Sekumpulan pelajar Fakulti Perhutanan Tropika (FPT) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mendekati komuniti Kampung Seri Serbang Bongawan, Papar bagi memperkenal kemudahan teknologi digital dalam industri ekopelancongan.

Lima pelajar yang dikenali sebagai kumpulan Reckers itu berkongsi tentang penggunaan teknologi digital dan pengendalian media sosial dalam memajukan sektor ekopelancongan di pusat pelancongan Kalimpapat Enterprise.

Menurut mentor program, Awang Ahmad Mohd Yunus, program tersebut sebagai memenuhi salah satu tugasan yang harus dilakukan oleh kumpulan berkenaan dalam Pertandingan Impact Digital with Community Tourism (IDCT) 2023 anjuran Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Katanya program tersebut antara lain sebagai salah satu usaha membantu komuniti mempromosikan destinasi pelancongan melalui penggunaan teknologi digital.

“Pertandingan IDCT 2023 disertai oleh institusi pengajian tinggi di Sabah dan Sarawak, dan UMS tidak terkecuali. Salah satu syarat pertandingan ini adalah dengan mengadakan aktiviti bersama komuniti.

“Justeru, kami memilih pusat pelancongan Kalimpapat Enterprise untuk program pemindahan ilmu kali ini. Dengan adanya kerjasama antara universiti, komuniti dan industri, program seumpama ini dapat meningkatkan potensi aktiviti pelancongan sekali gus meningkatkan pendapatan komuniti tempatan.

“Promosi destinasi pelancongan dengan menggunakan platform digital dapat menarik lebih ramai pelancong serta memperkembang peluang sedia ada untuk terus meningkatkan bilangan pelancong ke tempat ini,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Kumpulan Reckers, Mohd Syahrul Faiq Mohamad berkata sejumlah RM6,000 telah disalurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk pelaksanaan program tersebut bersama komuniti.

“Pertandingan akhir IDCT 2023 akan diadakan pada bulan Ogos nanti di Kuching Sarawak. Kami berharap kolaborasi antara Kalimpapat Enterprise, Reckers dan semua pihak yang terlibat dalam program ini menjadi contoh bagaimana kerjasama antara universiti-komuniti-industri dapat membawa kebaikan kepada semua pihak.

“Harapan kami agar program ini dapat menjadi inspirasi bagi semua peserta untuk terus menerapkan nilai-nilai kerjasama dan inovasi dalam kehidupan seharian.

“Selain itu, kami juga berharap program ini akan memberikan impak positif kepada komuniti Kalimpapat dan menjadi langkah awal yang bermakna dalam memajukan industri pelancongan tempatan,” tambahnya.

Hadir sama pada program tersebut, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar) FPT, Profesor Dr. Maria Lourdes T. Lardizabal.

 

Kolokium Belia Sabah 2024 yang diadakan di Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini menjadi medan terbaik dalam menghimpunkan golongan belia bagi percambahan minda berkaitan isu dan cabaran semasa golongan belia.

Bertemakan “Ketahanan Kendiri Belia Dalam Mendepani Cabaran Psikososial Era Pasca Modenisasi”, kolokium anjuran Program Pembangunan Belia dan Komuniti, FPP UMS dengan kerjasama Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) itu antara lain membincangkan cabaran psikososial generasi belia serta strategi efektif dalam membantu meningkatkan ketahanan kendiri belia.

Ketua Pegawai Eksekutif IYRES, Dr. Vellapandian A/L Ponnusamy dalam ucaptama sempena program tersebut turut menekankan isu ketahanan kendiri belia dalam era pasca modenisasi.

Menurut beliau dalam era pasca modenisasi dan serba canggih ini, generasi belia berhadapan dengan cabaran psikososial yang melibatkan faktor atau pengaruh psikologi serta sosial.

“Ketahanan kendiri belia sangat dipengaruhi oleh ekosistem generasi belia yang merangkumi faktor dalaman diri belia dan faktor persekitaran,” katanya.

Turut diadakan sempena kolokium tersebut satu forum menampilkan penerima Anugerah Belia Perdana Malaysia, Kategori Wanita Peringkat Negeri Sabah, Aleysa Asah; wakil IYRES, Mohd Rizal Mohd Sham yang merupakan alumni UMS; serta wakil Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Irich Jomi.

Forum yang dikendalikan alumni UMS, Azizul Julirin itu membincangkan pengalaman dan cabaran yang dilalui serta strategi dalam membantu meningkatkan ketahanan kendiri belia.

Pada akhir program tersebut, para peserta turut disajikan dengan persembahan kebudayaan dan nyanyian koir oleh pelajar Tahun Akhir, Program Pembangunan Belia dan Komuniti FPP dengan lagu tema kolokium yang bertajuk ‘Ketahanan Kendiri, Identiti Belia’.

Seramai 100 peserta yang terdiri daripada pelajar dan wakil persatuan belia terlibat dalam menjayakan kolokium tersebut.

