- Jumlah paparan: 2157
Warga UMS Zahir Ucapan Takziah Kepada Keluarga Mendiang Tan Sri Datuk Seri Panglima (Dr.) Yeoh Tiong Lay
KHAMIS, 19 OKTOBER – Warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) menzahirkan ucapan takziah kepada Puan Sri Tan Kai Yong dan keluarga atas pemergian Mendiang Tan Sri Datuk Seri Panglima (Dr.) Yeoh Tiong Lay yang meninggal dunia kelmarin.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin dalam satu kenyataan menjelaskan, pemergian Tan Sri Yeoh amat dirasai oleh warga UMS khususnya kerana selain menjadi Pro Canselor UMS, beliau juga banyak memberikan sumbangan dana bagi membantu pembangunan dan penyelidikan universiti serta biasiswa YTL kepada pelajar pascasiswazah.
“Antara legasi beliau adalah pembinaan bangunan Yayasan UMS, yang mana beliau turut menyumbangkan dana sebanyak RM3 juta bagi menyempurnakan bangunan tersebut.
“Auditorium YTL di bangunan Yayasan UMS juga telah menjadi lokasi penganjuran pelbagai siri persidangan dan seminar peringkat kebangsaan dan antarabangsa, selari dengan hasrat beliau yang mahukan bangunan tersebut menjadi medan perbahasan ilmiah dan pencetusan idea baharu dalam pelbagai bidang kepakaran,”katanya.
Sidang Konvokesyen UMS juga katanya bakal merasai kehilangan mendiang yang saban tahun sentiasa komited menggalas tanggungjawab sebagai Pro Canselor UMS bagi menyampaikan skrol ijazah kepada graduan UMS.
“Bagi seluruh warga kakitangan dan siswa-siswi UMS, saya merakamkan ucapan takziah kepada Puan Sri Tan Kai Yong dan keluarga atas pemergian mendiang Tan Sri Yeoh.
“Sesungguhnya, UMS amat merasai kehilangan seorang tokoh pemimpin yang komited dan bersifat dermawan,” kata Prof. Datuk Dr. D Kamarudin dalam kenyataan tersebut.



SELASA, 17 OKTOBER – Pensyarah Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Lim Leong Seng telah terpilih sebagai penerima anugerah “Outstanding Young ASEAN-Fisheries Education Network (ASEAN-FEN) Fishery Scientist Award 2017”.
SELASA, 17 OKTOBER - Timbalan Pengarah Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Prof Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal mengetuai Majlis Melafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama warga UMSKAL dalam satu majlis di Bilik Kuliah, Podium D, Bangunan Menara UMSKAL.
ISNIN, 16 OKTOBER - Siswa-siswi Universiti Malaysia Sabah (UMS) merupakan antara 3,000 orang peserta yang memanfaatkan penganjuran Program Keusahawanan Coca Colaku Via KPDNKK dan UMS sebagai asas mendalami kemahiran dan pengetahuan berkaitan keusahawanan baru-baru ini.
JUMAAT, 13 OKTOBER - Lebih 100 peserta dari dalam dan luar negara menyertai ‘Borneo International Social Work Symposium 2017’ yang dianjurkan Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) bermula kelmarin.