Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC) Universiti Malaysia Sabah (UMS) meneruskan kerjasama dengan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dalam pemantauan kualiti udara di sekolah-sekolah khususnya di negeri ini.

Pengarah NDRC UMS, Profesor Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn Melissa Payus berkata, pihaknya dan UNICEF memperkembangkan program Air Quality Monitoring in Schools (AQUAMS) yang berbentuk projek penyelidikan dan perundingan bertujuan memantau kualiti udara di sekolah-sekolah.

Katanya ia merupakan salah satu langkah komprehensif untuk melindungi daripada kemerosotan kualiti udara berterusan dengan adanya sistem pemantauan on-site serta down -scale.

“Sebelum ini kami telah mengadakan program yang sama di lima buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Saint Michael Penampang; Sekolah Menengah Kebangsaaan Agama Tun Ahmad Shah Kota Kinabalu; Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hwa Tamparuli; Sekolah Kebangsaan Buang Sayang Papar dan Sekolah Indonesia Kota Kinabalu.

“Terbaharu kami bersama Jabatan Pelajaran Negeri Sabah dan Jabatan Perlindungan Alam Sekitar sedang mengenal pasti beberapa lagi sekolah di sekitar Kundasang dan Ranau untuk pemasangan alat pengesan kualiti udara di sekolah berkenaan.

“Dengan adanya jalinan kerjasama seperti ini ianya dapat meningkatkan sokongan dari segi teknikal, perkongsian data serta kepakaran, seterusnya membantu dalam membangunkan pelan tindakan serantau terutamanya yang melibatkan kesihatan dan persekitaran kanak kanak,” ujarnya.

Tambah Carolyn, perubahan iklim telah memberi kesan signifikan kepada kanak-kanak akibat daripada toleransi mereka yang lebih rendah terhadap perubahan iklim serta risiko pencemaran sekitaran.

“Dalam dasar perubahan iklim negara, kepentingan kanak-kanak perlu diambil kira kerana mereka adalah golongan yang lebih terdedah kepada kecederaan dan kematian daripada keadaan cuaca ekstrem seperti banjir atau kemarau akibat perubahan iklim.

“Daripada program AQUAMS juga, ia mewujudkan usaha yang dipandu oleh komuniti untuk memantau kualiti udara melalui penggunaan kaedah saintifik di negeri ini,” katanya.

Turut bekerjasama dalam program AQUAMS adalah Unit Penyelidikan Komunikasi Pembangunan (C4D) UMS yang diketuai oleh Dr. Lai Che Ching @ Abdul Latif.

 

Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC) Universiti Malaysia Sabah (UMS) membuka ruang latihan industri kepada empat pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Pengarah NDRC, Profesor Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn Melissa Payus berkata, latihan industri itu merupakan salah satu daripada program pihaknya untuk membolehkan pelajar didedahkan dengan lebih dekat kepada pelbagai bentuk penyelidikan bencana alam serta pengurusan era perubahan iklim.

Carolyn berkata antara yang dipelajari oleh mereka adalah pendedahan terhadap permodelan dan ramalan risiko banjir, praktikal dalam seismik dan reka bentuk bangunan, analisis geokimia serta perubahan iklim dan cuaca ekstrem.

“Program latihan industri ini merupakan salah satu keperluan kurikulum akademik pelajar untuk mereka menamatkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Geosains) dengan Kepujian.

“Melalui program ini juga pelajar berpeluang mengunjungi dan mengendali fasiliti SEISCOMP3 iaitu sistem pemantauan aktiviti seismik gempa bumi yang terdapat di makmal NDRC.

“Sistem ini memantau aktiviti seismik gempa bumi (real time data) daripada stesen-stesen seismik gempa bumi di seluruh dunia termasuklah yang terdapat di Sabah. Sistem pemantauan gempa bumi di makmal NDRC ini merupakan hasil kerjasama strategik dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) sejak tahun 2021,” jelasnya.

Tambah Carolyn, pelajar yang menjalani program latihan industri di NDRC juga akan dilibatkan secara aktif dalam program khidmat masyarakat yang dianjurkan oleh NDRC.

“Kami menjalankan bengkel pembentukan Task Force bersama komuniti serta program pendidikan bencana di beberapa kawasan hot spot bencana termasuklah sangkutan sementara di jabatan kerajaan yang mempunyai hubungan strategik dengan NDRC seperti MET Malaysia dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

“Program penempatan pelajar untuk latihan industri seperti ini telah bermula sejak tahun 2018 lagi dengan sejumlah lebih daripada 14 orang pelajar setakat ini telah berjaya menghabiskan latihan praktikal mereka di NDRC.

“Justeru, NDRC mengalu-alukan penglibatan yang lebih ramai daripada pelajar dari

universiti luar pada masa hadapan. Maklumat lanjut untuk permohonan bagi menjalani latihan industri di NDRC boleh dihantar ke alamat e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.,” katanya.

Program latihan industri ini diletakkan di bawah penyeliaan felo-felo utama NDRC iaitu, Dr. Janice Lynn Ayog, Ir. Ts. Dr. Noor Sheena Herayani Harith, Prof. Dr. Baba Musta dan Pegawai Penyelidik NDRC, Eldawaty Madran.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) komited untuk memperkasa bidang kajian dan penyelidikan secara menyeluruh, Naib Canselor UMS Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor

Beliau berkata usaha itu termasuk menambah baik serta meluaskan jaringan rangkaian kerjasama dengan institusi pengajian tinggi luas dan pemain industri.

