KHAMIS, 29 MAC – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Makmal Analisis Air UMS di bawah Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) bakal menyediakan perkhidmatan ujian analisis air yang mematuhi piawaian antarabangsa apabila makmal tersebut berjaya mendapat akreditasi Standard MS ISO/IEC 17025: 2005 dari Jabatan Standard Malaysia.

Melalui pengiktirafan akreditasi tersebut menjadikan Makmal Analisis Air UMS sebagai sebuah makmal bertauliah dan kini mampu memberikan perkhidmatan ujian analisis kualiti air dalam skop yang diakreditasikan kepada penyelidik, orang awam dan industri.

Ketua Pengarah Jabatan Standard Malaysia, Datuk Fadilah Baharin berkata, pengiktirafan akreditasi di bawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM) menjadikan UMS telah mempunyai dua buah makmal yang diakredit oleh Standard Malaysia.

“Selain Makmal Analisis Air UMS yang menjalankan pengujian kimia iaitu fokus kepada pemantauan alam sekitar, makmal pertama yang telah mendapat akreditasi adalah makmal UMS-Haemostasis Laboratory dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan untuk bidang perubatan.

“Diharap warga UMS dapat memanfaatkan peluang ini bagi mengembangkan lagi perkhidmatan pengujian dan kalibrasi dengan mengenal pasti skop-skop dan perkhidmatan yang memberi impak kepada peningkatan pendapatan dan ekonomi khususnya kepada universiti dan masyarakat Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Penyerahan Sijil MS ISO / IEC 17025: 2005 Makmal Analisis Air di Galeri Majlis, UMS pagi tadi. 

Terdahulu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof berkata, dalam proses untuk mendapatkan pengiktirafan tersebut, semua kakitangan yang terlibat harus membangunkan dokumen-dokumen kualiti dan rekod-rekod aktiviti yang memaparkan sistem pengurusan yang mantap dan juga menjalani latihan uji kaji dan ujian dari masa ke semasa agar lebih bersemangat dan kompeten dalam menjalani uji kaji atau analisis sampel.

“Saya berharap semangat bekerja, kegigihan dan juga teamwork yang ditunjukkan oleh kakitangan Makmal Analisis Air ini harus dicontohi dan dijadikan sebagai teladan bagi semua kakitangan di UMS,” katanya.

Beliau juga berharap agar lebih banyak makmal di UMS mencontohi usaha ini dan berjaya mencapai tahap akreditasi antarabangsa.

Hadir sama pada majlis itu Pendaftar UMS, No’man Ahmad; Dekan FSSA, Prof. Dr. Baba Musta; Ketua Unit Penyelidikan Air UMS, Dr. Moh Pak Yan; dan Pengarah Akreditasi Jabatan Standard Malaysia, Shaharul Sadri Alwi.

RABU, 28 MAC - Sejumlah RM20,000 Geran Keusahawanan diperuntukkan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi membantu aktiviti keusahawanan di peringkat fakulti.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Dr Ismail Ali berkata, geran tersebut bertujuan untuk menyuntik budaya keusahawanan berdasarkan bidang dan kepakaran yang ada di fakulti masing-masing.

“Sebagai contoh kepakaran yang boleh memberi pulangan di Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) adalah dari segi perkhidmatan produksi media seperti percetakan, rekabentuk grafik, produksi filem, penghasilan video,  fotografi, busana, lukisan, seramik dan arca,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran dan Penyampaian Geran Keusahawanan kepada 10 Fakulti di UMS di Bilik Mesyuarat Lembaga Eksekutif, Bangunan Canselori, hari ini.

Menurut Prof. Dr Ismail, daripada jumlah geran yang diperuntukkan itu, setiap fakulti menerima bahagian sama rata iaitu masing-masing mendapat RM2,000.

“Justeru, saya berharap para dekan dapat memantau dan mengambil penekanan serius bagi memastikan aktiviti keusahawanan di fakulti masing-masing berjalan lancar,” tegasnya.

Penyampaian geran kepada wakil setiap fakulti disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Rasid Mail.

Untuk rekod, penyaluran Geran Keusahawanan itu merupakan inisiatif Jabatan Hal Ehwal Pelajar melalui Bahagian Latihan dan Pembangunan Keusahawanan (BLPK) UMS.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua BLPK, Dr. Bonaventure Boniface dan Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS, Ahmadi Nurdin.

 

RABU, 28 MAC - Hari Terbuka Asasi Sains, Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST) Universiti Malaysia Sabah (UMS) berlangsung meriah dengan kehadiran masyarakat sekitar dan para pelajar sekolah menengah yang datang bertandang.

Kemeriahan itu disemarakkan lagi melalui pelbagai aktiviti dan jualan aneka makanan dan pameran di dalam bangunan dan perkarangan PPST.

Tinjauan media Komunikasi Strategik mendapati para pelajar sekolah menengah yang hadir tidak melepaskan peluang untuk menyertai aktiviti seperti demonstrasi ujikaji makmal, pameran projek fizik dan mengunjungi setiap gerai pameran akademik.

