bersama TalentCorp giat dilaksanakan seperti penganjuran ‘Young Employable Students’ (YES), Finishing School, Career Talk Siries, Bengkel myNext, Karnival Kerjaya MyCareer Zon Borneo dan Kisah Siswa.

“Saya percaya usaha berterusan seperti inilah yang menjadi faktor menyumbang pencapaian kadar kebolehpasaran graduan UMS yang membanggakan.

“Justeru, diharapkan daripada pelaksanaan berterusan program seperti ini, aspek pembangunan kerjaya siswa dan siswi khususnya bakal graduan UMS dapat diperkasa dan sekali gus menyahut seruan untuk melahirkan generasi yang berkualiti dan future-proof,” ujar Kasim.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Profesor Madya Dr. Raman Noordin.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Thomas Mathew; Pengarah PKPKP UMS, Profesor Madya Dr. Soon Singh Bikar Singh dan Ketua Pegawai Pembangunan Modal Insan, Sabah Economic Development and Investment Authority (SEDIA), Janet Lee Oi Chin.

 

Rangkaian Antarabangsa untuk Kajian Semut Asia (ANeT) dengan kerjasama Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan Persidangan Antarabangsa ANeT 2023 kali ke-13, baru-baru ini.

Menurut Penyelaras Program, Dr. Yek Sze Huei persidangan dengan tema ‘20 Tahun Penyelidikan Semut di Asia’ itu bertujuan menyediakan platform untuk para pengkaji dan peminat semut berkumpul dan bertukar-tukar pengetahuan dalam bidang myrmecology.

“Sepanjang 24 tahun pertumbuhan ANeT, kumpulan ini telah mencapai kemajuan yang signifikan dalam mendedahkan pelbagai aspek tingkah laku semut dan sumbangan mereka kepada ekosistem di rantau Asia,” ujarnya.

Katanya persidangan itu juga bagi meraikan pencapaian, membincangkan penemuan terkini, dan usaha bekerjasama untuk masa hadapan.

“Persidangan selama dua hari ini telah mengumpulkan seramai 48 peserta bukan sahaja dari negara-negara rantau Asia, malah turut disertai oleh peserta dari luar Asia seperti United Kingdom, Perancis, Sepanyol, Belgium, USA, Brazil, dan Australia.

“Sebanyak 26 pembentangan secara lisan dan 9 buah poster penyelidikan telah dipamerkan semasa persidangan ini,” jelasnya.

Majlis Perasmian Penutupan Persidangan ANeT 2023 telah disempurnakan oleh Pengarah IBTP UMS, Profesor Madya Dr. Fiffy Hanisdah Saikim.

Tambah beliau, sebagai kesinambungan kepada penganjuran persidangan AneT, satu Kursus Identifikasi Semut pula telah dijalankan pada 15 hingga 17 November 2023, dengan penyertaan seramai 28 peserta.

“Kursus hands-on ini memberikan peluang pengalaman yang komprehensif dan praktikal untuk peserta, menawarkan peluang unik untuk mengkaji pelbagai aspek pengumpulan semut, teknik pensampelan dan kaedah eksperimen.

“Kerja lapangan dijalankan di Hutan Simpan Kawang, Papar, menambah dimensi praktikal kepada proses pembelajaran dan membolehkan peserta mendekati habitat semula jadi semut,” jelasnya.

Kursus tersebut memfokus kepada penyediaan sampel, penyisihan, penyusunan dan penyimpanan data ke dalam Koleksi Semut BORNEENSIS yang dilakukan di makmal IBTP UMS.

Ia juga menekankan kepentingan pendekatan yang sistematik untuk didokumentasikan dengan baik dalam penyelidikan myrmecology.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) menganjurkan program Sustainable Development Goals (SDG) Leadership University for Society (U4S) yang berlangsung di tiga buah kampung dalam daerah Kiulu iaitu Kampung Ratau, Kampung Lokub dan Kampung Talantang baru-baru ini.

Menurut Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah, Datuk Joniston Bangkuai, program ini sangat unik dan belum pernah berlaku sebelum ini di mana perkongsian ilmu dari ahli akademik yang pakar dengan bidang yang diperlukan oleh komuniti dari pelbagai universiti dan institusi pendidikan tinggi (IPT) sanggup datang berkampung selama 4 hari 3 malam di kampung-kampung terlibat.

