JUMAAT, 24 MAC - Lima strategi digariskan Pendaftar Universiti Malaysia Sabah (UMS), No’man Datuk Hj Ahmad dalam mencapai aspirasi 2017 yang bertemakan “Mengoptimum Sumber, Memaksima Potensi”.

Lima strategi tersebut adalah Memperkukuhkan Pelaksanaan Program Pembangunan Bakat UMS,     Multi Tasking dan Cross Function Skim Perkhidmatan, Mengoptimum Sumber Melalui Projek DIY, Pemerkasaan Projek Inovasi Pentadbiran, dan Mewujudkan Persekitaran Kerja Yang Kondusif.

Menurut No’man, strategi dan aspirasi ini adalah kesinambungan daripada tema Amanat Naib Canselor UMS 2017 pada 7 Mac lalu, iaitu “UMS Mengoptimum Sumber” yang antara lain mengetengahkan aspek mengoptimumkan segala sumber yang ada, sama ada sumber manusia, teknologi atau aset, modal atau kewangan, mahupun alam sekitar.

“Pengoptimuman sumber ini dapat dilaksanakan jika kita menggunakan segala potensi yang ada, yang mana potensi ini lahir sama ada daripada ilmu pengetahuan, pengalaman, kepakaran, kebijaksanaan dan kelebihan yang kita ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Aspirasi Pendaftar 2017 di Dewan Resital, UMS baru-baru ini.

No’man berkata, sebagai menyokong aspirasi pertama, satu Garis Panduan Program Sangkutan Industri Bagi Kakitangan Pentadbiran akan diguna pakai dan dilaksanakan bagi memberi peluang kakitangan mempelajari amalan terbaik yang dilaksanakan di industri bagi menambah dan memaksimum potensi staf.

“Bagi aspirasi kedua, antara strategi yang diambil adalah seperti memberi autoriti kepada ketua jabatan menggunakan kemahiran setiausaha pejabat masing-masing bagi membantu dalam tugas-tugas keurusetiaan sesuatu mesyuarat utama yang ketua jabatan tersebut pengerusikan atau sebagai setiausaha.

“Strategi bagi aspirasi ketiga adalah menggalakkan lebih banyak Pusat Tanggung Jawab (PTJ) tampil dengan projek Do It Yourself (DIY), selain cadangan untuk melibatkan pelajar dengan kontrak kecil-kecilan di universiti seperti membaiki tombol pintu, pembersihan, landscaping yang jelas mendokong konsep value for money,” jelas beliau.

Ujar No’man lagi, dalam aspirasi keempat pula, tiga usaha digariskan dalam memperkasakan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) iaitu menubuhkan KIK Hybrid, iaitu kumpulan kakitangan dari dua atau lebih PTJ yang bersilang fungsi dan bekerjasama untuk sesuatu projek, menekankan kepada aspek keberhasilan dan impak projek, serta mengembangkan projek menerusi aktiviti replikasi dan pengkomersialan.

“Universiti juga sedang dalam usaha mendapatkan pensijilan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) daripada MAMPU yang antara faedahnya adalah mampu menjana idea kreatif dan inovatif dalam kalangan kakitangan, serta menekankan amalan hijau, sekali gus selari dengan aspirasi kelima yang digariskan,” katanya.

Pada majlis tersebut, No’man juga menyampaikan watikah pelantikan kepada 10 ahli jawatankuasa pengurusan rekod UMS dari pelbagai PTJ.

KHAMIS, 23 MAC - Pencapaian akademik amat penting bagi tahap asasi kerana ilmu yang diperoleh merupakan asas bagi mengikuti program-program prasiswazah selepas menghabiskan Program Asasi Sains, di Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST), kata Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah.

Menurut beliau, para pensyarah pula perlu membantu pelajar-pelajar bukan sahaja dari segi pembelajaran, malah seharusnya memberi inspirasi dan memupuk minat mereka agar terus mendalami ilmu sains.

“Saya juga ingin mengingatkan para pelajar agar sentiasa bersyukur dengan peluang belajar di PPST, lebih-lebih lagi dengan kelengkapan dan kemudahan yang serba baharu ini,” katanya.

Datuk Harun berkata demikian ketika merasmikan Bangunan Utama PPST, kelmarin.

Beliau berkata, pelajar yang kini menuntut di PPST adalah kumpulan pelajar yang bertuah kerana dapat mengikuti Program Asasi Sains di UMS berbanding dengan puluhan ribu calon yang telah memohon untuk mengikuti program itu.

“Para pensyarah haruslah melaksanakan tugas mendidik pelajar-pelajar muda ini dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh seperti mengajar adik-adik sendiri kerana mereka inilah yang akan menjadi perintis para jurutera, doktor, saintis dan juga pensyarah pada masa hadapan,” tambahnya.

Menyentuh mengenai bangunan baharu PPST, Datuk Harun berkata, PPST amat bertuah kerana mempunyai bangunan sendiri, yang tersergam indah dan berkonsepkan EcoCampus, sesuai dengan kelestarian alam sekitar.

“Bangunan baharu ini pasti akan memberi suntikan baru dan menaikkan lagi semangat warga PPST untuk bekerja lebih gigih dan bersungguh-sungguh bagi meningkatkan kecekapan tadbir urus serta mendukung segala visi UMS secara amnya,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. D. Kamarudin D. Mudin; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Shahril Yusof; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Ismail Ali dan   Pengarah PPST, Prof. Madya Dr. Sazmal Effendi Arshad.

