KHAMIS, 7 MAC - Tamu Fakulti Kejuruteraan (FKJ) anjuran Persatuan Mahasiswa FKJ Universiti Malaysia Sabah (UMS) mampu mengasah bakat siswa-siswi khususnya daripada bidang kejuruteraan untuk melibatkan diri dalam bidang keusahawanan.

Menurut Pengerusi Kelab Keusahawanan FKJ, Dr. Razak Mohd. Ali Lee, program keusahawanan sebegini merupakan aktiviti yang perlu digalakkan dalam kalangan siswa UMS.

“Penganjuran Tamu FKJ buat julung kalinya ini diharapkan dapat menjadi satu jenama penganjuran di UMS yang dapat mengetengahkan lebih ramai bakat siswa dalam bidang keusahawanan yang mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

“Harapan saya juga agar lebih banyak penyertaan oleh siswa-siswi khususnya dari FKJ dalam program-program berkaitan bidang keusahawanan pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pada program tersebut di bangunan FKJ UMS.

Program tersebut menyaksikan penyertaan seramai 20 kumpulan pelajar termasuk siswa-siswi dari Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) dan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW), selain pelancaran Kelab Keusahawanan (E-Marts) yang merupakan satu platform untuk mencungkil bakat siswa-siswi dalam bidang keusahawanan yang sedia ada.

Hadir sama pada program tersebut Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FKJ, Dr. Kamel Wan Ibrahim; Pengarah Program, Wann Mas Anum; Majlis Perwakilan Pelajar FKJ, Idzrul Nabil Luqman; dan Presiden Persatuan Mahasiswa FKJ, Zachary Zeno.

 

RABU, 06 MAC - Sukan KKTM 2019 dianjurkan Exco Sukan dan Rekreasi Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (Jakmas) Kolej Kediaman Tun Mustapha (KKTM) Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kompleks Sukan UMS baru-baru ini.

Menurut Exco Sukan Jakmas KKTM, Mohd Iskandar Khan Suhaimin, objektif utama program tersebut adalah bagi memilih atlet dan pemain sukan yang berbakat serta berkebolehan tinggi untuk meningkatkan mutu sukan di kolej kediaman berkenaan.

“Program ini juga bertujuan untuk melahirkan pelajar berminda cerdas serta mewujudkan persaingan yang sihat di antara pelajar.

“Program ini dilaksanakan untuk menggalakkan pelajar aktif bersukan di samping dapat merapatkan hubungan di antara pelajar KKTM,” katanya dalam satu kenyataan.

Iskandar turut menyuarakan harapan agar program itu mampu mendidik pelajar mengekalkan gaya hidup sihat dan selalu melakukan riadah serta dapat mengeratkan hubungan antara pelajar.

Sementara itu, Timbalan Pengetua KKTM Dr. Badariah Saibeh berkata, sukan-sukan yang dipertandingkan bukan sahaja dapat mencungkil bakat pelajar tetapi juga dapat mewakili KKTM dalam sukan antara kolej.

“Antara acara yang dipertandingkan adalah seperti larian jarak 100 meter (m), 200m, 4x100m, dan 4x400m, lontar peluru, lompat jauh, futsal, bola tampar dan juga bola jaring.

“Kejohanan itu turut disertai oleh barisan felo KKTM dalam acara larian 8x50m,” katanya.

Dalam kejohanan itu, Blok O (Lelaki) dan Blok E (Perempuan) dinobatkan sebagai juara keseluruhan apabila menjulang Piala Pusingan Sukan KKTM 2019.

 

SELASA, 05 MAC - Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan kunjungan hormat kepada Kadazan Society Sabah (KSS) di kediaman Presidennya, Datuk Marcel Leiking, hari ini.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, kunjungan itu sebagai satu usaha untuk membina jalinan kerjasama strategik, termasuk bidang penyelidikan, yang boleh memanfaatkan komuniti setempat.

