ISNIN, 25 MAC - Universiti Malaysia Sabah (UMS)  berusaha untuk mencapai kecemerlangan akademik dalam pelbagai bidang dengan memperoleh pelbagai pencapaian dan pengiktirafan antarabangsa.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, usaha itu merangkumi aspek  pembelajaran dan pengajaran, penyelidikan dan penerbitan, perkhidmatan sosial, serta  pengkhususan yang seimbang dalam pengetahuan dan perkembangan personaliti pelajar.

“Ia seiring dengan harapan universiti untuk menjadi sebuah institusi yang pakar dalam melatih serta melahirkan tenaga sumber manusia yang mampu bersedia mendepani kepesatan perkembangan dan cabaran masa depan (future-proof human resource).

“Dalam masa sama, ia membolehkan universiti ini mewujudkan modal insan yang bersedia menyumbang ke arah kemajuan masyarakat sejagat dan negara,” katanya.

Datuk Dr. D Kamarudin berkata demikian pada Majlis Perasmian Hari Terbuka Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) yang bertemakan “Meet & Greet, Local, International Students and Postgraduates”, di Ruang Legar Bangunan PPIB, hari ini.  Teks ucapan beliau disampaikan Penolong Naib Canselor, Prof. Dr. Marcus Jopony.

Menurut Datuk Dr. D Kamarudin, UMS sentiasa komited sepenuhnya untuk mencapai standard kualiti tertinggi dalam aspek akademik dan bukan akademik.

“Sejak penubuhannya, UMS telah menghasilkan sumber manusia, pakar dan profesional dalam pelbagai bidang.

“Dengan visi melahirkan pendidikan berkualiti tinggi kepada siswa-siswi tempatan dan global, para pelajar prasiswazah dan pascasiswazah menerima bimbingan dan peluang pembelajaran dalam persekitaran yang menghargai bakat dan inovasi,” jelasnya.

Program Hari Terbuka yang diadakan sehingga 29 Mac 2019 itu turut diisi dengan kempen derma darah, gerai jualan, persembahan pelajar antarabangsa dan acara kebudayaan.

Hadir sama pada majlis perasmian, Dekan PPIB, Prof. Dr. Jualang @ Azlan Abdullah Gansau.

 

 

ISNIN, 25 MAC - Program Khidmat Komuniti Universiti Malaysia Sabah (UMS) Menaiktaraf Bangunan Kelas Tahun Tiga di Sekolah Kebangsaan Tampulan, Telipok merupakan inisiatif daripada UMS sebagai usaha untuk membantu sekolah daif sekitar negeri Sabah.

Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk K Y Mustafa berkata, ini juga adalah usaha UMS dalam membantu pembangunan pendidikan di Sabah, di samping menjadi medium kepada para pelajar untuk bergiat aktif dalam hal ehwal sukarelawan bagi mencurah bakti sesuai dengan idea memasyarakatkan siswa.

“Projek yang turut dibantu oleh Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS ini telah dilaksanakan oleh Kelab Penyayang UMS yang terdiri daripada pelajar UMS seramai 15 orang, dan telah bermula sejak bulan Oktober 2018 sehingga projek ini selesai dan sedia untuk digunakan.

“Saya dimaklumkan, sepanjang projek ini dijalankan, pihak sekolah bersama dengan penduduk kampung sekitar SK Tampulan turut sama membantu dan memberi tunjuk ajar kepada sukarelawan UMS yang terlibat dalam memastikan projek ini dapat dilaksanakan seperti yang telah dirancang, dan sudah pasti nilai tambah yang diperolehi oleh pelajar yang terlibat ini akan menjadi pengalaman bermakna buat mereka sebagai kegunaan dimasa hadapan kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program tersebut di SK Tampulan, Telipok.

Tambah Datuk K Y Mustafa, nilai tambah yang diperoleh tersebut bertepatan dengan nilai-nilai dalam Pendidikan yang ditekankan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik iaitu Sayang (Love), Kegembiraan atau Kebahagiaan (Happiness) dan Saling Menghormati (Mutual Respect).