Bagi warga UMS dan masyarakat setempat, deretan gerai serta food truck menjadi destinasi utama untuk urusan jual beli makanan dan minuman dengan harga yang berpatutan.

Turut menjadi tumpuan ialah taklimat akademik yang menyaksikan para pelajar diberi penerangan tentang kriteria kemasukan ke program Asasi Sains UMS selain topik yang membincangkan tatacara mengisi borang UPU online dan pengiraan merit di pusat asasi berkenaan.

Program sehari itu turut diserikan dengan acara cabutan bertuah dan aktiviti Young Scientist Sci-show.

  

RABU, 28 MAC - Orang ramai dipelawa untuk menyertai program Walk for Health 2018 anjuran Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang akan berlangsung pada 7 April depan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan FPSK, program berjalan kaki itu akan bermula di Dataran Dewan Canselor UMS seawal jam 7.00 pagi dengan jarak perjalanan sejauh 1.5 kilometer.

Ia antara lain bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan dalam kalangan masyarakat di samping menggalakkan budaya hidup sihat melalui aktiviti berjalan kaki.

Kenyataan itu memaklumkan, tema yang dipilih setiap tahun adalah berbeza-beza bagi memberi penekanan kepada usaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu-isu kesihatan global semasa yang khusus.

Bertemakan “Universal Health Coverage: Everyone, Everywhere”, pada tahun ini program itu turut menyediakan ujian saringan kesihatan, kempen derma darah dan pameran kesihatan bertempat di Laman Graduan, Dewan Canselor, UMS.

Program yang turut mendapat kerjasama penganjuran dari  Persatuan Perubatan Desa Sabah (PERDESA), Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan Persatuan Pelajar Perubatan (MEDSTAS) UMS diadakan sempena Hari Kesihatan Sedunia yang disambut setiap tahun pada tarikh tersebut bagi memperingati penubuhan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

 

 

 

 

 

SELASA, 27 MAC 2018 - Syarikat milik penuh Universiti Malaysia Sabah, UMS Investment Holdings Sdn Bhd. menandatangani Perjanjian Kerjasama bersama Kolej Sabah Skills & Technology Centre (SSTC) dalam satu majlis yang berlangsung di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) di sini baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UiNVEST, Ramlan Awang Ali berkata, perjanjian yang ditandatangani itu menjurus kepada kerjasama dalam bidang penawaran program Sijil Pengurusan Perladangan dan Kemahiran Industri dalam Pengurusan Agro-Bisnes.

“Perjanjian kerjasama ini dilihat sebagai salah satu usaha untuk memantapkan pembangunan pendidikan serta kemahiran untuk golongan belia di Sabah selaras dengan matlamat Kerajaan Negeri ke arah pembangunan kemahiran industri yang lebih kompeten dan berdaya saing.

“Usaha sama ini juga merupakan langkah untuk menggalakkan penglibatan golongan muda di Sabah agar mempunyai kepakaran dan pengetahuan teknikal bekerja dalam bidang perladangan dan agro pertanian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ramlan, menerusi program itu ia akan meningkatkan pengetahuan para pelatih melalui pembelajaran berasaskan pengalaman kerja.

“Pada masa yang sama, pelatih akan dilatih untuk menjadi pekerja yang profesional dan terlatih kerana amalan sebenar persekitaran kerja dalam industri akan didedahkan kepada mereka sepanjang pengajian.

“Kedua-dua program kemahiran ini akan melibatkan tempoh pengajian selama setahun di SSTC,” tambahnya sambil menyifatkan pengajian itu amat bersesuaian untuk pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan yang setaraf atau lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan yang setaraf.

Ramlan turut memberi contoh negara Jepun, Australia dan Belanda yang menjadikan aktiviti perladangan dan pertanian sebagai salah satu sumber pendapatan utama.

“Berdasarkan kepada pencapaian negara-negara yang saya sebutkan tadi,  terbukti bahawa bidang pertanian adalah salah satu bidang yang menjanjikan peluang pekerjaan yang luas sekali gus menafikan tanggapan segelintir pihak yang berfikiran bahawa perusahaan pertanian sebagai pekerjaan kelas kedua.

“Justeru, saya ingin menyeru kepada masyarakat khususnya generasi muda untuk merebut peluang terhadap program-program yang akan ditawarkan nanti termasuk mereka yang tidak berjaya menerima tawaran dari mana-mana universiti,” katanya.

Pada majlis tersebut SSTC diwakili pengarahnya Natalie Fung serta Pengurus Latihan, Jennifer Michael.

Hadir sama, Pengurus Besar Kumpulan UiNVEST, Yusak Yumboris @ Misek; Ketua UMS Centre For Profesional Development (UCPD), Mohd Hamdan Ruhimin; dan Ketua Seksyen Pemasaran dan Promosi UiNVEST, Nerwani Shereen Halik.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.