SELASA, 28 MAC -  Satu Memorandum Perjanjian (MoA) ditandatangani Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini bersama Biosain Technologies Sdn. Bhd. untuk melaksanakan projek penyelidikan bagi memajukan sistem pemurnian minyak.

MoA itu ditandatangani Timbalan Naib Canselor UMS (Akademik dan Antarabangsa) Prof. Dr. D. Kamarudin D. Mudin, dan pengarah Biosain Technologies Sdn. Bhd., Chung Chin Hing.

Melalui MoA itu, Biosain Technologies Sdn. Bhd. akan menyediakan dana penyelidikan sebanyak RM100,000, manakala UMS menyumbang RM70,000 bagi melaksanakan penyelidikan bersama selama tiga tahun itu.

Terdahulu, Prof. Dr. D Kamarudin ketika membacakan ucapan Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata, projek penyelidikan yang diterajui pensyarah Fakulti Kejuruteraan (FKJ), Dr. Jidon Adrian Janaun sememangnya amat bermanfaat kepada industri minyak kelapa sawit di negara ini.

“Kita sangat berterima kasih kerana Biosain Technologies Sdn. Bhd. melihat potensi daripada penyelidikan yang dijalankan oleh Dr. Jidon dan kumpulan penyelidiknya.

“Sesungguhnya, kerjasama penyelidikan antara universiti dengan pihak industri seumpama ini amat diperlukan untuk menghasilkan penyelidikan yang berkualiti dan memenuhi keperluan pihak industri,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu, Pendaftar UMS, No’man Datuk Haji Ahmad dan Ketua Pustakawan UMS, Dg. Rukiah Ag. Amit.

ISNIN, 27 MAC - Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah melaksanakan aktiviti Tanggung Jawab Sosial Korporat (CSR) di Kg. Sayap, Kota Belud yang berpotensi untuk pembangunan ekopelancongan.

Diketuai Dekannya, Prof. Madya Dr Raman Noordin berserta 34 pensyarah dan kakitangan pentadbiran FPEP, program CSR Penyelidikan ini juga adalah atas persefahaman yang telah dibentuk lebih awal dengan Focus Group Hiking Trail (FGHT) Kg. Sayap menerusi penasihat FGHT iaitu Boni Cherry Jelorence, guru SK Sayap.

Dalam majlis ringkas yang diadakan, Dr Raman menyampaikan ucapan terima kasih kepada penduduk Kg. Sayap atas kesudian menerima lawatan dan penyelidikan yang bakal dilakukan.

“Konsep CSR yang dilaksanakan ini akan memfokuskan kepada penyelidikan kebolehlaksanaan serta kedayatahanan prospek ekopelancongan kampung yang ditawarkan oleh Kg. Sayap.

“Program yang dirancang selama dua hari ini bertujuan melihat sendiri potensi-potensi yang terdapat di persekitaran kampung ini, dan akan disusuli dengan aktiviti penyelidikan oleh para pensyarah FPEP,” katanya.

Antara aktiviti yang diadakan sepanjang program CSR Penyelidikan tersebut adalah gotong-royong memperkemas dan memperindah Tugu Gansatan yang merupakan tapak awal peletakan batu asas penempatan kampung, aktiviti malam kebudayaan dengan mengetengahkan Tarian Siri-siri yang menjadi kebanggaan penduduk Kg. Sayap, dan pendakian Lituk Hiking Trail dengan jarak pendakian ke puncak Gunung Nopunggok dan pendakian turun sepanjang 13 kilometer.

Keunikan budaya di Kg. Sayap serta kepelbagaian khazanah alam semula jadi yang indah merintis satu lagi inisiatif penyelidikan jangka panjang buat FPEP ke arah menjalin hubungan erat bersama masyarakat kampung serta menotakan satu manifestasi terhadap kepekaan dan keprihatinan FPEP khususnya, dan UMS secara amnya dalam membangunkan komuniti setempat menerusi mekanisme penyelidikan yang memanfaatkan masyarakat.

ISNIN, 27 MAC - Exco Perhubungan Korporat Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman E, Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya menganjurkan Kursus Etika dan Protokol di Kompleks Dewan Kuliah Pusat Ke-2 baru-baru ini.

Menurut Pengarah Program, Siti Irra Shahirah Mohd Yasin, kursus sehari itu bertujuan memperkasa kesedaran etika dan protokol yang merupakan salah satu kemahiran insaniah yang penting untuk dikuasai para mahasiswa.

“Ia bagi memberi pendedahan dan mengajar siswa-siswi agar mengetahui dengan lebih jelas sekali gus mematuhi etika dan protokol sesuatu majlis dan memudahkan mereka dalam menganjurkan sebarang program,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, kursus itu telah diisi dengan slot ceramah penyediaan minit mesyuarat, penulisan berita, slot penyediaan ‘banner’, ‘bunting’ dan poster serta slot ceramah penulisan surat rasmi dan pengurusan majlis.

Siti Irra berkata, setiap slot disampaikan penceramah jemputan yang dibarisi Pegawai Psikologi Bahagian Sumber Manusia, Carrie Grace Jaymess; Ketua Sektor Komunikasi Strategik Bahagian Perhubungan Korporat (BPK); Che Hasruddin Che Hasan, Pereka Kanan BPK; Azmawati Amarasikin serta Kurator BPK, Mohd Hilmey Saili.

Kursus itu disertai 75 peserta daripada ahli-ahli JAKMAS, Majlis Ketua-Ketua Sekretariat (MKKS),  Majlis Ketua-ketua Blok (MKKB), Majlis Ketua-ketua Kelab (MKKK) dan pelajar Kolej Kediaman E.

