Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) melancarkan Makmal Hidup Bencana Alam Melangkap (MaHBAM) di Kota Belud Sabah bersempena Bengkel Penubuhan Task Force Bencana Alam Melangkap (TFBAM), baru-baru ini.

Lima objektif penubuhan MahBAM ialah membina komuniti yang berdaya tahan terhadap bencana menerusi pengukuhan kapasiti CBDRM; Memperkasa daya tahan dan kesiapsiagaan komuniti melalui pendidikan dan latihan bencana; Menjalankan kajian dan pemantauan bencana alam di Melangkap; Implementasi sains dan teknologi dalam pengurangan risiko bencana dan terakhir; Menjalinkan kerjasama erat dengan komuniti dan pemegang taruh dalam dalam pengurusan bencana.

Ketika merasmikan Makmal Hidup Bencana Alam Melangkap (MaHBAM), Dekan Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) UMS, Profesor Dr. Jualang Azlan Gansau berkata penubuhan makmal tersebut dapat membantu para ahli penyelidik NDRC unutk menjalankan pemindahan ilmu berkaitan pengurusan bencana kepada komuniti.

Selain itu katanya ia bagi menyalurkan kepakaran sedia ada NDRC untuk menjalankan penyelidikan di kawasan berkenaan.

“Ini diharap dapat membantu komuniti mengadaptasikan bencana ini dengan mencari bentuk penyelesaian terbaik untuk menyelamatkan nyawa sekiranya berlaku sebarang bencana.

“UMS secara khususnya FSSA sentiasa berkerjasama dengan masyarakat dan aktiviti pemindahan ilmu dan kepakaran seumpama ini merupakan agenda yang telah disarankan oleh pihak universiti,” katanya.

Pelancaran tersebut turut disaksikan oleh Penolong Pegawai Daerah Kota Belud, Winnie Anggon dan Pengarah NDRC UMS, Profesor Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn M. Payus.

Sementara itu Carolyn berkata penubuhan makmal hidup tersebut merupakan hasil cadangan dan permintaan daripada komuniti Kampung Melangkap Baru yang dizahirkan oleh Ketua Kampung, Somboton Gunsalahon.

“Pihak komuniti berharap NDRC UMS bersama agensi-agensi berkaitan dapat membantu komuniti di Melangkap dalam pengurusan bencana di kawasan ini.

“MaHBAM ini merupakan makmal hidup yang pertama di UMS dan kedua di Sabah selepas Resilience Living Lab Kundasang, yang dilancarkan oleh Disaster Preparedness and Prevention Centre, Universiti Teknologi Malaysia pada tahun lalu; yang mengkhusus kepada pengurusan risiko bencana yang dipacu oleh komuniti itu sendiri.

“Di samping itu juga, NDRC UMS turut menubuhkan Task Force Bencana Alam Melangkap sebagai salah satu aktiviti di dalam MaHBAM.

Caloryn menambah, penubuhan task force tersebut merupakan cadangan oleh komuniti bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kota Belud dan Agensi Pertahanan Awam (APM) Kota Belud dan merupakan yang pertama seumpamanya di Sabah.

Carolyn menambah, komuniti memainkan peranan penting dalam pengurusan bencana kerana mereka lebih arif dengan keadaan persekitaran dan paling hampir dengan kawasan bencana.

“Justeru kesiapsiagaan, persiapan dan tindakan awal oleh komuniti akan mempercepatkan proses menyelamat dan mengurangkan risiko bencana sementara menunggu bantuan dari agensi-agensi lain. Ini dapat mengelakkan kejadian yang tidak diingini seperti kematian dan kerosakan harta benda.

"Adalah menjadi harapan NDRC dengan pelancaran makmal hidup dan penubuhan task force bencana di Melangkap ini akan memberikan lebih banyak faedah serta kebaikan berterusan kepada komuniti Melangkap Kota Belud dalam pengurusan bencana di kawasan mereka,” tambahnya.

Turut hadir, felo-felo Penyelidik Utama NDRC yang juga merupakan Ahli Penyelidik Makmal Hidup Bencana Alam Melangkap, Profesor Dr. Felix Tongkul, Profesor Madya Ts. Dr. Chee Fuei Pien, Ir. Ts. Dr. Noor Sheena Herayani Harith serta Ketua Pejabat Wilayah Sabah, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sabah, Amir Shah Noor Ahmad.

 

Pameran Petak Pertama anjuran bersama alumni Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Galeri Azman Hashim UMS (GAH-UMS) menjadi satu platform kepada artis-artis muda yang terlibat dalam mengorak langkah permulaan ke dalam industri seni negara.

