Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperuntukkan sebanyak RM350,000 bagi mengatasi masalah bekalan air di dalam kampus.

Naib Canselor, Prof. Datuk Dr Kasim Hj Mansor berkata, peruntukkan itu antara lain bagi pelaksanaan inovasi bekalan sumber air dalaman seperti air graviti, air bawah tanah dan air hujan.

“Pasukan projek ini diketuai oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Pengarah Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan (JPP), tenaga pakar dan ahli akademik dari Fakulti Kejuruteraan UMS.

“Usaha menjalankan proses penapisan air bersih ini juga akan dibantu oleh para penyelidik UMS yang berkemahiran dan berkepakaran dalam bidang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Naib Canselor 2023, di sini.

Menurut Dr. Kasim, pihak pengurusan tertinggi UMS amat memandang serius terhadap isu air yang kerap dihadapi oleh warga kampus.

“Kesannya bukan sahaja memberi impak kepada pelajar yang tinggal di kolej kediaman, tetapi juga kepada kakitangan yang berada di premis pejabat.

“Terima kasih kepada semua pihak yang akan bersama-sama menjayakan projek ini,” katanya.

Untuk rekod, UMS kampus induk Kota Kinabalu sebelum ini melaporkan penggunaan sistem perpaipan dari punca air bukit dalam kampus bagi membekalkan sehingga 80,000 liter air sehari.

Pada masa yang sama, UMS juga menggunakan perkhidmatan lori tangki untuk membekalkan 300,000 liter air dari loji rawatan air (LRA) Penampang untuk kegunaan kolej kediaman pelajar dan bangunan sekitar kampus.

Antara lain punca adalah disebabkan catuan sementara yang terpaksa dilaksanakan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) akibat ketidakmampuan LRA Telibong menampung keperluan penduduk Daerah Tuaran, Sepanggar dan sekitarnya iaitu 190 Juta Liter Sehari (MLD) berbanding hanya 164 MLD air terawat yang dihasilkan.

Walau bagaimanapun, JANS memaklumkan isu gangguan bekalan air terawat itu dijangka selesai pada tahun 2024.

 

Penyertaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam Eurosian Higher Education Summit (EURIE) 2023 di Istanbul Lutfi Kirdar (ICEC), Istanbul, Turkiye baru-baru ini menjadi platform UMS dalam meneroka peluang kolaborasi akademik bersama institusi dan universiti dari negara-negara di Eropah dan Asia.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, penyertaan UMS dalam persidangan antarabangsa anjuran Erusian Universities Union (EURAS) di Turkiye ini kerana melihat potensi kerjasama yang boleh dijalin dengan universiti lain memandangkan UMS sendiri telah mempunyai kerjasama melalui Memorandum Persefahaman (MoU) dengan tiga buah universiti di Turkiye, iaitu Yildiz Technical University (YTU), Cankiri University dan Marmara University.

“Kerjasama dengan tiga universiti yang dimeterai tahun lalu menyaksikan UMS dan YTU berkongsi Geran Mobiliti Erasmus yang dianggarkan bernilai RM120,000.00 untuk menaja sekurang-kurangnya tiga orang pelajar mobiliti selama satu semester, tiga pensyarah universiti untuk mobiliti akademik, dan tiga staf mobiliti pentadbir.

“Geran yang sama dengan anggaran nilai RM120,000.00 juga dikongsi bagi program mobiliti bersama Cankiri University yang merupakan antara universiti terbaik di Turkiye,” kata Kasim.

Kerjasama tersebut juga katanya turut melibatkan penyelarasan projek penyelidikan bersama dan penganjuran aktiviti pembangunan kokurikulum pelajar seperti persidangan akademik, syarahan, kursus latihan pendek khas, seminar dan simposium.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global (PPPG) UMS, Prof. Madya Dr. Wardatul Akmam Din memaklumkan, persidangan antarabangsa dan pameran akademik yang berlangsung selama tiga hari itu melibatkan penyertaan 200 pempamer dari pelbagai institusi dan 54 sesi plenari.

Katanya, bagi EURIE 2023, UMS telah melaksanakan langkah awal untuk menjalin kerjasama dengan beberapa universiti.

“Antaranya dengan Universitas Negeri Padang dan Universitas Prasetiya Mulia dari Indonesia, selain UMS turut mengintai peluang kolaborasi dengan universiti dari negara Sudan dan Palestin.

“UMS optimis mampu mengadakan jalinan kerjasama pelbagai bidang dengan universiti yang terlibat dalam acara ini memandangkan sejumlah 320 universiti dan organisasi dari 72 buah negara telah mengambil bahagian dalam acara tahunan ini,” ujar beliau.

Delegasi UMS bagi acara tersebut diwakili oleh Dekan Pusat Pengajian Pascasiswazah UMS, Prof. Dr. Rossita Shapawi dan Timbalan Pengarah PPPG, Dr. Norhuda Salleh.

