SELASA, 5 JULAI – Berikutan insiden kebakaran yang berlaku di Kg. Tg. Kapor, Kudat pada pagi 25 Jun lalu, Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Pusat Pendidikan Perubatan Desa, Sikuati, Kudat (PERDESA) dan Kelab Sukarelawan Pacuan 4 Roda UMS (UMS 4WDVC) merintis usaha mengumpul dan mendapatkan sumbangan daripada warga UMS dan orang ramai untuk membantu mangsa yang terlibat baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof yang mengetuai program ini berkata, dalam tempoh 4 hari sahaja mereka dapat mengumpulkan sumbangan berbentuk pakaian, makanan, keperluan dapur serta keperluan bayi dan kanak-kanak.

“Selain daripada itu, kita juga berjaya mengumpulkan wang tunai sebanyak RM31,204 yang didermakan oleh orang perseorangan dan organisasi yang bermurah hati untuk melakukan amal terutamanya pada bulan Ramadan ini.”

“Duit itu dibahagikan kepada ketua keluarga supaya beban kewangan yang ditanggung dapat diringankan, tambahan pula hari raya juga hampir tiba,” katanya.

Tambah Shahril lagi, semua sumbangan yang didermakan dibawa menggunakan dua buah lori dan 17 buah kenderaan pacuan 4 roda.

“Selain sumbangan material berbentuk barangan, kita juga membawa sekali para doktor dan jururawat FPSK untuk merawat dan memeriksa tahap kesihatan penduduk kampung yang terlibat dan menyediakan ubat-ubatan sesuai bagi kegunaan mereka.”

“Penduduk yang terlibat pasti trauma dan masih terkejut dengan kejadian yang menimpa mereka. Justeru, UMS juga akan menghantar pakar psikologi agar trauma yang dihadapi dapat dipulihkan,” jelasnya.

Menurut Shahril juga, bantuan berbentuk bukan fizikal seperti ini merupakan salah satu kepakaran yang ada di UMS dan UMS akan menggunakannya untuk kemaslahatan dan kebaikan kepada masyarakat terutamanya di Sabah.

“Saya berterima kasih dengan semua staf UMS yang terlibat termasuk juga pelajar kerana mereka secara sukarela mahu terlibat dalam program seperti ini. Kerjasama sebegini akan sentiasa ditagih demi memastikan kelancaran program dan sumbangan serta objektif penganjuran dapat dilunaskan.”

Turut menyertai penghantaran sumbangan ini ialah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. D Kamaruddin D Mudin dan Dekan FPSK, Prof. Dr. Zainal Arifin Mustapha.

ISNIN, 04 JULAI - Semua Jabatan, Fakulti, Pusat, Institut dan Unit (JFPIU) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) diminta mengambil langkah-langkah keselamatan bagi menjamin keselamatan aset  semasa cuti Hari Raya Aidilfitri.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Keselamatan UMS, JFPIU perlu memastikan pejabat-pejabat, makmal-makmal, bilik-bilik kolej kediaman serta tempat yang mempunyai aset penting universiti sentiasa berkunci.

Menurut kenyataan itu lagi, suis elektrik pastikan telah ditutup apabila tidak digunakan atau selepas meninggalkan pejabat selain menempatkan kenderaan di lot tempat letak kereta di bangunan keselamatan dan melaporkan kepada pegawai bertugas bahagian tersebut.

JFPIU juga dimohon untuk memaklumkan kakitangan yang boleh dihubungi sekiranya berlaku sesuatu kejadian di pejabat masing-masing.

Sebarang pertanyaan atau aduan kecemasan boleh menghubungi pusat kawalan Unit CCTV dan Komunikasi, Bahagian Keselamatan di talian 088-320 111 atau 088-320 000 sambungan 1199.

KHAMIS, 30 JUN - Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan ditutup sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh jabatan itu, penutupannya akan dibuat selama dua hari iaitu pada 6 dan 7 Julai 2016.

Walau bagaimanapun Pangkalan Data Perpustakaan UMS  masih boleh dilayari melalui www.ums.edu.my/library/ atau facebook.com/umslibrary.

Sementara itu, Pusat Rawatan Warga dan Poliklinik UMS (Kingfisher Riverside) turut mengeluarkan waktu perkhidmatan sempena cuti semester II sesi 2015/2016 bermula 03 Julai hingga 28 Ogos 2016.

Waktu perkhidmatan bagi Isnin hingga Khamis ialah pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang dan masa rehat ialah dari pukul 1.00 – 2.00 petang.

Hari Jumaat, waktu operasi masih sama namun Pusat Rawatan Warga dan Poliklinik UMS itu masing-masing akan berehat pada pukul 11.30 pagi – 2.00 petang.

Kedua-duanya juga akan ditutup pada Sabtu dan Ahad termasuk pada cuti umum.  

RABU, 29 JUN – ‘Ketuk-ketuk Ramadan Bendahari’ kembali lagi pada tahun ini dengan menyajikan menu yang menarik untuk diagihkan kepada kakitangan dan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Dianjurkan oleh Kelab Kakitangan Rekreasi Jabatan Bendahari, aktiviti yang memasuki tahun keempat itu akan menyajikan Nasi Hujan Panas, Ayam Madu Insaf, Kacang Ataturk dan Laici-kang.

“Aktiviti ini merupakan acara tahunan bagi jabatan Bendahari bagi mengimarahkan bulan Ramadan yang mulia ini sekali gus mengukuhkan lagi ikatan silaturahim sesama kakitangan,” kata Timbalan Bendahari di Jabatan Bendahari, Mohamad Edrus Othman.

Ketika ditemui pemberita, Penolong Bendahari, Johnson Yong Thau Sze yang telah berkhidmat lebih daripada tujuh tahun berasa teruja dengan acara berkenaan sambil memberitahu seluruh kakitangan jabatan itu bersama-sama mengambil bahagian tanpa mengira kaum dan agama.

Pembantu Tadbir, Hazlinah Nasruddin menyatakan acara tersebut memupuk semangat muhibbah dan kerjasama dalam kalangan kakitangan jabatan di samping menyumbang juadah berbuka puasa kepada kakitangan yang lain.

Untuk rekod, Jabatan Bendahari juga telah menyumbang makanan kepada majlis berbuka puasa dan moreh semalam di Masjid UMS. – FL

SELASA, 28 JUN - Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah bersama-sama pegawai utama dan kanan universiti telah menghadiri majlis berbuka puasa bersama kakitangan dan pelajar UMS di Masjid UMS semalam.

Pada majlis tersebut, Datuk Harun mewakili UMS menerima sumbangan zakat berjumlah RM15 ribu yang disampaikan oleh wakil Pusat Zakat Sabah.

Beliau kemudiannya mengagihkan sumbangan zakat kepada 14 kakitangan UMS yang terdiri daripada golongan kurang kemampuan, mualaf, dan ayah tunggal, serta 43 orang pelajar UMS.

Berkonsepkan makan duduk bersila, Datuk Harun bersama-sama warga UMS berbuka puasa setelah berkumandangnya azan Maghrib tepat jam 6.33 petang.

Beliau kemudiannya menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih bersama para jemaah yang hadir.

Selesai Solat Sunat Tarawih, Datuk Harun kemudiannya bersama-sama Menteri Pembangunan  Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Hajah Jainab Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid mengagihkan jamuan moreh sumbangan McDonald 1Borneo, dan hamper sumbangan peribadi Datuk Hajah Jainab kepada para pelajar UMS.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.