Katanya, universiti itu sentiasa meneroka ruang dan peluang untuk memperluaskan bidang penyelidikan dan terbuka untuk bekerjasama dengan pihak lain dalam kerja-kerja penyelidikan.

“Hari ini sekali lagi kita meluaskan langkah kita dalam bidang keilmuan dengan mengadakan kolaborasi bersama Kolej Sains dan Teknologi Nantong (NTST) yang berfokuskan untuk kita bergerak ke depan dalam aspek pendidikan serta penyelidikan.

“Kedua-dua institusi pengajian ini terbukti mempunyai kemampuan dan kebolehan tersendiri dan jika bekerjasama, saya amat yakin ia akan membuahkan hasil dan impak positif kepada perkembangan bidang penyelidikan dan keilmuan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu acara sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara UMS dan NTST. 

Beliau menambah kolaborasi tersebut mampu meningkatkan kualiti dalam bidang penyelidikan yang memberi manfaat kepada keperluan industri secara keseluruhan. 

"Kami telah mengenal pasti pelbagai bidang kepakaran yang boleh diteroka dan dikongsi bagi kepentingan kedua-dua pihak melalui MoU ini. 

"Selain itu, melalui aktiviti pertukaran pelajar juga mampu memperkasa keperibadian pelajar yang berpengetahuan terutama dalam aspek kebudayaan dan pengetahuan terhadap pelbagai perkara baharu," ujar beliau. 

Pada acara tersebut, Kasim mewakili UMS menandatangani dokumen MoU, manakala NTST diwakili oleh Timbalan Setiausaha, Wang Feng. 

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly; Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Ketua Pustakawan UMS, Md. Sazali Md. Salleh; Penolong Naib Canselor (Strategik), Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree; dan Dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, Prof. Madya Dr. Mohd Rahimie Abd Karim.

 

 

 

Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) giat melahirkan lebih ramai guru pendidikan agama Islam di negeri ini yang dilihat masih belum mencukupi keperluan tenaga pengajar di sekolah-sekolah di Sabah.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, dasar 90 peratus guru tempatan dan 10 peratus guru luar mengajar di Sabah (90:10) yang ditetapkan sebelum ini juga masih belum mencapai sasaran.

“Oleh itu, kita telah mengadakan satu Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi memenuhi tuntutan kepada kurangnya jumlah guru di Sabah khususnya dalam subjek pendidikan agama Islam.

“Sudah pasti, dengan kerjasama ini, kita akan dapat melahirkan graduan atau mereka yang mempunyai iktisas dalam bidang Pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Iftar MUIS dan Majlis Menandatangani MoA Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah di antara MUIS dan UMS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini semalam.

Hadir sama Yang Di-Pertua MUIS Datuk Seri Yahya Hussin dan Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Kasim Hj Mansor.

Arifin yang juga Exco Pendidikan dan Agama berkata, kerjasama strategik itu adalah untuk mengadakan Program Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah di Fakulti Psikologi dan Pendidikan UMS.

Katanya, sebagai permulaan seramai 40 pelajar lepasan ijazah sarjana muda yang dipilih dan ditentukan oleh MUIS mengikut syarat dan kelayakan yang ditetapkan UMS.

“Setiap tahun, jumlahnya adalah 40 orang dan 20 daripadanya adalah guru-guru asnaf kita yang belum ada Diploima Pendidikan, maka mereka diberikan pengajian di UMS.  Pengajian ini akan diadakan selama setahun setengah.

“Calon-calon bagi mengikuti pengajian ini juga telah kita kenal pasti iaitu melibatkan guru zakat, guru MUIS dan guru daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS),” katanya.

 

Sumber: Sabah Media

 

Alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Pertubuhan Alumni UMS telah menyampaikan sumbangan berjumlah RM1,000 kepada Pusat Islam UMS (PIUMS) sebagai sumbangan kepada aktiviti Iftar di UMS.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Timbalan Presiden Pertubuhan Alumni UMS yang kini menjalankan fungsi Presiden pertubuhan, Mohammad Pauzi Jhumat kepada wakil Pengarah PIUMS, Noorisah Taljid dalam satu acara ringkas di bangunan PIUMS.

Menurut kenyataan dari Pertubuhan Alumni UMS, sumbangan tersebut adalah bagi membantu pihak PIUMS dalam aspek penyediaan juadah berbuka puasa di Masjid UMS.

“Pertubuhan Alumni UMS amat prihatin terhadap usaha PIUMS yang menyediakan juadah berbuka puasa hampir setiap hari kepada warga UMS khususnya kepada pelajar yang berada dalam kampus.

“Justeru itu, diharapkan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan dan memudahkan urusan-urusan tersebut,” demikian menurut kenyataan pertubuhan itu.

Hadir sama dalam sesi penyerahan tersebut Biro Penglibatan Global Alumni, Suhaimie Sahabuddin; Biro Pendidikan dan Kerjaya Alumni, Mohd. Syafwan Sapiee; dan Setiausaha Agung, Dayangku Rozlina Datuk Pg. Aliuddin