“Setelah  bangunan ini dinaiktaraf kita berharap agar murid-murid dapat melalui proses pelajaran dan pembelajaran  dengan lebih kondusif dan semoga usaha ini mampu menjadi sumber motivasi kepada para pelajar untuk terus cemerlang.

“Sebagai  institusi pendidikan tinggi yang berada di negeri ini, UMS sentiasa komited untuk terus menjalinkan hubungan bersama dengan sekolah-sekolah sekitar Sabah untuk sama-sama berbakti dan menyumbang dalam memastikan pendidikan di Sabah tidak ketinggalan.

“Tambahan pula, Menteri Pendidikan sendiri telah meletakkan keutamaan dalam membantu sekolah-sekolah daif yang ada di Sabah sebagaimana yang disebutkan dalam amanat beliau pada awal tahun ini,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Mistirine Radin berkata, SK Tampulan, Telipok amat bertuah kerana menjadi pilihan Kelab Penyayang UMS untuk menjalankan khidmat komuniti.

Katanya, sekolah tersebut sememangnya menghadapi keperluan mendesak kerana sebelum ini keadaan kelas yang asal adalah daif dan tidak kondusif bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran, dan telah berlaku sekian lama sehingga menggangu tumpuan murid ketika belajar dan guru yang mengajar juga terjejas terutama semasa keadaan cuaca melampau.

“Projek Menaiktaraf Kelas Tahun Tiga ini adalah hadiah yang sangat bernilai kepada sekolah ini, khususnya kepada murid-murid yang akhirnya dapat mengalami suasana kelas sebenar.

“Kemudahan ini diharap dapat meningkatkan lagi semangat mereka untuk hadir ke sekolah, sekali gus melonjakkan prestasi dalam bidang akademik dan kokurikulum, serta guru-guru juga akan lebih mudah mengaplikasikan pedagogi dan pembelajaran abad ke-21” katanya dalam teks ucapan yang disampaikan oleh wakil beliau, Ketua Sektor Khidmat Pengurusan dan Pembangunan, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Terry Henry.

Pada majlis tersebut, Datuk K Y Mustafa menandatangani plak perasmian kelas tahun tiga serta memotong reben sebagai simbolik kepada perasmian naiktaraf kelas tersebut.

Hadir sama pada majlis itu Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Dr. Ismail Ali; Guru Besar SK Tampulan, Fo Nee Khen; Pemaju Mukim Inanam, Ronny Roger Biun yang mewakili ADUN Inanam, Kenny Chua Teck Ho; dan Pendaftar UMS, Vina Zahriani Yusof.

JUMAAT, 22 MAC - Fakulti Kejuruteraan (FKJ) Universiti Malaysia Sabah (UMS), menandatangani Surat Niat (LoI) dengan Exorin Technologies Sdn. Bhd. di  FKJ, baru-baru ini.

Melalui kerjasama itu, enam buah bas UMS akan digunakan untuk menguji kecekapan produk Exorin bagi mengurangkan pelepasan ekzos berbahaya dan asap hitam seperti karbon monoksida, hidrokarbon dan pelepasan karbon hitam yang merupakan pencemar utama pelepasan diesel.

Dekan Fakulti Kejuruteraan UMS, Prof. Ir. Dr. Abdul Karim Mirasa berkata, LoI itu akan menjadi peluang terbaik untuk UMS untuk belajar tentang industri hijau, dan menggunakan teknologi ini untuk menjadi penghubung kepada industri.

"UMS dan pasukan Exorin bekerja keras untuk menjadikan teknologi ini tersedia untuk semua orang dalam bentuk produk yang cepat, mudah dan pantas agar semua pihak dapat memainkan peranan untuk berkongsi tanggungjawab global dalam menjaga alam sekitar.

“Teknologi ini akan menjadi sebuah penyelesaian untuk memerangi pencemaran yang semakin meningkat dan mengurangi perubahan iklim,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Prof. Ir. Dr. Kasim, teknologi itu berpotensi untuk menjimatkan kos kepada industri tempatan ke arah industri berkarbon rendah.
Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Urusan Exorin Technologies Sdn. Bhd, Clement Lee Nyuk Yin berkata teknologi yang dihasilkan syarikat itu terbukti berfungsi pada setiap enjin diesel.

