SELASA, 2 APRIL - Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi salah sebuah institusi pendidikan tinggi yang telah menyertai persidangan dan pameran akademik antarabangsa anjuran Asia-Pacific Association for International Education (APAIE) yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) baru-baru ini.

UMS yang diketuai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Rasid Hj Mail bersama-sama dengan Pengarah Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global, Prof Dr Ho Chung Mun dan beberapa delegasi dari UMS merupakan antara lebih 2,000 delegasi dari serata dunia yang mengambil bahagian dalam persidangan dan pameran tersebut.

Menurut Prof. Dr. Rasid, penyertaan persidangan ini membuka peluang buat UMS untuk meningkatkan jalinan hubungan antarabangsa universiti.

“Pada dasarnya, APAIE bertujuan untuk mengumpulkan para pendidik, universiti dan organisasi yang berkaitan dengan pendidikan tinggi di Asia Pasifik untuk mempromosikan komunikasi, rangkaian dan pembangunan profesional.

“Persatuan ini memainkan peranan penting dalam memudahkan pertukaran dan pergerakan pelajar, kakitangan dan pakar, dan perkembangan kerjasama akademik antara wilayah, di samping menggalakkan amalan terbaik menerusi jalinan kerjasama yang diwujudkan dalam kalangan pelbagai institusi dan agensi terlibat yang sekali gus mewakili dan mempromosikan pandangan rantau Asia Pasifik mengenai pendidikan antarabangsa ke seluruh dunia,” katanya.

Mengetengahkan tema “Diversity and Inclusivity of Higher Education in the Asia-Pacific” atau Kepelbagaian dan Keterangkuman Pendidikan Tinggi di Asia Pasifik, para delegasi mengambil peluang sepenuhnya untuk membuat lawatan ke ruang-ruang pameran dari institusi lain sambil bertukar-tukar maklumat dan idea sepanjang lima hari program tersebut berlangsung.

 

 

SELASA, 2 APRIL - Pusat Minda Lestari (PML) Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus mengambil inisiatif merapatkan hubungan kakitangannya dengan pihak pengurusan universiti melalui perhimpunan kakitangan bersama Pendaftar UMS, Vina Zahriani Yusof, baru-baru ini.                                                       

Pada perjumpaan tersebut, Pengarah PML Aidah Noordin menyatakan hasrat PML untuk terus mengekalkan momentum dalam usaha menjadikan PML sebagai pusat rujukan pendidikan awal kanak-kanak di rantau Borneo.                                                        

Selain itu juga beliau turut berkongsi tentang pencapaian PML sepanjang tahun 2018 serta memaklumkan beberapa aktiviti utama yang telah digariskan dalam Pelan Strategik PML bagi tahun 2019.

“PML bercadang untuk membuka cawangan di kampus cawangan, selaras dengan hasrat kerajaan berkaitan penubuhan taska di tempat kerja bagi membantu lebih ramai kakitangan mendapat khidmat penjagaan kanak-kanak,” jelasnya.

Tambahnya, semua kakitangan PML yang terlibat dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) harus meningkatkan kemahiran dalam mendidik kanak-kanak.

“Modul sedia ada akan dikemas kini dan saya mensarankan agar para pendidik lebih kreatif dengan  menumpukan aktiviti pengajaran dan pembelajaran berteraskan “Nature Learning”.  Sehubungan itu, semua warga PML digesa agar terus memelihara kelestarian Taman Mini Kreatif PML yang telah siap dibina pada tahun lepas agar dapat menjadi daya tarikan kepada pengunjung PML selain sebagai aktiviti Nature Walk bagi kanak-kanak PML,” katanya.

Sementara itu, Vina dalam ucapannya amat teruja hadir ke PML dan memaklumkan bahawa perhimpunan tersebut adalah antara aktiviti yang telah digariskan dalam Misi Pendaftar 2019.  

