ISNIN, 20 JUN – Program Bazar Ramadan My Best Buy UMS yang bermula sejak 6 Jun lalu mampu menyumbang kepada usaha memupuk semangat keusahawanan dalam kalangan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Ismail Ali berkata, program yang diadakan bersama oleh Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Keusahawanan (ERDEC) dan FAMA Negeri Sabah dilihat satu titik permulaan yang baik sama ada bagi semua pihak untuk terus menjalin kolaborasi yang lebih erat dalam melahirkan usahawan-usahawan dalam kalangan siswa-siswi UMS.

“Sokongan penuh sentiasa diberikan kepada siswa-siswi agar terus aktif dalam menceburi bidang keusahawanan yakni merupakan nilai tambah yang berharga.

“Diharapkan agar anda semua dapat memanfaatkan segala ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang menjalankan program Bazar Ramadan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu Majlis Perasmian Bazar Ramadan dan Majlis Berbuka Puasa 2016 baru-baru ini di Anjung Siswa, yang dirasmikan oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah.  

Sementara itu, Datuk Harun dalam ucapannya berkata salah satu tujuan Bazar Ramadan diwujudkan di UMS adalah untuk kemudahan kepada yang berpuasa terutamanya pelajar dan staf UMS.

Ujarnya lagi, kewujudan bazar ini turut membuka peluang perniagaan kepada pelajar yang berminat dalam bidang keusahawanan.

Pada majlis tersebut, Datuk Harun turut menyampaikan sumbangan kepada kumpulan pelajar B40, anak-anak dari Yayasan Kebajikan Suria, Kota Kinabalu, dan kumpulan pelajar yang terlibat dalam kemalangan bas pada 7 Jun lalu.

 

ISNIN, 20 JUN - Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Awangku Hassanal Bahar Pengiran Bagul dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Penasihat the International Sustainable Campus Network (ISCN) bagi tempoh dua tahun bermula Jun 2016.

Pelantikan itu sekali gus menjadikan UMS sebagai universiti pertama di Malaysia yang dilantik ke jawatankuasa berkenaan yang terdiri daripada 20 ahli ISCN dari universiti terkemuka dunia.

Menurut Dr Hassanal, jawatankuasa tersebut bertindak sebagai badan pemikir dalam kelestarian kampus di dunia yang berpusat di Zurich, Switzerland.

“Antara tugas-tugas utama semua yang dilantik termasuklah membentuk cadangan dan memandu pembangunan organisasi dan kandungan program ISCN,” katanya ketika ditemui media selepas tiga hari menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Penasihat ISCN di University of Siena, Itali baru-baru ini.  

Dr. Hassanal turut menyuarakan rasa berbesar hati atas pelantikan tersebut dan sangat berbangga kerana ISCN mengiktiraf UMS sebagai kampus lestari bertaraf global.

“Pengarah Eksekutif ISCN, Zena Harris turut menyampaikan salam kepada pihak UMS dan berharap agar pihak universiti sentiasa bersama-sama ISCN untuk terus menjadi inovatif dan inklusif di peringkat global melalui pembentukan Jawatankuasa Penasihat ISCN itu,” tambah beliau.

Untuk rekod, UMS juga merupakan universiti pertama di Malaysia yang diterima sebagai ahli institusi ISCN pada tahun 2014 sebagai sebahagian daripada inisiatif EcoCampus.

UMS terus aktif dalam aktiviti-aktiviti kelestarian kampus global terutamanya dengan Regional Conference on Campus Sustainability (RCCS) pada setiap tahun dan kini menduduki tangga  ke-173 sebagai sebuah universiti lestari di UI-GreenMetric World University Ranking. - SS

JUMAAT, 17 JUN - Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menawarkan pakej bufet berbuka puasa pada kadar harga yang berpatutan.

Menurut kenyataan fakulti itu, pakej berkenaan diadakan selama dua hari iaitu pada 21 dan 22 Jun 2016 bermula pukul 6.00 petang hingga  8.30 malam.

