
Bahagian Media dan Citra

KHAMIS, 28 MEI - Persatuan Mahasiswa Psikologi, Pendidikan dan Sains Sukan (PERMAPPS) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan program ‘Lambaian Menara Gading’ di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beaufort 3, baru-baru ini.
Menurut Pengarah Program, Dayang Norlisa Datu Harun, program motivasi selama dua hari itu telah disertai 95 pelajar tingkatan satu hingga lima sekolah berkenaan.
“Kami berkongsi kepentingan pendidikan dan pengalaman belajar di UMS bersama adik-adik di sekolah ini dan berharap perkongsian tersebut dapat menjadi penyuntik semangat buat mereka untuk meneruskan pengajian nanti,” katanya ketika ditemui media.
Terdahulu, Pengetua SMK Beaufort 3, Roslinah Suhailin ketika merasmikan program tersebut berkata pihaknya berharap kolaborasi program motivasi antara sekolah berkenaan dan UMS akan berterusan.
“Program ini sangat bermanfaat dan menyuntik semangat para pelajar sekolah melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat pengajian tinggi,” ujarnya.
Turut hadir, Ketua Program Pendidikan dengan Sains Sosial UMS, Dr. Dayang Norizah Ag. Kiflee.-ZMD
Bahagian Media dan Citra
Sumber: HEP

RABU, 27 MEI- “Hargailah apa yang kamu ada, jangan pernah melepaskannya, kerana saat kamu melepaskannya, ada orang lain yang sedang menangis mencarinya, maka itu berusahalah selagi kamu diberikan peluang.”
Demikian kata-kata Rohany Gabi, pelajar program Sejarah Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan UMS yang menderita Kanser Tulang tahap akhir selama hampir 10 tahun.
Beliau berpesan agar para pelajar perlu memanfaatkan kesihatan yang ada dengan aktiviti berfaedah seperti menuntut ilmu dan mengelakkan aktiviti yang sia-sia.
“Sejujurnya saya merasa sedih apabila ramai orang yang sempurna, ada ibu bapa, sihat tubuh badan tetapi tidak terlalu menghargai kesempurnaan itu,” tambahnya lagi.
Anak kelahiran Keningau itu disahkan menghidap tahap akhir Kanser Tulang ketika beliau berusia 12 tahun.
Beliau yang disahkan tidak mempunyai harapan oleh doktor kemudiannya terpaksa menjalani pembedahan membuang tulang paha sepanjang 26 sentimeter dan diberi rawatan kemoterapi sebanyak 10 pusingan.
Selama menghidap penyakit tersebut, beliau turut berhadapan dengan pelbagai cabaran memilukan termasuk pemergian ayah kesayangan kerana terlibat dalam kemalangan di tempat kerja ketika Rohany berumur 14 tahun.
Dalam masa sama, penyakit kansernya turut merebak ke paru-paru serta mengalami kesedihan berganda apabila seorang abangnya turut meninggal dunia dalam satu musibah.
Sering menjadi bahan ejekan dan dipinggirkan rakan-rakan sekolah, semua itu tidak pernah menghalang Rohany untuk kekal positif dalam mendepani penyakit yang amat digeruni itu.
“Pada tahun 2013, saya bersyukur kepada Tuhan atas keajaiban yang diberikan-Nya apabila doktor mengesahkan sel-sel kanser di paru-paru telah hilang dengan sendiri dan saya juga disahkan bebas sepenuhnya daripada kanser tulang,” ujarnya yang turut menjalani pembedahan lebih daripada 10 kali sepanjang tempoh rawatan. -SS
RABU, 27 MEI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus menerima penghormatan apabila pensyarah Sains Sukan Fakulti Psikologi dan Pendidikan UMS, Dr. Mohamad Nizam Nazarudin terpilih sebagai penilai kursus Kejurulatihan Pengadil Ragbi Dunia Tahap 2 baru-baru ini.
Dr. Nizam berkata, kursus yang diadakan di Hong Kong itu menyaksikan beliau diberi tugasan menilai pengadil dari Singapura dan dua pembantu pengadil dari Jepun.
“Sesi penilaian itu berlangsung ketika mereka mengadili perlawanan ujian antara Hong Kong dan Korea Selatan,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada media UMS.
Dr. Nizam merupakan Presiden Persatuan Ragbi Pengadil Sabah dan Naib Presiden Persatuan Ragbi Kota Kinabalu.
Antara pencapaian yang cukup membanggakan termasuklah menjadi satu-satunya pengadil dari Malaysia yang mempunyai tahap tertinggi dalam bidang kejurulatihan kepengadilan ragbi dan juga merupakan Educator Worlg Rugby yang boleh mengendali serta mengeluarkan sijil kepengadilan di peringkat antarabangsa. –SS
Bahagian Media dan Citra
Sumber: Sains Sukan, FPP
![]()
Terma Pengguna | Penafian | Dasar Privasi | Polisi Keselamatan | Dasar Hak Cipta | Paparan Terbaik 1366x768