“PML adalah merupakan gedung ilmu pendidikan awal atau pendidikan asas kanak-kanak. Selain ibu bapa, tugas dan tanggungjawab guru-guru PML adalah amat penting kerana guru-guru inilah yang akan mencorakkan kanak-kanak.

“Guru-guru harus kreatif dan sistem penyampaian perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan iaitu kanak-kanak harus pada tahap yang terbaik sesuai dengan KRA 4 Jabatan Pendaftar iaitu Mengukuhkan Tadbir Urus, Kepimpinan dan Penyampaian Sistem Perkhidmatan,” ujarnya. 

Tambah beliau, sistem penyampaian perkhidmatan yang berkesan dapat diukur melalui kepuasan pelanggan, kos perkhidmatan yang disampaikan, kecekapan serta keberkesanan perkhidmatan.

“Untuk memastikan penyampaian yang berkualiti, kakitangan harus berkualiti dari sudut prestasi, disiplin, integriti dan sentiasa berusaha memajukan diri.

“Kakitangan harus sentiasa sihat agar mampu menjalankan tugas dengan berkesan, gembira menjalankan tugas yang diamanahkan serta sentiasa berkerjasama atau dengan kata lain menjaga hubungan sesama rakan sekerja dalam organisasi dan mewujudkan suasana kerja yang kondusif dan selamat mampu meningkatkan kualiti perkhidmatan,” katanya.

SELASA, 2 APRIL – Penganjuran program Art’s Street De Pinakol Step yang bertempat di Pinakol Step, Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini mampu mempromosikan lagi Pinakol Step sebagai satu tarikan pelancong untuk melawat dan merakamkan gambar di kawasan tersebut.

Program anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) dengan kerjasama Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) dan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) akan diadakan pada setiap hari Sabtu sebagai usaha menarik perhatian pelancong untuk berkunjung ke Pinakol Step.

Pinakol Step merupakan laluan 138 anak tangga yang dihiasi dengan lukisan corak berasaskan Pinakol, yang merujuk kepada aksesori terpenting sebagai pelengkap kepada pakaian tradisional yang menjadi lambang etnik Rungus di Sabah.

Lukisan tersebut adalah sentuhan oleh 102 pelajar Program Teknologi Seni Visual, FKSW dengan dibantu empat orang pelukis tempatan.

Sementara itu, program Art’s Street De Pinakol Step yang dilancarkan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk K Y Mustafa  turut menjadi satu titik mula bagi memberi peluang kepada para pelajar UMS untuk menonjolkan karya serta bakat mereka.

Pelbagai aktiviti menjadi pengisian pada acara majlis pelancaran program tersebut, antaranya persembahan koir daripada Bakti Siswa PKPP, persembahan busking atau kugiran, persembahan tarian kebudayaan, pameran lukisan, kraf tangan, batik dan demo lukisan, gerai makanan dan minuman, food truck dan sebagainya.

Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Dr. Ismail Ali; Pendaftar UMS, Vina Zahriani Yusof; dan Ketua JHEP, Kamisah Husin.

ISNIN, 1 APRIL - Prof. Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkuat kuasa 1 April 2019.

Pelantikannya ke jawatan tersebut diumumkan Kementerian Pendidikan Malaysia dan berkuat kuasa selama tiga tahun sehingga 1 Mac 2022.

Prof. Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul, 49, memulakan perkhidmatan di UMS sejak tahun 1998 di Sekolah Sains Sosial yang kini dikenali sebagai Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW).

Mempunyai kepakaran dalam bidang Klimatologi, beliau yang kini berkhidmat lebih 20 tahun di UMS juga pernah dipinjamkan ke Kementerian Sains, Inovasi dan Teknologi  Malaysia (MoSTI), dan  Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTECC) dengan memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Setiausaha kementerian.

Selain memiliki kepakaran dalam bidang sains, anak kelahiran Ranau, Sabah ini turut mempunyai kemahiran dalam bidang sastera dan penulisan kreatif.

