ISNIN, 4 APRIL - Sesi kuliah Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan ditangguhkan sekiranya paras Indeks Pencemaran Udara (IPU) semakin meningkat, kata Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah.

Katanya, pihak universiti akan mengambil langkah itu serta merta sekiranya kualiti udara terus merosot bagi memastikan keselamatan dan kesihatan warga kampus khususnya dalam kalangan para mahasiswa.

“Pihak universiti memandang serius terhadap situasi jerebu yang melanda pada ketika ini dan akan terus membuat pemantauan dari semasa ke semasa sambil mengikuti perkembangan paras IPU terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Datuk Harun berkata, sebagai langkah awal UMS akan mengedarkan topeng jerebu secara percuma kepada para mahasiswa.

Menurutnya, topeng tersebut boleh diperoleh melalui kolej-kolej kediaman dan pejabat Jabatan Hal Ehwal Pelajar sebagai usaha membantu mahasiswa menapis daripada terhirup molekul-molekul udara tercemar yang boleh memudaratkan kesihatan.

Datuk Harun turut menasihatkan warga kampus agar mengurangkan sebarang aktiviti luar sehingga paras kualiti udara semakin pulih.

“Dalam masa yang sama, saya berpesan kepada para kakitangan dan mahasiswa UMS agar sentiasa mengamalkan pengambilan air minum yang banyak,” tambahnya lagi.

Sehingga pukul 1.30 tengahari tadi, Jabatan Alam Sekitar Sabah mencatatkan bacaan 68 IPU bagi kawasan Kota Kinabalu.

IPU antara 0 hingga 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya).

Pada Ahad, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah mengumumkan penutupan 77 buah sekolah di sekitar Beaufort, Kuala Penyu dan Papar ekoran jerebu yang semakin teruk.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dalam sebuah laporan akhbar nasional 19 Mac lalu memaklumkan, Naib Canselor melalui konsep autonomi boleh membuat keputusan sendiri tanpa merujuk kepada kementerian. -SS-

JUMAAT, 1 APRIL - Wajadiri Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi (WSCPUH) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mempelawa warga kampus UMS terutamanya pelajar untuk hadir ke ceramah dijadualkan berlangsung di Dewan Kuliah Pusat Ke-2 (DKP 25) malam ini.

Menurut jurucakap kelab ini, Mohd Syaffezh Edham bin Ahmed yang juga merupakan Presiden kelab, ‘Majlis Penerangan’ tersebut akan bermula pada pukul  7.30 malam.

“Kami mengalu-alukan pendaftaran ahli baharu ke kelab ini kepada yang berminat,” ujarnya, sambil mendedahkan bahawa keahlian kelab ini mencecah hampir 100 orang.

Wajadiri Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi UMS ditubuhkan pada 1994, iaitu tahun UMS ditubuhkan.

Antara acara kemuncak kelab ini adalah apabila mereka mengambil bahagian secara aktif dalam temasya kejuaraan festival silat peringkat kebangsaan.  Mereka juga turut mengambil bahagian dalam ‘The Largest Silat Lesson’ pada 29 Ogos 2015. – FL

Photo: WSCPUH

KHAMIS, 31 MAC - Gugusan Sains Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang terdiri daripada Fakulti Sains Sumber Alam (FSSA), Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB), Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB) serta Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST)  berganding bahu membantu penduduk Kampung Lentuong, Karambunai baru-baru ini.

Menurut Dekan FSSA, Prof. Dr. Baba Musta, projek yang merupakan tanggung jawab sosial korporat (CSR) gugusan itu melibatkan usaha membaik pulih infrastruktur surau yang telah uzur.

“Kita sangat bersyukur kerana projek selama lima minggu ini turut mendapat kerjasama yang baik daripada orang perseorangan dan agensi-agensi luar yang telah memberikan sumbangan dana,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujar beliau, penduduk Kampung Lentuong juga telah memberikan kerjasama erat membolehkan segala kerja-kerja amal yang dilaksanakan dapat dijayakan dengan baik.