Bertempat  di  ‘Mock Restaurant ’ FSMP, kadar bayaran yang dikenakan adalah serendah RM40 seorang dengan pelbagai jenis juadah berbuka yang disediakan.

Pada hari pertama, lauk utamanya ialah Ayam Panggang Barbados, Daging Masak Lada Hitam, Ikan Asam Pedas, Sotong Goreng Tepung , Brokoli Masak Sos Tiram, Ulam-ulaman dan Sambal Belacan.

Hari kedua pula, sajian utamanya ialah Ayam Percik, Rendang Daging, Sup Tom Yam Campur, Ikan Masak Lemak, Sayur Campur, Ulam-ulaman dan Sambal Belacan.

Lauk utama tersebut disajikan dengan pelbagai sajian pembuka selera di samping pelbagai pilihan minuman dan pencuci mulut.   

Sehubungan itu, mereka yang ingin membuat tempahan boleh menghubungi Nurshada Ramdin di talian 014-9523152 atau Amry Rahmat 014-8645733.

 

KHAMIS, 16 JUN – Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar baru-baru ini tampil menghulurkan bantuan kepada lebih 2,000 mangsa kebakaran dalam tragedi 23 Mei di Kampung Landung Ayang, Kudat.

Rombongan UMS yang diketuai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Ismail Ali memberi sumbangan berbentuk keperluan asas seperti minuman dan makanan kepada mangsa kebakaran berkenaan.

“Kami berasa sedih dan simpati atas kejadian yang berlaku di kampung ini. Sebagai makluman, kita di UMS bukan sahaja menjalankan kegiatan akademik semata-mata, tetapi kami juga sentiasa prihatin dengan isu semasa yang berlaku apatah lagi tragedi ini turut melibatkan seorang pelajar kami,” kata Dr Ismail.

Katanya,  warga UMS turun padang ke kampung itu sebagai inisiatif untuk membantu komuniti yang memerlukan.

Sementara itu, bantuan kepada keluarga pelajar, Siti Badariah Abdul Pattah telah diadakan di kediaman ibu saudara beliau di Kampung Tanjung Kapur, Kudat.

Bantuan tersebut berupa makanan dan wang ringgit bagi membantu Siti Badariah meneruskan pengajian di UMS.

Sumbangan tersebut turut dijayakan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS), UMS.

Hadir sama, Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS, Azmi Jumat.

RABU, 15  Jun  - Universiti Malaysia Sabah (UMS) melancarkan Kumpulan Penyelidikan ‘Sustainability Initiative in the Marginal Seas of South and East Asia’ (SIMSEA) baru-baru ini.

Menurut Ketua SIMSEA UMS, Profesor Dr. Fadzilah Majid-Cooke, pelancarann itu sekali gus membolehkan UMS menjadi rakan kongsi beberapa institusi dari Jepun, New Zealand dan Filipina dalam menjana dasar dan pengetahuan berkaitan komuniti.

“SIMSEA UMS terdiri daripada penyelidik dari pelbagai pusat kecemerlangan dan fakulti UMS termasuk Institut Penyelidikan Marin Borneo, Fakulti Sains dan Sumber Alam, Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan dan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, SIMSEA merupakan pakatan antarabangsa saintis semula jadi dan sosial yang mendapat sokongan daripada Majlis Antarabangsa Pejabat Wilayah Sains bagi Asia dan Pasifik (ICSU ROAP).

“Salah satu objektif SIMSEA adalah untuk bersama mereka bentuk program integratif yang akan mewujudkan kelestarian Laut Marginal Selatan dan Asia Timur,” jelas Dr. Fadzilah.

Sementara itu, SIMSEA akan mengadakan simposium penyelidikan serantau pada 26-28 September 2016 di Filipina bagi meneroka potensi kerjasama penyelidikan dan penubuhan rangkaian tindakan pengetahuan bagi rantau ini.

 Maklumat lanjut berhubung simposium boleh diperolehi melalui http://simseaasiapacific.org/call-for-session-proposals-simsea-regional-symposium-2016-on-26-28-september-2016-at-quezon-city-philippine/. – FL

Sumber: UMS SIMSEA Kumpulan Penyelidikan

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.