Majlis serah tugas berlangsung hari ini, yang menyaksikan mantan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof menyerahkan dokumen serah tugas kepada beliau di Cafe De Sireh, Bangunan Canselori UMS.

Majlis itu turut disaksikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk K Y Mustafa; Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin, serta Pegawai-pegawai Utama dan Kanan UMS.

Pihak UMS mengucapkan syabas dan tahniah kepada Prof. Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul, dan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Prof. Dr. Shahril Yusof.

ISNIN, 1 APRIL - Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Exco Keusahawanan dan EcoCampus, Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2018/2019, Pusat Pengurusan EcoCampus dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar turut sama menjayakan program Earth Hour 60+ 2019 baru-baru ini.

Bertempat di Padang Kawad UMS, kira-kira 1,000 orang peserta dari kalangan pelajar dan kakitangan UMS serta orang awam turun padang bagi sama-sama menjayakan program tersebut, yang menyaksikan lampu di dalam kampus dipadamkan selama sejam bermula jam 8.30 malam sehingga 9.30 malam.

Menurut Pemangku Pengarah Pusat Pengurusan EcoCampus UMS, Kueh Boon Hee @ Kelvin, program tahunan tersebut bermatlamat untuk memberikan kesedaran umum kepada warga UMS, khususnya para pelajar, tentang kepentingan pengurangan penggunaan tenaga dan penggunaan tenaga secara lestari dalam kegiatan seharian, selain sebagai perkongsian ilmu dan kemahiran berkaitan dengan usaha mengatasi pemanasan global dan perubahan iklim serta memupuk semangat tanggungjawab bersama yang utuh sesama para pelajar UMS dalam menjaga Bumi ke arah suatu masa depan yang lestari untuk semua.

“Adalah amat mustahak untuk kita semua menjaga alam semula jadi dengan sebaik mungkin kerana nilai dan rangka minda pembangunan lestari sudah menjadi salah satu kualiti terbaru yang paling dikehendaki daripada para graduan universiti, khasnya oleh syarikat gergasi multinasional.

“Usaha ini juga adalah selari dengan Agenda EcoCampus UMS yang berpaksikan lima nilai teras dan enam elemen utama berkisarkan hasrat untuk menjadikan UMS sebagai rujukan serantau dan sedunia dalam pengawasan alam sekitar melalui kecemerlangan dalam pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, pembangunan infrastruktur, pengurusan, amalan operasi dan pengalaman kampus,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UMS, Kamisah Husin ketika mewakili Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ismail Ali menyampaikan ucapan perasmian program tersebut berkata, JHEP sentiasa menyokong program bermanfaat sebegini yang mampu memberi pemahaman yang mendalam kepada pelajar terhadap objektif penganjuran program tersebut.

“Penglibatan aktif para pelajar juga penting dalam memainkan peranan sebagai penyedia penyelesaian kepada pelbagai isu dan cabaran alam sekitar dewasa ini,” ujar beliau.

Beberapa acara menarik menjadi pengisian pada program tersebut, antaranya persembahan ‘Yoga Under The Stars’ yang diketuai oleh JV Yoga Therapy Center Kingfisher, Senamrobik oleh Kolej Kediaman Tun Fuad dan Persembahan Busking Akustik oleh Kolej Kediaman Excellence, selain pameran berkaitan kelestarian alam sekitar dan pembangunan lestari oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) – Taiwan Buddhist Tzu Chi Foundation Malaysia, Little Feet Initiative (LiFe), Young Leaders For Sustainability (YL4S), AIESEC Malaysia (Sabah), dan Jawatankuasa Foundation for Environmental Education (FEE) UMS

Turut diadakan acara penyediaan simbol besar ‘60+’ daripada lilin yang diperbuat menggunakan minyak masak terpakai dan diletak dalam bekas yang diperbuat menggunakan botol minuman plastik serta satu pagar sesat (‘maze’) yang disediakan daripada botol minuman plastik dan kotak kertas terpakai juga dipamerkan yang mana kedua-duanya menarik perhatian ramai orang.

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.