“Diharapkan projek ini dapat memberi manfaat kepada orang kampung secara keseluruhannya,” tambah Dr. Baba.

Sementara itu, Pengerusi Surau kampung itu, Lakin Rajin turut menyatakan rasa syukur dan terharu atas keprihatinan warga kerja UMS untuk menabur khidmat bakti di kampung berkenaan.

“Kami amat berterima kasih atas keprihatinan dan nilai kemasyarakatan yang ditunjukkan oleh kalangan kakitangan universiti yang terlibat dan berharap aktiviti-aktiviti amal seperti ini diteruskan lagi pada masa akan datang,” ujar beliau.

Projek amal tersebut telah dinobatkan sebagai Projek Amal Terbaik sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat UMS baru-baru ini, menyaksikan kemenangan bagi tahun ketiga berturut-turut oleh Gugusan Sains UMS, ataupun digelar Kumpulan Al-Jawwad.

Sumber: Kenny Uwai, FSSA

KHAMIS, 31 MAC – Sebanyak 30 peserta menyertai Bengkel Tarian Melayu ‘Kita Serumpun’ anjuran Kelab Kebudayaan dan Kesenian Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.

Ketua Bahagian Kebudayaan dan Kesenian, Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Alan James berkata, penganjuran program itu bertujuan menyatukan pengiat seni tari UMS di samping meningkatkan mutu dan kualiti para pengiat seni universiti.

“Selain itu, program ini bagi memberi pendedahan dan pengalaman baharu kepada peserta dengan bengkel yang berkonsepkan tarian Melayu seperti tarian inang, zapin dan joget,” katanya ketika berucap pada perasmian penutupan program tersebut di Dewan Taekwondo UMS.

Berlangsung selama tiga hari, bengkel itu dikendalikan pensyarah Fakulti Kemanusiaan Seni dan Warisan yang cukup berpengalaman dalam hasil karya tradisional dan kreatif, Suhaimi Magi.

Bengkel yang disertai para penggiat seni tari dalam kalangan pelajar UMS kampus induk dan Kampus Antarabangsa Labuan itu turut dihadiri pengarah program, Ahmady Radi. - SS

Sumber : Norhana Nordin

Foto : Jalani Moksin

RABU, 30 MAC – Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah mengingatkan warga universiti agar sentiasa mengamalkan budaya integriti dalam setiap urusan harian.

Bercakap ketika menyampaikan amanat 2016 di Dewan Canselor UMS hari ini, Profesor Datuk Dr. Harun menegaskan bahawa budaya rasuah perlu dijauhi dan dipupuskan dalam kalangan warga universiti.

“Jika kita terjebak dengan rasuah, tinggi mana jawatan kita sekalipun, kita akan memusnahkan imej universiti yang kita sayangi ini,” katanya.

Tambah beliau, meskipun bekerja sebagai penjawat awam dan makan gaji tidak akan menjadikan seseorang itu hidup mewah, tetapi maruah, harga diri dan prinsip perlu ditegakkan atas dasar pegangan agama.

“Janganlah gelapkan mata anda dengan wang ringgit sahaja, janganlah juga hanya mengejar kekayaan semata-mata, apa yang penting keikhlasan kita bekerja dengan penuh integriti akan mendatangkan kekayaan yang kekal.

“Hanya dengan keikhlasan anda semua kita dapat  bersatu, menetapkan fikiran yang satu, bagi menyempurnakan matlamat universiti ini agar senantiasa melangkah dan melangkah maju ke hadapan,” ujarnya.

Seramai 3,000 warga kampus yang terdiri daripada kakitangan dan pelajar menghadiri majlis tersebut dengan tema ‘UMS Bersatu Melangkah Maju’. -ZMD

Foto: Suzeanywati Gasinin

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.