JUMAAT, 24 MAC – Pensyarah Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Azlinah Matawali cemerlang pada International Conference on Natural Products 2017 apabila berjaya menggondol anugerah Best Presenter Award pada persidangan peringkat antarabangsa tersebut di Swiss Garden Beach Resort, Perak baru-baru ini.

Persidangan anjuran Malaysia Natural Product Society dan Universiti Pendidikan Sultan Idris itu menyaksikan Azlinah mengatasi 84 orang pembentang lain dari universiti awam lain antaranya Universiti Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, dan beberapa lagi universiti tempatan, serta universiti luar negara antaranya dari Indonesia dan Brunei Darussalam.

“Sungguh tidak menyangka atas kejayaan ini kerana persaingan hadir dari penyelidik-penyelidik berpengalaman daripada universiti penyelidikan (RU).

“Pada persidangan ini, saya membentangkan kajian mengenai c. odorata atau pokok kapal terbang yang berpotensi sebagai perencat Protein Phosphatase Type-1 yang biasanya terdapat semasa pengaruhan signal pada sel kanser.

“Projek ini diusahakan bersama pensyarah Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), iaitu Prof. Madya Dr. Jualang Azlan Gansau, Prof. Madya Dr Lee Ping Chin dan Prof. Madya Dr How Siew Eng, dan projek ini di bawah geran Prof Madya. Dr. Jualang,” katanya.

Tambah Azlinah, pencapaian beliau pada persidangan ini akan dijadikan satu permulaan yang baik untuk mencapai lebih banyak kejayaan pada masa akan datang, sekali gus mengangkat nama UMS di persada antarabangsa.

“Persidangan sebegini merupakan latihan dan pendedahan yang baik untuk saya dan rakan-rakan penyelidik muda yang lain.

“Semoga lebih banyak lagi hasil kajian dapat dihasilkan sekali gus menyumbang kepada nilai tambah terhadap bidang bioteknologi dan kimia hasilan semula jadi di Sabah dan seterusnya menjadikan UMS sebagai peneraju utama dalam bidang ini di Malaysia,” ujar beliau.

 

 

 

JUMAAT, 24 MAC - Lima strategi digariskan Pendaftar Universiti Malaysia Sabah (UMS), No’man Datuk Hj Ahmad dalam mencapai aspirasi 2017 yang bertemakan “Mengoptimum Sumber, Memaksima Potensi”.

Lima strategi tersebut adalah Memperkukuhkan Pelaksanaan Program Pembangunan Bakat UMS,     Multi Tasking dan Cross Function Skim Perkhidmatan, Mengoptimum Sumber Melalui Projek DIY, Pemerkasaan Projek Inovasi Pentadbiran, dan Mewujudkan Persekitaran Kerja Yang Kondusif.

Menurut No’man, strategi dan aspirasi ini adalah kesinambungan daripada tema Amanat Naib Canselor UMS 2017 pada 7 Mac lalu, iaitu “UMS Mengoptimum Sumber” yang antara lain mengetengahkan aspek mengoptimumkan segala sumber yang ada, sama ada sumber manusia, teknologi atau aset, modal atau kewangan, mahupun alam sekitar.

“Pengoptimuman sumber ini dapat dilaksanakan jika kita menggunakan segala potensi yang ada, yang mana potensi ini lahir sama ada daripada ilmu pengetahuan, pengalaman, kepakaran, kebijaksanaan dan kelebihan yang kita ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Aspirasi Pendaftar 2017 di Dewan Resital, UMS baru-baru ini.

No’man berkata, sebagai menyokong aspirasi pertama, satu Garis Panduan Program Sangkutan Industri Bagi Kakitangan Pentadbiran akan diguna pakai dan dilaksanakan bagi memberi peluang kakitangan mempelajari amalan terbaik yang dilaksanakan di industri bagi menambah dan memaksimum potensi staf.

“Bagi aspirasi kedua, antara strategi yang diambil adalah seperti memberi autoriti kepada ketua jabatan menggunakan kemahiran setiausaha pejabat masing-masing bagi membantu dalam tugas-tugas keurusetiaan sesuatu mesyuarat utama yang ketua jabatan tersebut pengerusikan atau sebagai setiausaha.

“Strategi bagi aspirasi ketiga adalah menggalakkan lebih banyak Pusat Tanggung Jawab (PTJ) tampil dengan projek Do It Yourself (DIY), selain cadangan untuk melibatkan pelajar dengan kontrak kecil-kecilan di universiti seperti membaiki tombol pintu, pembersihan, landscaping yang jelas mendokong konsep value for money,” jelas beliau.

Ujar No’man lagi, dalam aspirasi keempat pula, tiga usaha digariskan dalam memperkasakan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) iaitu menubuhkan KIK Hybrid, iaitu kumpulan kakitangan dari dua atau lebih PTJ yang bersilang fungsi dan bekerjasama untuk sesuatu projek, menekankan kepada aspek keberhasilan dan impak projek, serta mengembangkan projek menerusi aktiviti replikasi dan pengkomersialan.

“Universiti juga sedang dalam usaha mendapatkan pensijilan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) daripada MAMPU yang antara faedahnya adalah mampu menjana idea kreatif dan inovatif dalam kalangan kakitangan, serta menekankan amalan hijau, sekali gus selari dengan aspirasi kelima yang digariskan,” katanya.

Pada majlis tersebut, No’man juga menyampaikan watikah pelantikan kepada 10 ahli jawatankuasa pengurusan rekod UMS dari pelbagai PTJ.