SELASA, 02 OGOS - Fakulti Pertanian Lestari (FPL), UMS Sandakan muncul sebagai penerima Anugerah Organisasi Paling Aktif menganjurkan kempen derma darah di Sandakan sepanjang tahun 2015.

Penganjur Kempen Derma Darah UMS Sandakan, Wilson Azahari berkata, penghargaan tersebut telah disampaikan Hospital Duchess Of Kent (HDOK) dalam satu Majlis Penghargaan kepada organisasi dan masyarakat awam sempena sambutan Hari Penderma Darah Sedunia baru-baru ini.

Ketika dihubungi beliau berkata, FPL UMS Sandakan dipilih setelah menjadi oraganisasi yang paling banyak menganjurkan kempen derma darah iaitu sebanyak enam kali.

“Penghargaan atau pengiktirafan bukanlah menjadi keutamaan tetapi atas kesedaran dan sebagai tanda sokongan kepada pihak Tabung Darah HDOK Sandakan bagi menampung kekurangan darah yang sering berlaku terutamanya ketika menjelang musim-musim perayaan,” katanya.

Wilson berkata, ia secara tidak langsung dapat mempromosikan FPL, UMS kepada masyarakat sekitar Sandakan.

Majlis penyampaian anugerah disampaikan Pengarah HDOK, Dr. Francis Paul.

Selain daripada Anugerah Organisasi Paling Aktif, Dr. Francis Paul turut menyampaikan penghargaan kepada organisasi yang berjaya mendapatkan jumlah penderma terbanyak serta penderma darah paling aktif yang terdiri daripada masyarakat awam, golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan kalangan staf HDOK sendiri.

FPL bakal mengadakan program Kempen Derma Darah seterusnya pada 28 Oktober 2016 sempena sambutan Ulang Tahun Fakulti Pertanian Lestari yang ke-10 pada 24-30 Oktober 2016. –SS

Sumber: Fakulti Pertanian Lestari

ISNIN, 1 OGOS – Persatuan Suri dan Anggota Wanita (PUSPANITA), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengadakan kunjungan hormat ke Kelab Suri Rumah dan Kakitangan Wanita Universiti Malaysia Sabah (KESUMBA), pagi ini.

Delegasi dari UIAM itu diketuai oleh Pengarah Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar yang juga Pengerusi PUSPANITA UIAM, yang lebih dikenali sebagai ‘Nur El-Shams’, Hafsah Mohd Yusoff.

Rombongan itu disambut mesra oleh Exco dan ahli-ahli KESUMBA di Teratak KESUMBA, UMS.

Bercakap pada majlis tersebut, Hafsah meluahkan hasrat mereka untuk mengetahui lebih lanjut tentang aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan oleh KESUMBA yang memberi manfaat kepada ahli-ahlinya, dan cara-cara untuk menarik lebih ramai ahli dalam kalangan kakitangan mereka untuk menyertai persatuan itu.

“Persatuan kami telah ditubuhkan dua tahun yang lalu, dan setakat ini ahli-ahli kami berjumlah lebih daripada 180 orang,” kata beliau.

Delegasi seramai 21 orang itu turut melawat Muzium UMS dan Stesen Radio Kampus, KKFM. – FL

ISNIN, 01 OGOS – Seramai 100 peserta menjayakan Seminar Lindungi Harta Intelek untuk Kekayaan Masa Hadapan di Dewan Kuliah Podium D, Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), baru-baru ini.

Seminar yang diadakan dari pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang itu dianjurkan Pusat Penyelidikan dan Inovasi (PPI) UMS dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Peserta seminar itu terdiri daripada pensyarah UMS, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Labuan, kakitangan jabatan dan agensi kerajaan, dan pelajar sekolah.

Timbalan Pengarah (Inovasi) PPI UMS, Dr Azizi Haji Adis yang mewakili Pengarahnya, Prof Madya Dr Lee Ping Chin menyempurnakan majlis perasmian.

Menurut Dr Azizi, seminar yang pertama kali diadakan di Wilayah Persekutuan Labuan itu bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya mereka yang berkecimpung dalam bidang keusahawanan dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Beliau berharap menerusi seminar sehari itu, peserta akan menyedari dan mengetahui hak-hak mereka mengenai harta intelek dan hak cipta.

Katanya, UMS mahu menjadi hab kepada pelbagai bidang termasuk aduan dan maklumat kepada orang ramai khususnya di Sabah dan Labuan.