Pameran yang mempamerkan hasil karya bakat-bakat muda yang terdiri daripada 21 orang Alumni UH621001 Teknologi Seni Visual Sesi 2020/2021 ASTiF UMS menyaksikan sejumlah 46 hasil karya lukisan dan arca dipamerkan dan sedia untuk dijual di ruang pameran Kalimaran dan Kaamatan GAH-UMS bermula 4 Mei hingga 14 Jun ini.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj Mansor berkata, penglibatan alumni ASTiF dalam pameran tersebut merupakan bukti komitmen para alumni UMS untuk meneruskan peranan terhadap alma mater walaupun setelah bergelar graduan, sekali gus membentuk satu kolaborasi yang baik.

“Kolaborasi yang baik menerusi pameran ini bakal memanfaatkan kedua-dua pihak baik para peserta pameran mahupun kepada GAH-UMS.

“Penghargaan juga perlu diberikan kepada para tenaga pengajar di ASTiF yang telah mendidik dan menghasilkan graduan berbakat dan berpotensi dalam bidang seni visual negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan sempena perasmian pameran yang disempurnakan oleh Pakar Rujuk Seni Visual Malaysia dan Pengasas Pantau Iraga Art Space, Awang Damit Ahmad di Auditorium Sekafi, GAH-UMS.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pengarah GAH-UMS, Prof. Madya Dr. Mohammad Puad Bebit

Sementara itu, Awang Damit dalam ucapan perasmiannya menitipkan pesanan kepada para pengkarya baru agar terus memegang keyakinan dan perjuangan dalam bidang seni meskipun masa, ruang dan suasana dalam konteks industri seni telah mengalami perubahan seiring dengan perubahan globalisasi dan urbanisasi.

“Generasi muda pelukis-pelukis Malaysia perlu terus bergerak dan menjadi pencetus kepada model pengkarya baru akan datang.

“Untuk mencapai hasrat tersebut, para pengkarya perlu persediaan dan pencapaian rapi dengan kerangka pemikiran, gagasan, jangkauan minda, kebijaksanaan dan pengamatan yang melangkaui masa dan ruang,” katanya.

Ujar beliau, peranan institusi seperti GAH-UMS yang menyokong kelangsungan kegiatan seni lukis memberi cukup ruang kepada pelukis generasi baru untuk terus berkembang, berkarya dan meneroka pelbagai kemungkinan baru.

Awang Damit kemudiannya berkesempatan meluangkan masa bersama para pengkarya untuk membincangkan perkembangan seni lukis tanah air dalam satu sesi Bicara Seni yang bertajuk “Masih Ada Ruang”.

Hadir sama pada majlis tersebut Ketua Pustakawan UMS, Md. Sazali Md. Salleh; Pengarah Penganjur Pameran, Irham Zulhilmi Mohd. Johan; dan para pengkarya tempatan serta pengkarya dari Negara Brunei Darussalam.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi tuan rumah Bengkel Strategik Majlis Alumni Universiti Awam (MAlumni) 2024 yang telah berlangsung baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS merangkap Pengerusi Majlis Alumni Universiti Awam Malaysia, Prof. Madya Dr. Raman Noordin berkata bengkel tersebut memfokuskan agenda dan perbincangan bagi memperkukuh fungsi serta peranan MAlumni Universiti-universiti Awam Malaysia.

Menurut beliau lagi, bengkel tersebut turut mengemaskini program yang akan dianjurkan pada tahun ini iaitu Majlis Anugerah Alumni (MAL23).

“Bengkel strategik ini telah berlangsung selama dua hari bermula 25 hingga 26 April dan dihadiri oleh pengarah-pengarah dan wakil pusat alumni universiti masing-masing.

“Antara perkara yang menjadi topik pada bengkel tersebut adalah memurnikan teras utama MAlumni, semakan semula buku panduan pengurusan alumni serta perancangan program berimpak tinggi yang bakal dijalankan pada tahun ini dan tahun hadapan.

“MAlumni merupakan satu platform bagi semua Pusat Alumni universiti awam menggembleng usaha ke arah memperkasakan alumni di seluruh negara,” katanya.

Bengkel yang diadakan di Bangunan Canselori UMS itu turut dihadiri Pengarah Pusat Alumni UMS, Dr. Arif Kamisan Pusiran serta Ketua Penolong Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Nurul Aida Mohd Nordin dan Penolong Pengarah Unit Khidmat Pengurusan BHEP KPT, Idura Yaakup.

 

Kira-kira 1,500 pengunjung hadir memeriahkan sambutan Aidilfitri ‘Raya! Rayakan Alumni’ anjuran Pusat Alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang diadakan di Dataran Dewan Canselor.

Menurut Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor, sambutan tersebut bertujuan mewujudkan semangat kekeluargaan selain mengukuhkan perpaduan sesama alumni UMS.