“Saya ingin mengetahui lebih dekat bagaimana program ini berlangsung dan selaku wakil rakyat dalam kawasan Kiulu, saya melihat ianya sebagai satu penghormatan yang sangat tinggi kepada kumpulan masyarakat yang saya wakili ini.

“Kepada para peserta yang juga termasuk pimpinan ketiga-tiga buah kampung, syabas atas kesungguhan mengikuti siri perkongsian dengan tekun dan bersungguh-sungguh.

“Manfaatkan ilmu yang diperoleh kerana bukannya biasa-biasa para profesor dan doktor mengunjungi kampung kita dan seterusnya sanggup meninggalkan keselesaan mereka semata-mata ingin membantu kita,” katanya semasa majlis perasmian penutupan yang berlangsung di Dewan Masyarakat Kampung Lokub.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat, Golubi Guntarik.

Joniston yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu berkata, sebagai salah seorang peneraju di Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah, beliau akan meneliti kaedah yang dilakukan ini untuk dijadikan sebagai salah satu strategi dalam menjayakan lagi hala tuju pembangunan ekonomi negeri Sabah yang berslogankan Sabah Maju Jaya.

“Jika di peringkat komuniti produk dan perkhidmatan dapat diinovasikan menjadi lebih berkualiti dan menarik, tidak ada sebab kenapa negeri Sabah tidak dapat dipacu deras ekonominya.

“Saya yakin dengan peningkatan inovasi yang berlaku secara berterusan, lebih banyak peluang pekerjaan dapat dihasilkan yang menarik perhatian para pelancong dari luar negara untuk melancong di Sabah.

“Hatta, kepesatan industri pelancongan akan menarik lebih ramai pelabur berjaya untuk datang dan melabur di Sabah kelak,” ujarnya.

Tambahnya, keunikan produk baik dari segi hasil ekonomi komunitinya mahupun keanggunan flora dan fauna dalam bentuk ekopelancongan ini adalah suatu strategi yang cukup berkesan dalam melonjak ekonomi negeri jika ditingkatkan lagi keterampilannya.

Beliau turut berterima kasih kepada pihak AKEPT dan UMS kerana telah memilih ketiga-tiga buah kampung dalam daerah Kiulu ini sebagai kumpulan komuniti bertuah yang mendapat suntikan ilmu langsung dari universiti dan IPT.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata kohot pertama telah diadakan pada bulan Mei tahun 2022, manakala kohot kedua pula telah dilaksanakan pada bulan Mei tahun ini

“Kohot pertama dan kedua merupakan sesi di mana para peserta yang mewakili seluruh IPT diberikan pendedahan mengenai pendekatan SHARE Model dalam melakukan pemindahan ilmu kepada masyarakat.

“Program yang menggunakan pendekatan SHARE Model, hasil inovasi Profesor Madya Dr. Fatimah Ahmedy selaku Ketua Program dan Dr. Jakaria Dasan selaku Timbalan Ketua Program ini telah dijadikan oleh pihak AKEPT sebagai modul program peringkat nasional dalam menerapkan aspek kepimpinan dalam aktiviti libat sama masyarakat yang praktikal.

“Hakikatnya, ekosistem yang serba mencabar ini memerlukan perkongsian kolaboratif antara ahli akademik, industri, kerajaan dan komuniti. Oleh itu, pendekatan turun padang wajar dimainkan sama oleh ahli akademia.

“Hanya melalui perkongsian kolaboratif sedemikian, pecutan idea ke dalam pengkomersialan hasil-hasil produk komuniti dapat direalisasikan yang sekali gus dapat meningkatkan hasil pendapatan dan kesejahteraan hidup rakyat,” katanya. Teks ucapannya disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly.

Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Pusat Pembangunan Kepimpinan AKEPT, Bustamam Daud; Presiden Persatuan Pelancongan Daerah Kiulu, Mejin Maginggow; Ketua Kg. Ratau, Paulus Rangkata; Ketua Kg. Lokub, Unus Limun dan Pengerusi JPKK Kg. Talantang, Baxter Douni.