Hadir sama Ketua Program Pembangunan Belia dan Komuniti FPP, Dr Lailawati Md Edalan dan penyelaras kolokium, Dr. Gertrude Cosmas.

 

Pusat Sukan Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan mengadakan Kejohanan Varsity Chess Championship bertempat di Dewan Bankuasi UMS pada 12 hingga 15 Jun 2024.

Menurut Pengarah Pusat Sukan UMS, Ahmadi Nurdin, Varsity Chess Championship pada edisi ke-2 tersebut akan mempertandingkan dua kategori iaitu ‘Rapid & Blitz’ bagi institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta kategori ‘Rapid’ bagi kategori sekolah menengah.

“Diharapkan dengan penganjuran ini akan mampu meningkatkan mutu sukan catur di samping melahirkan pemain-pemain catur yang cemerlang.

“Terima kasih kami ucapkan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang memberikan peluang kepada UMS sebagai penganjur.

“Diharap kerjasama erat antara universiti awam dan swasta serta sekolah-sekolah di Sabah dapat merealisasikan matlamat dan objektif kejohanan kali ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Untuk rekod, seramai 150 peserta yang akan turut serta pada kejohanan kali ini.

Majlis perasmian penutupan kejohanan tersebut akan dirasmikan oleh Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Sukan KPT, Datuk Dr. Pekan Ramli.

 

 

Penglibatan aktif dalam pelbagai aktiviti serta pencapaian baik di pelbagai peringkat pertandingan oleh siswa-siswi Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadikan ASTiF sebagai antara penyumbang kepada keterlihatan UMS di peringkat nasional dan persada antarabangsa.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, perkembangan ASTiF yang wujud lebih 20 tahun bermula dari Sekolah Pengajian Seni kepada gabungan fakulti dan akhirnya dikenali sebagai sebuah Akademi memberikan pengalaman yang berguna kepada ASTiF sehingga mampu menghasilkan graduan dan alumni yang berjaya dalam bidang masing-masing.

“ASTiF sebagai akademi yang berteraskan seni kreatif dan inovasi sentiasa menjadi pelengkap kepada segala aktiviti yang dianjurkan oleh UMS khususnya yang melibatkan persembahan hiburan.

“ASTiF juga giat untuk terlibat dalam pertandingan seni di merata tempat, misalnya wakil ASTiF akan bertanding dalam World Championship in Performing Arts (WCOPA) 2024 di Los Angeles, Amerika Syarikat pada penghujung Jun ini.

“Justeru itu, akademi ini dilihat bukan sahaja sentiasa mengangkat citra UMS bahkan turut mengharumkan nama negeri Sabah khususnya dan negara Malaysia di persada antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena sesi Lawatan Cakna ASTiF anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS di bangunan ASTiF, UMS.

Menerusi sesi lawatan tersebut, Kasim berkata prasarana yang sedia ada di ASTiF perlu dipertingkatkan kepenggunaannya bagi memastikan motivasi para pensyarah dan pelajar untuk proses pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar.

Pada masa yang sama beliau percaya bahawa dengan pengiktirafan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Sabah menerusi pewujudan Kerusi BajauSama yang diselaraskan oleh pihak ASTIF akan membolehkan program-program seni dari ASTIF turut sama membantu memartabatkan dan memperkasakan adat budaya tempatan.

“Sabah negeri yang sarat dengan khazanah budayanya dengan terdapat lebih 40 etnik yang mempunyai produk berteraskan citra masing-masing.

“UMS menerusi ASTIF adalah satu-satunya universiti awam di Sabah yang mempunyai tanggungjawab besar dalam menjaga dan memulihara khazanah ini,” katanya.

Terdahulu, wakil MPP ASTiF, Mohammad Azmir Misnani selaku pengerusi penganjur bagi sesi lawatan tersebut memaklumkan selain daripada tinjauan terhadap fasiliti di ASTiF, bersempena dengan sesi lawatan tersebut turut diadakan pameran hasil karya penulisan buku-buku pelajar ASTiF dan hasil karya kreatif pelajar Teknologi Seni Visual, serta pratonton teater Munchausen.

“Selain itu, satu sesi khas Naib Canselor bersama enam pelajar ASTiF yang akan bertanding di WCOPA 2024 turut diadakan di Studio Mozart.

“Melalui sesi lawatan cakna Naib Canselor ini, harapan kami adalah agar usaha siswa-siswi ASTiF untuk terus menempa nama dalam pelbagai aktiviti dan pertandingan akan terus mendapat sokongan dari semua pihak,” katanya, selain turut mengharapkan sokongan dari Naib Canselor UMS sendiri agar hasil karya lukisan pelajar yang bermotifkan Bajau Sama mendapat tempat untuk dipamerkan di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama Sabah di Tuaran.

Hadir sama pada sesi lawatan tersebut Dekan ASTiF, Prof. Madya Dr. Zairul Anwar Md Dawam dan Pengarah Galeri Azman Hashim UMS, Prof. Madya Dr. Mohammad Pu’ad Bebit.