“Sekarang dengan para pakar UMS untuk meningkatkan dengan formulasi, kami mengambil kesempatan ini untuk meminta setiap industri Malaysia memberi peluang kepada produk tempatan Sabah untuk menghasilkan dan mengeluarkan produk ini.

“Tujuan Exorin adalah untuk memelihara alam sekitar dan untuk generasi akan datang,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) FKJ UMS, Dr. Abu Zahrim Yaser.

 

JUMAAT, 22 MAC - Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST) Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersedia meningkatkan kemasukan pelajar terutamanya dalam bidang sains dan teknologi.

Naib Canselor Profesor Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, UMS komited dalam mendukung inisiatif kerajaan dalam meningkatkan jumlah pelajar aliran sains di peringkat sekolah menengah dan universiti.

“Adalah besar harapan kami untuk melihat para pelajar yang ada di hadapan saya ini mahupun yang di luar sana menceburi bidang sains dan teknologi di alam universiti kelak kerana sains dan teknologi adalah salah satu pemacu utama ekonomi untuk diri, masyarakat dan negara.

“Saya yakin dan percaya bahawa PPST UMS akan sentiasa bersedia berkhidmat untuk memberikan pendidikan yang berkualiti tinggi agar anda boleh meraih kecemerlangan dalam bidang akademik mahupun kemahiran insaniah,” ujar beliau dalam teks ucapan perasmian penutupan Karnival STEM Asasi Sains UMS 2019.

Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Rasid Mail.

Beliau turut menyeru para pelajar di peringkat sekolah menengah supaya mempersiapkan diri agar dapat meraih peluang melanjutkan pengajian di UMS kelak.

Karnival yang berlangsung selama dua hari itu turut menyediakan pelbagai aktiviti seperti pameran akademik, penerangan mengenai permohonan UPU secara atas talian, serta pertandingan berunsurkan sains dan teknologi yang disertai oleh 25 sekolah menengah dari beberapa daerah di Sabah dan Sarawak.

Turut hadir, Pengarah PPST UMS, Profesor Madya Dr. Sazmal Effendi Arshad.

KHAMIS, 21 MAC - Demi United dari Kolej Kediaman Tun Mustapha (KKTM) Universiti Malaysia Sabah (UMS) diumumkan sebagai johan pertandingan Debat Piala Pengetua KKTM 2019 yang berlangsung di dewan serbaguna kolej kediaman itu, baru-baru ini.

Pendebat Demi United mengatasi pasukan debat dari Kolej Kediaman Excellent (KKE) UMS pada peringkat akhir kejohanan untuk mengungguli pertandingan bagi kategori Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Bagi kategori sekolah menengah, johan dan naib johan masing-masing disandang oleh Sekolah Menengah Sains Sabah (SMESH) B dan SMESH A.

Majlis penyampaian hadiah berupa wang dan piala kepada para pemenang disempurnakan Pengetua KKTM, Dr. Mohamad Nizam Nazarudin.

Terdahulu dalam ucapannya Dr. Mohamad Nizam berkata, program itu dianjurkan antara lain bertujuan untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa IPTA dan para pelajar sekolah menengah tentang kepentingan menguasai seni orator, terutamanya seni perdebatan.

“Selain itu, ia bagi membantu para peserta melatih daya pemikiran yang kritis dan kreatif dalam menjana idea-idea bernas.

“Terima kasih kepada semua pasukan yang mengambil bahagian dan saya berharap agar penganjuran program seumpama ini akan berterusan seiring dengan saranan  Menteri Pendidikan Malaysia yang mahukan para pelajar sentiasa aktif dalam acara yang melibatkan pengucapan awam,” katanya.

Program selama dua hari itu merupakan anjuran Exco Akademik Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (Jakmas) KKTM dengan penyertaan sebanyak 20 pasukan dari IPTA dan sekolah menengah sekitar Kota Kinabalu.

Hadir sama Pengarah Program,  Muhammad Haziq Abdul Rahim, dan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS, Muhd Jivean Johan Wira.

 

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.