 

 

 

KHAMIS, 23 MACGrand Recital 2017 bagi sesi akademik 2016/2017 yang dianjurkan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW), Universiti Malaysia Sabah (UMS) berlangsung meriah di Dewan Resital, baru-baru ini.

Penolong Penyelaras Program, Sri Ningsih Sukirman berkata, FKSW melalui gabungan tiga program iaitu Seni Kreatif, Muzik dan Teknologi Seni Visual mengadakan acara itu sebagai platform para peserta mempraktikkan sekali gus mempersembahkan pengetahuan yang dipelajari dalam bidang seni.

“Dengan mengetengahkan elemen klasik, program yang gilang-gemilang itu mendapat penyertaan memberangsangkan daripada kakitangan dan pelajar FKSW dengan pelbagai persembahan termasuklah tarian Zapin dan muzik Keroncong,” katanya.

Beliau berkata, Grand Recital 2017 turut memberi penghormatan terakhir kepada pengarah dan penggiat teater terkenal Malaysia yang juga bekas pensyarah UMS, Prof. Madya Dr. Rohani Md Yousuff yang meninggal dunia pada 24 Februari lalu.

Dalam pada itu, Dekan FKSW, Prof. Dr. Ismail Ibrahim dalam ucapannya berkata, acara berkenaan sangat bertepatan dan wajar untuk diteruskan sebagai usaha menyemarakkan lagi bidang kesenian.

Turut membuat persembahan pada Grand Recital 2017 ialah Penyelaras Program, Suhaimi Magi; Pengarah Pentas, Sharip Zainal Sagkif Shek; Felix Agus dan Hajijah Lamiri.

Grand Recital akan diteruskan lagi pada bulan April dan Mei depan.

 

 

 

RABU, 22 MAC - Universiti Malaysia Sabah (UMS) melancarkan dua program baharu merangkumi Kursus Sarjana Sastera (Kerajaan dan Hubungan Antarabangsa) serta Ijazah Sarjana Muda Pendarasan Islam yang ditawarkan di universiti itu bermula tahun 2017.

​Majlis pelancarannya disempurnakan Ketua Menteri Sabah merangkap Pro Canselor UMS, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman di Dewan Bankuasi, bangunan Dewan Canselor, kelmarin.

Dalam ucapannya beliau berkata, penawaran kursus di bawah Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) itu bukan sahaja memberi peluang kepada pegawai-pegawai kerajaan negeri dan persekutuan, malah kepada penduduk negeri Sabah khususnya untuk melanjutkan pengajian dalam bidang berkenaan.

“Kursus ini memberi peluang kepada mahasiswa untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi serta dapat mendalami ilmu berkaitan isu-isu semasa, sama ada ​di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa,” katanya.

Menurut Datuk Musa, penawaran kursus Kerajaan dan Hubungan Antarabangsa juga ​akan membantu pegawai-pegawai kerajaan negeri dan persekutuan untuk mengaplikasi​kan ilmu yang dipelajari dalam melaksanakan tugas-tugas perkhidmatan yang mereka lakukan dengan lebih cemerlang lagi.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMS Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata, kursus Kerajaan dan Hubungan Antarabangsa ditawarkan untuk program sepenuh masa dan separuh masa di bawah Pusat Pengajian Pascasiswazah UMS yang menjurus kepada penyelidikan dalam bidang tersebut.

“Seramai 26 pelajar telah mendaftarkan diri pada sesi kemasukan Februari yang lalu,” jelas beliau.
Menurutnya, program Pendarasan Islam pula adalah program prasiswazah yang menawarkan Ijazah Sarjana Muda Pendarasan Islam (dengan Kepujian) selama tiga tahun dan akan menerima pelajar pada sesi pengajian semester pertama sesi 2017/2018 pada bulan September ini.

 

RABU, 22 MAC – Sambutan Hari Kerja Sosial Sedunia Peringkat Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mampu meningkatkan kefahaman siswa-siswi UMS khususnya dalam bidang kerja sosial sebagai satu profesion.

Dekan FPP, Prof. Madya Dr. Mohd Dahlan Abdul Malek berkata, ini kerana ramai beranggapan kerja sosial bukan satu program yang profesional, justeru penganjuran program ini yang turut melibatkan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan mampu memberi pendedahan kepada pelajar mengenai profesionalisme bidang kerja sosial yang mereka ceburi.

“Dengan pengenalan Akta Pekerja Sosial yang akan dibentangkan di kabinet tidak lama lagi, ini sekali gus menyokong usaha meningkatkan lagi tahap profesionalisme kerja sosial.

“Ahli kerja sosial umpamanya perlu ke hadapan apabila berlakunya sesuatu bencana bagi membekalkan perkhidmatan profesional berteraskan kerja sosial kepada mangsa bencana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada majlis perasmian sambutan tersebut di Bilik Seminar, FPP.

Dr. Dahlan menambah, pihak FPP juga sedang berusaha untuk mendaftarkan keahlian bagi program kerja sosial di International Association of Schools of Social Work (IASSW) sebagai meningkatkan pengiktirafan program kerja sosial di UMS.

Pelbagai aktiviti disediakan sepanjang dua hari Sambutan Hari Kerja Sosial UMS antaranya program seminar dan ceramah dari NGO, kempen derma darah, sesi refleksologi, car boot sale dan aktiviti bersama anak-anak yatim Home Tuaran.

Sambutan tersebut turut mendapat kerjasama dari Pertubuhan Komuniti Penderma Darah Malaysia, Persatuan Bagi Orang-orang Pekak Sabah, Persatuan Bagi Orang-orang Buta Sabah dan Home Tuaran.