KHAMIS, 14 JULAI - Seramai 16 murid tadika Pusat Minda Lestari Universiti Malaysia Sabah (UMS) memeriahkan Bengkel Pendidikan Muzik Awal Kanak-kanak hari ini.

Bertempat di Dewan Resital, UMS, bengkel tersebut telah dikendalikan Pensyarah the University of Hawaii, Prof. Dr. Loong Chet Yeng.

Tinjauan media UMS mendapati, murid-murid tadika berasa sangat gembira dan seronok dengan aktiviti-aktiviti yang dijalankan bermula pukul 9.30 pagi itu.

Mereka telah diajar dengan pelbagai nyanyian dengan gerakan-gerakan yang mampu membentuk tabiat positif dalam keperibadian kanak-kanak.

Penganjuran bengkel tersebut merupakan inisiatif Unit Warisan Penyelidikan Borneo dengan kerjasama Program Muzik Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan serta Kota Kinabalu Music Society. - SS

KHAMIS, 14 JULAI – Unit Penyelidikan dan Kesihatan Sosial (UPPsiKS), Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) telah membuat kunjungan mesra di rumah anak-anak yatim dan miskin di Home Tuaran baru-baru ini.

Kunjungan tersebut turut dijayakan dengan kerjasama empat syarikat, Inspirize Consulting PLT, Fariza Catering & Services, Mel’z Catering dan MUQ Build & Deco

Ketua UPPsiKS, Dr. Ferlis Bullare@Bahari berkata, program itu merupakan satu inisiatif UPPsiKS memberikan khidmat masyarakat dan menyalurkan sumbangan dalam pelbagai bentuk kepada golongan yang kurang bernasib baik berkenaan.

 “Program ini bertujuan untuk mendekati dan menghargai anak-anak yatim serta menyalurkan bantuan bukan sahaja berbentuk wang ringgit dan keperluan harian malah melalui perkongsian ilmu berkaitan gaya belajar mengikut personaliti STIFIn iaitu Sensing, Thinking, Intuiting, Feeling dan Instinct,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Pengurusan Home Tuaran, Sabah, Muarifin Mohchoeri turut melahirkan rasa syukur atas sumbangan serta kehadiran pihak UMS dan berharap semua perkongsian ilmu yang diberikan dapat menjadi pemangkin kejayaan penghuni Home Tuaran.

Program yang melibatkan 15 anak yatim dan miskin ini turut disertai oleh Dekan Fakulti Psikologi dan Pendidikan, Mohd. Dahlan Hj, A. Malek.

RABU, 13 JULAI – Rumah Terbuka Aidilfitri Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Mohd Harun berlangsung meriah, kelmarin.

Bertempat di kediaman rasminya di Taman Kingfisher Sulaman, acara tersebut telah dihadiri warga UMS daripada pelbagai peringkat.

Tinjauan media UMS mendapati para kakitangan universiti bersama-sama meluangkan masa hadir secara bergilir-gilir sekali gus memeriahkan lagi rumah terbuka itu.

Para pelajar UMS turut menjayakan acara tersebut apabila sama-sama menjamu selera pada menu yang dihidangkan.

Dengan pelbagai sajian dan hidangan kuih-muih, Rumah terbuka Aidilfitri itu diadakan sehingga pada waktu malam. 

SELASA, 5 JULAI – Berikutan insiden kebakaran yang berlaku di Kg. Tg. Kapor, Kudat pada pagi 25 Jun lalu, Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Pusat Pendidikan Perubatan Desa, Sikuati, Kudat (PERDESA) dan Kelab Sukarelawan Pacuan 4 Roda UMS (UMS 4WDVC) merintis usaha mengumpul dan mendapatkan sumbangan daripada warga UMS dan orang ramai untuk membantu mangsa yang terlibat baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof yang mengetuai program ini berkata, dalam tempoh 4 hari sahaja mereka dapat mengumpulkan sumbangan berbentuk pakaian, makanan, keperluan dapur serta keperluan bayi dan kanak-kanak.

“Selain daripada itu, kita juga berjaya mengumpulkan wang tunai sebanyak RM31,204 yang didermakan oleh orang perseorangan dan organisasi yang bermurah hati untuk melakukan amal terutamanya pada bulan Ramadan ini.”

“Duit itu dibahagikan kepada ketua keluarga supaya beban kewangan yang ditanggung dapat diringankan, tambahan pula hari raya juga hampir tiba,” katanya.

Tambah Shahril lagi, semua sumbangan yang didermakan dibawa menggunakan dua buah lori dan 17 buah kenderaan pacuan 4 roda.

“Selain sumbangan material berbentuk barangan, kita juga membawa sekali para doktor dan jururawat FPSK untuk merawat dan memeriksa tahap kesihatan penduduk kampung yang terlibat dan menyediakan ubat-ubatan sesuai bagi kegunaan mereka.”

“Penduduk yang terlibat pasti trauma dan masih terkejut dengan kejadian yang menimpa mereka. Justeru, UMS juga akan menghantar pakar psikologi agar trauma yang dihadapi dapat dipulihkan,” jelasnya.

Menurut Shahril juga, bantuan berbentuk bukan fizikal seperti ini merupakan salah satu kepakaran yang ada di UMS dan UMS akan menggunakannya untuk kemaslahatan dan kebaikan kepada masyarakat terutamanya di Sabah.

“Saya berterima kasih dengan semua staf UMS yang terlibat termasuk juga pelajar kerana mereka secara sukarela mahu terlibat dalam program seperti ini. Kerjasama sebegini akan sentiasa ditagih demi memastikan kelancaran program dan sumbangan serta objektif penganjuran dapat dilunaskan.”

Turut menyertai penghantaran sumbangan ini ialah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. D Kamaruddin D Mudin dan Dekan FPSK, Prof. Dr. Zainal Arifin Mustapha.

ISNIN, 04 JULAI - Semua Jabatan, Fakulti, Pusat, Institut dan Unit (JFPIU) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) diminta mengambil langkah-langkah keselamatan bagi menjamin keselamatan aset  semasa cuti Hari Raya Aidilfitri.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Keselamatan UMS, JFPIU perlu memastikan pejabat-pejabat, makmal-makmal, bilik-bilik kolej kediaman serta tempat yang mempunyai aset penting universiti sentiasa berkunci.

Menurut kenyataan itu lagi, suis elektrik pastikan telah ditutup apabila tidak digunakan atau selepas meninggalkan pejabat selain menempatkan kenderaan di lot tempat letak kereta di bangunan keselamatan dan melaporkan kepada pegawai bertugas bahagian tersebut.

JFPIU juga dimohon untuk memaklumkan kakitangan yang boleh dihubungi sekiranya berlaku sesuatu kejadian di pejabat masing-masing.

Sebarang pertanyaan atau aduan kecemasan boleh menghubungi pusat kawalan Unit CCTV dan Komunikasi, Bahagian Keselamatan di talian 088-320 111 atau 088-320 000 sambungan 1199.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.