Katanya ia juga memberi peluang kepada para alumni untuk merapatkan silaturahim sambil menikmati pelbagai juadah yang disediakan.

“Di Aidilfitri inilah kesempatan terbaik untuk saling melupakan semua perselisihan dan persengketaan, seterusnya mengukuhkan kerjasama di antara alumni, bakal alumni dan alma mater.

“Pusat Alumni UMS telah diberikan mandat oleh pihak pengurusan universiti untuk menghubungkan kerjasama yang baik dengan para alumni dan pemegang taruh serta sentiasa mengatur program bagi mewujudkan sinergi yang baik antara kedua-dua belah pihak.

“Adalah diharapkan agar para alumni akan dapat menyumbang kembali ke arah kecemerlangan UMS yang dicintai,” ujarnya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Profesor Madya Dr. Raman Noordin.

Tambah beliau, sambutan tersebut menampilkan kelainan dengan konsep terbuka iaitu dengan penglibatan bakal alumni serta rakan strategik Pusat Alumni UMS.

Majlis yang dianjurkan dengan kerjasama Pertubuhan Alumni UMS dan Alumni Chapter Fakulti/Akademik dihadiri oleh lebih 1,500 orang yang terdiri daripada kakitangan, alumni dan bakal alumni UMS.

Pusat Alumni UMS turut mengagihkan sumbangan duit raya kepada 25 orang penghuni Rumah Anak Kesayangan Sabah sempena sambutan ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia, Profesor Datuk Mohamad Shatar Sabran; ahli-ahli Lembaga Pengarah UMS iaitu Datuk Aliasgar Basri dan Samasuddin Yusop serta Pegawai-pegawai Utama dan Kanan UMS.

 

Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) komited melahirkan murid-murid KAFA yang memahami serta menguasai ilmu agama dan asas fardu ain.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata KAFA UMS menitikberatkan ilmu, adab dan akhlak dalam membentuk kemenjadian diri murid-muridnya.

Katanya, kejayaan murid-murid KAFA bukan hanya diukur pada anugerah yang diraih tetapi kemenjadian insaniah pada seseorang murid adalah pengukur kejayaan sebenar.

“Sebagai orang Islam khususnya anak-anak murid KAFA, kemenjadian seorang murid itu tentulah melibatkan sisi adab dan akhlak yang mulia.

“Sebagaimana Nabi Muhammad SAW diutuskan kepada kaum musyrikin Mekah untuk mengajarkan mereka adab dan akhlak Islam dahulu sebagai tunjang dalam memperbaiki dan memperkuatkan lagi keimanan. Sehinggakan kemuliaan adab dan akhlak menjadi salah satu keistimewaan yang mencerminkan agama Islam mendahului ilmu itu sendiri.

“Saya mendoakan semua anak-anak didik KAFA ini berjaya mendapat manfaat daripada ilmu yang dituntut sepanjang melanjutkan sesi persekolahan di sini. Semoga ilmu dituntut akan menjadi amal ibadah dan diterima oleh Allah SWT.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Prestasi Cemerlang KAFA UMS bagi sesi 2023/2024 dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri KAFA Pusat Islam UMS, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Pusat Islam UMS, Dr. Sarip Adul berkata kejayaan anak-anak dicapai apabila matlamat modal insan Islam berjaya dibentuk oleh generasi akan datang dengan keseimbangan ilmu dan keindahan adab serta sahsiah.

“Pelaburan terbesar kita sebagai ibu bapa adalah anak-anak yang soleh dan solehah. Janganlah kita sesekali meletakkan kepentingan lain melebihi kepentingan dan keutamaan pendidikan agama ke atas anak-anak.

“Bersederhana dalam mendidik dan utamakanlah agama sebagai tunjang dan panduan utama. Pesan saya untuk diri sendiri, para ibu bapa dan guru, didiklah anak-anak dalam usaha membentuk generasi yang mencintai agama Islam melebihi hal yang lain,” katanya.

Pada majlis tersebut, seramai 90 murid diraikan dalam lapan kategori iaitu Pelajar Cemerlang Ujian Akhir Akademik, Pelajar Terbaik Sahsiah, Anugerah Tokoh Pelajar Perempuan dan Lelaki serta Anugerah Tokoh Pelajar Mithali.

Turut diraikan, Graduasi Tahun Lima dan Tahun Enam, Anugerah Kecemerlangan UPKK bagi Sesi 2023/2024, Anugerah Kejohanan Pertandingan Ihtifal dan Anugerah Pelajar Cemerlang 8A UPKK Sesi 2022/2023.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Duru (PIBG) KAFA Pusat Islam UMS, Azmi Jumat dan Penyelia KAFA Daerah Menggatal, Abdul Shukur Tamboroh.