- Jumlah paparan: 2211
Bakal Graduan Disaran Tingkat Kemahiran Dan Literasi Digital Untuk Bersaing Dalam Kerjaya
RABU, 9 OKTOBER – Bakal graduan universiti disaran agar melengkapkan diri dengan kemahiran, daya kepimpinan, dan literasi terhadap digital bagi bersaing merebut tempat dalam dunia pekerjaan.
Pengurus Besar Sabah Shell Petroleum Company Ltd, Pritiphal Singh berkata, aspek-aspek tersebut adalah kriteria-kriteria yang lebih diberi perhatian oleh syarikat-syarikat multinasional berbanding latar belakang akademik.
“Suatu ketika dahulu pencapaian akademik membolehkan seseorang mendapat posisi yang baik dalam pekerjaan, namun kini akademik hanyalah sebagai kriteria minimum dalam mendapatkan jawatan tertentu.
“Kemampuan individu untuk memimpin, celik terhadap dunia digital dan teknologi, serta disokong dengan kemahiran-kemahiran tertentu adalah apa yang diperlukan oleh seseorang lepasan universiti untuk merebut jawatan dalam syarikat besar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sesi bersama pelajar-pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersempena dengan program CEO@Faculty Talk yang berlangsung di Perkarangan Ruang American Corner, Perpustakaan UMS.
Beliau turut berkongsi bahawa latar belakang bidang akademik tidak seharusnya menjadi penghalang untuk bersaing dalam bidang pekerjaan yang berlainan daripada bidang akademik yang dipelajari, sebaliknya lepasan universiti harus sedia mencuba bidang-bidang yang berlainan sebagai satu pengalaman dalam kerjaya mereka.
“Dalam permulaan kerjaya, segalanya akan berjalan dengan pantas, justeru anda perlu ada kesungguhan, kepuasan dalam bekerja serta sentiasa berusaha untuk melibatkan diri dalam apa juga perkara yang dilakukan oleh syarikat bagi mengukuhkan lagi kedudukan kerjaya.
“Di Sabah Shell Petroleum Company, para lepasan universiti yang diambil untuk mengisi jawatan adalah mereka yang mempunyai sikap ingin belajar, tidak malu untuk bertanya soalan, bersedia menghadapi masalah dan cabaran dan sebagainya, dan sikap ini yang seharusnya ditanam dalam individu-individu pencari kerja,” ujar beliau.
Hadir sama pada program tersebut Ketua Pustakawan UMS, Zawawi Tiyunin.



ISNIN, 7 OKTOBER – Sambutan Hari Haiwan Sedunia mampu menjadi ruang terbaik dalam memberikan pendedahan mendalam berkaitan isu kebajikan haiwan yang dihadapi saban hari oleh masyarakat awam khususnya generasi muda sejak dari bangku sekolah lagi.
ISNIN, 7 OKT - Pusat Kajian Bencana Alam (NRDC) Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), Universiti Malaysia Sabah (UMS) komited untuk membantu memastikan kelestarian pengurusan risiko bencana alam khususnya di Sabah dapat dilaksanakan dengan lebih efektif.
JUMAAT, 4 OKTOBER – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan berusaha untuk membantu Universiti Malaysia Sabah (UMS) meningkatkan hubungan industri dengan membawa lebih banyak pihak industri termasuk di peringkat antarabangsa untuk menjalinkan kolaborasi dengan UMS.
JUMAAT, 4 OKT - Semua agensi kerajaan dan swasta di negeri ini diminta untuk meningkatkan keselamatan komunikasi maklumat (ICT) dalam usaha membendung serangan jenayah siber.