Pemfailan harta intelek Universiti Malaysia Sabah (UMS) meningkat sebanyak 300 peratus dalam tempoh dua tahun sejak 2021.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr Kasim Hj. Mansor berkata, peningkatan itu seiring dengan penubuhan Pusat Pengurusan Inovasi dan Pengkomersialan (PPIP) pada April 2021 yang menyaksikan pemfailan meningkat daripada 42 kepada 150 harta intelek.

“Kita juga telah berjaya mengkomersialkan dua inovasi pada tahun 2022 melalui Perlesenan Harta Intelek iaitu Modular Water Treatment System for Removal of Heavy Metals Integrated with Open Platform Communication (OPC) Online Monitoring, dan Residual Oil Extractor.

“Pengkomersialan kedua-dua reka cipta yang masing-masing dihasilkan Profesor Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly, dan Profesor Madya Dr. Jidon @ Adrian Janaun ini telah membawa pendapatan sebanyak RM30,000 kepada unversiti,” katanya ketika menyampaikan Amanat Naib Canselor 2023, di sini.

Beliau berkata, UMS membuka ruang kepada semua warga universiti termasuklah pensyarah, guru, kakitangan pentadbiran, dan pelajar untuk terlibat menghasilkan inovasi yang boleh menjana harta intelek yang seterusnya dapat dikomersialkan.

“Beberapa inisiatif baharu juga akan diperkenalkan bagi memperkukuhkan aktiviti penyelidikan dan meningkatkan keterlihatan UMS dalam penyelidikan.

“PPIP juga telah menghasilkan profil produk dan laman web untuk meningkatkan pemasaran dan keterlihatan semua produk dan harta intelek UMS,” ujar Dr. Kasim.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan sekurang-kurangnya dua dasar akan dilaksanakan universiti itu pada tahun 2023.

“Universiti sedang merangka Dasar Penubuhan Syarikat Spin-off dan Syarikat Start-up bagi menggalakkan dan memacu budaya keusahawanan dalam kalangan warga universiti, yang seterusnya menyumbang kepada penghasilan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Sabah, dan Malaysia.

“Universiti juga sedang merangka Dasar Perundingan bertujuan untuk merancakkan lagi penggunaan kepakaran warga unversiti untuk menjana pendapatan kepada universiti.

“Pada masa yang sama, universiti juga akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Sabah khususnya melalui Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi Sabah (KSTI) untuk menubuhkan Unit Incubation Hub bagi melahirkan lebih banyak Syarikat Spin-off dan Syarikat

Start-up yang menyumbang kepada pendapatan universiti serta penghasilan syarikat SME,” katanya.

Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperuntukkan RM505,960 bagi fasa pertama projek membangunkan kilang makanan ternakan dan kelengkapan pejabat Pusat Penyelidikan Makanan Ternakan di Kampung Apin-Apin Keningau.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, pusat penyelidikan itu yang juga merupakan makmal hidup (Living – Lab) terbahagi kepada tiga zon melibatkan kawasan berkeluasan 74 ekar.

“Bagi Zon EcoFarm UMS, ia mempunyai keluasan 14 ekar dan diurus secara spesifik oleh universiti ini melalui Pusat Pengurusan EcoFarm.

“Ia melibatkan pengurusan semua bangunan dan kemudahan sedia ada iaitu kilang makanan ternakan, pejabat, bilik seminar, makmal penyelidikan, hostel pelajar, dan tapak penyelidikan makanan ternakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2023, di sini, pada Selasa.

Menurut Dr. Kasim, dua zon selebihnya ialah Zon Industri 1 dan Zon Industri 2 yang masing-masing berkeluasan 40 dan 20 ekar.

“Kedua-dua zon ini dibuka untuk dimajukan oleh pihak industri bagi membolehkan UMS berganding bahu dengan mereka dalam usaha meningkatkan keterjaminan makanan ternakan di Sabah.

“Ini adalah selari dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang berkaitan dalam meningkatkan produktiviti pertanian menggunakan teknologi terkini sejajar dengan Revolusi Industri (IR4.0) dan Internet untuk Segalanya (IoT),” katanya.

Untuk rekod, antara Living-Lab yang dibangunkan UMS termasuklah Forestry (Industrial Plantation Timber) Living Lab, SFER@UMS, ASTIF Creative Living Lab, BORNEENSIS Living Lab, BioTech Living Lab, Kundasang Compost Living Lab dan Rural Medicine Living Lab.

Penubuhannya antara lain bagi merealisasikan matlamat UMS untuk melahirkan masyarakat berinovasi seiring dengan slogan Leading towards Innovative Societies.