Sehubungan dengan itu, kata Dr Azizi, UMS akan terus bekerjasama dengan MyIPO untuk memberikan pendedahan dan pengetahuan kepada orang ramai dan komuniti mengenai harta intelek.

Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Pengarah MyIPO Cawangan Sabah, Law Sha Gek dan Timbalan Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Dr Mohd Rizal  Abd Hamid. -SS

 

Sumber: Azri Onn, UMSKAL

 

 

 

 

JUMAAT, 29 JULAI - Menyedari kepentingan sukarelawan, Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), sebuah organisasi di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan Tinggi menghantar 50 sukarelawan pelajar untuk mengambil bahagian dalam “Green Summer Volunteer Campaign Vietnam 2016”.

Program kesukarelawanan yang bermula sejak 10 Julai sehingga 14 Ogos depan adalah sebahagian daripada usaha bagi memberi pendedahan dan latihan kepada para Pemimpin Sukarelawan.

Dikenali sebagai "Mùa Hè Xanh" di Vietnam, ia merupakan acara tahunan kali ke-23 yang menyaksikan Malaysia melalui YSS, menjadi wakil tunggal dari negara luar yang diiktiraf untuk menyertai kempen sukarelawan dengan kerjasama Ho Chi Minh City Youth Union.

Pada program tersebut UMS diwakili pelajar Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Asmah Kadir dan Muhamad Ezyree Jakaria serta Azizul Adzim Salimin dari Fakulti Psikologi dan Pendidikan.

Sepanjang tempoh lima minggu, sukarelawan dari universiti awam dan swasta, politeknik, kolej komuniti dan institut pendidikan guru bersama-sama dengan pelajar Vietnam dari Universiti Perdagangan Luar Negeri, Universiti Antarabangsa Ho Chi Minh City dan Universiti Ekonomi dan Undang-undang menjalankan kerja-kerja sukarela di Tan Thong Hoi Commune, Daerah Cu Chi, dan dua lagi di Nhon Duc dan Long Thoi Commune, dalam Daerah Na Bhe.

Delegasi sukarelawan Malaysia diketuai Pengerusi YSS, Datuk Zuraidah Atan, yang telah menyelaraskan misi kerjasama itu sejak 2012.

Konsep yang diperkenalkan oleh YSS adalah seiring dengan teras pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pengajian Tinggi), iaitu melahirkan graduan yang mempunyai ciri-ciri keusahawanan, holistik dan seimbang.

Sumber: Nurlina Arappe, YSS KPT

29 JULAI 2016, JUMAAT - Hala tuju yang jelas dan komited merupakan dua tunjang yang mendasari kejayaan Persatuan Pegawai Pengurusan dan Profesional Bukan Akademik UMS (PPUMS) dalam memastikan objektif persatuan itu tercapai.

Menurut Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr Mohd Harun Abdullah, sepanjang 11 tahun PPUMS ditubuhkan, beliau melihat persatuan tersebut mempunyai hala tuju yang jelas selain komited terhadap objektif persatuan, membolehkan PPUMS terus bergerak aktif sebagai antara persatuan di UMS yang mampu membawa manfaat kepada para ahlinya.

“Saya menyarankan agar PPUMS bergerak pantas untuk kekal relevan sebagai persatuan yang disegani, baik oleh para ahli, dalam kalangan pegawai dan warga UMS yang lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Mesyuarat Agung Tahun (MAT) ke-10 PPUMS di Bankuasi, Dewan Canselor, UMS. Turut hadir Pendaftar UMS, No’man Hj. Ahmad; Ketua Pustakawan, Dayang Rukiah Ag. Amit, dan Presiden PPUMS, Azmi Jumat.

Datuk Harun menambah, di samping memperjuangkan kebajikan para ahli, PPUMS juga harus menitikberatkan penambahbaikan dalam soal membantu UMS menyampaikan dasar-dasar yang dibuat oleh universiti, selain bertindak sebagai role model kepada kakitangan sokongan.

Pada mesyuarat agung itu, Jawatankuasa Eksekutif PPUMS  telah membentangkan laporan berkenaan perkembangan terkini persatuan di samping  membawa beberapa usul untuk dibincangkan.

Mesyuarat diakhiri dengan  majlis sambutan Aidilfiri yang diserikan dengan kehadiran semua ahli dan tetamu kehormat.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.