 

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Kasim Hj Mansor menggariskan sembilan gagasan utama hala tuju pendidikan tinggi seiring 11 Aspirasi yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia.

Segala perancangan, agenda dan hala tuju baharu itu disampaikan pada Majlis Amanat Naib Canselor Tahun 2023 di Dewan Bankuasi Dewan Canselor UMS hari ini dengan dihadiri lebih 200 warga UMS terdiri daripada ketua-ketua jabatan, ketua-ketua pentadbiran, pegawai-pegawai, kakitangan pelaksana, pelajar dan wakil kesatuan pekerja. 

Menurut Dr. Kasim, pertamanya memperkasakan Keterampilan Penyelidikan seiring keberadaan UMS sebagai pusat penyelidikan di rantau ini bagi membantu menyumbang kepada ekonomi Malaysia khususnya di Negeri Sabah.

“Yang kedua, ke arah mencapai hala tuju kecemerlangan akademik melalui pengukuhan program akademik sedia ada dengan mengetengahkan program-program baharu yang diperlukan di pasaran untuk mempelbagaikan bidang sedia ada.

“Selain itu, kesejahteraan warga UMS turut menjadi keutamaan melalui modenisasi tadbir urus termasuk amalan komunikasi berteraskan teknologi serta pemerkasaan bakat dalam kalangan warga kakitangan akademik dan pentadbiran UMS,” katanya.

Dr. Kasim turut menggariskan Kelestarian Tatakelola Kewangan sebagai gagasan yang keempat.

Katanya, dalam memastikan kaedah penyampaian yang lebih pantas dan efisien, Jabatan Bendahari telah memperkenalkan inisiatif penurunan kuasa kepada Ketua Pusat Tanggungjawab (PTJ).

“Pengurusan UMS juga komited serta sentiasa berusaha mendapatkan dana tambahan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta Dana Khas daripada Kerajaan Sabah selain menggalakkan penjanaan di peringkat PTJ diaktifkan.

“UMS juga bersedia dalam menangani ledakan teknologi yang mana sebuah projek penambahbaikan sistem rangkaian termasuk pertambahan bilangan wifi kini dalam proses pelaksanaan meliputi pertambahan dan penggantian bilangan Access Point Wifi di asrama sebanyak 1,327 unit.

“Bagi meningkatkan kecekapan pemantauan perkhidmatan rangkaian dan keselamatan siber, kita akan menubuhkan satu pusat pemantauan pintar yang dikenali sebagai ICT Intelligent Command Center (ITeC) yang dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada April ini.

“Kita juga akan memperluaskan penggunaan Teknologi Masa Hadapan (Convergence Technology) meliputi penggunaan Blockchain, Internet of Things  (IoT), 600 Digital CCTV dan menaik taraf alat bantu mengajar bilik kuliah,” tambah Dr Kasim.

Sementara itu, beliau turut menggariskan Kelestarian Prasarana sebagai gagasan yang keenam.

“Kita bertekad ingin jadi kampus yang terbaik dan paling lestari di dunia. Makmal yang usang mesti dipulihkan, peralatan yang ada dinaik taraf, dan kita sedar semua ini memerlukan kos.

“Tetapi kita juga perlu sedar bahawa jika lebih banyak kerosakan berlaku disebabkan pengabaiannya, maka lebih tinggi kos yang akan ditanggung,” jelasnya.

Pada masa yang sama Dr. Kasim berkata, pemerkasaan pelajar juga menjadi salah satu gagasan utama seiring dengan azam ke-11 perutusan tahun baharu menteri KPT.

“Bermula tahun 2023, UMS akan melaksanakan agenda Pemerkasaan Mahasiswa melibatkan aktiviti autonomi pengurusan aktiviti pelajar, autonomi pengurusan kewangan aktiviti pelajar, autonomi berpolitik pelajar, dan pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar sepenuhnya oleh pelajar.

“Gagasan seterusnya, UMS akan memastikan kebajikan warga Orang Kurang Upaya (OKU) di universiti ini sentiasa terjamin dengan tambahan dana RM500,000 untuk meningkatkan prasarana yang mesra OKU.

Akhir sekali, Dr Kasim menggariskan Memugar Pendidikan Awal Kanak-Kanak sebagai gagasan yang kesembilan.

“Untuk makluman, pihak pengurusan tertinggi UMS telah meluluskan dana sebanyak RM4.6 juta untuk membangunkan Pusat Minda Lestari (PML) bagi menambah baik fungsi dan peranan PML sebagai living lab bagi menyokong proses pengajaran-pembelajaran, penyelidikan dan latihan praktikal,” katanya.

Pada majlis itu Dr. Kasim turut melancarkan buku elektronik Jabatan Pendaftar UMS bertajuk 'ebook: Panduan Pekerja UMS.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah UMS, Datuk Vincent Pung, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Raman Noordin.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.