“Sebagai makluman, UMS telah menetapkan budaya dan bahasa peribumi (orang asal) sebagai salah daripada tujuh bidang tumpuan penyelidikan UMS

“Kunjungan ke KSS pada kali ini sekali gus akan menyemarakkan lagi penyelidikan dalam bidang ini yang dilihat mampu meninggikan lagi martabat bahasa dan budaya masyarakat peribumi di negeri Sabah,” katanya ketika ditemui selepas kunjungan tersebut.

Prof. Datuk Dr. D Kamarudin turut memaklumkan bahawa UMS telah menubuhkan Institut Kajian Peribumi Borneo (BoRIIS) yang antara lain akan meneraju penyelidikan berkaitan budaya dan bahasa peribumi.

Terdahulu, kehadiran UMS telah disambut oleh Datuk Marcel dan barisan Majlis Tertinggi serta Ahli-ahli Jawatankuasa KSS.

Datuk Marcel turut memberikan taklimat mengenai latar belakang dan hala tuju KSS kepada rombongan UMS yang hadir.

Hadir sama, Penolong Naib Canselor UMS, Prof. Dr Marcus Jopony; Pengarah BORIIS UMS, Prof Dr. Rosazman Hussin, Pengarah Pusat Kajian Bencana Alam UMS, Prof. Dr Felix Tongkul dan Dekan  Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa UMS, Prof. Dr. Jualang Gansau.

SELASA, 05 MAC - Pusat Perumahan Pelajar dan Hospitaliti (PPPH) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan Program Kembara ke Air Terjun Murug Turug, di sini baru-baru ini.

Pengarah PPPH, Talib Abdullah Shani berkata, program ini bertujuan untuk menyahut saranan pihak pengurusan UMS untuk membudayakan amalan hidup sihat dan cergas.

“Dalam masa yang sama, program ini dilihat amat bertepatan dalam mengukuhkan semangat berpasukan dan ikatan silaturahim sesama kakitangan.

“Program ini disertai oleh kakitangan PPPH dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar serta para pengetua, felo dan Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa kolej-kolej kediaman di UMS,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Talib, pihak PPPH juga telah menyumbangkan papan tanda sebagai kenang-kenangan untuk diletakkan di air terjun Murug Turug.

“Terima kasih kepada semua peserta yang terlibat dan tahniah juga kerana berjaya melaksanakan misi menawan air terjun yang mempesonakan ini,” katanya.

 

JUMAAT, 01 MAC - Kunjungan Pejabat Canselori dan Hubungan Antarabangsa Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) kepada Pusat Pengurusan Strategik dan Komunikasi Korporat (PPSKK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) meningkatkan lagi jalinan perhubungan awam sedia ada.

Timbalan Pengarah (Korporat) PPSKK UMS, Dr. Jakaria Dasan berkata, kunjungan itu juga sekali gus dilihat mampu memantapkan lagi pelaksanaan tugas setiap kakitangan di kedua-dua  universiti, khususnya yang berkaitan dengan hal ehwal komunikasi korporat.

“Dalam pertemuan ini, kami saling berkongsi pengetahuan serta bercerita tentang pengalaman di institusi masing-masing dalam keadaan santai sambil berkenalan antara satu sama lain.

“Lawatan muhibah seumpama ini juga amat penting sebagai medan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim seterusnya menyemarakkan semangat kekitaan sebagai dua universiti yang berjiran di kepulauan Borneo,” katanya ketika ditemui media pada lawatan itu hari ini.    

Lawatan itu menyaksikan seramai 30 orang kakitangan Pusat Canselori dan Hubungan Antarabangsa UNIMAS hadir berkunjung ke UMS dengan diketuai oleh Pengarahnya Tuan Hj Azlan Ramli.

Terdahulu, Dr. Jakaria dalam ucapannya sempat berkongsi beberapa pendekatan yang digunakan bagi meningkatkan prestasi tugas setiap kakitangan di PPSKK.

Beliau berkata, dalam memastikan setiap kakitangan komunikasi atau perhubungan awam ini sentiasa selesa menerima tugasan yang diarah sama ada secara ad-hoc atau berjadual, kita menekankan konsep pendekatan berkomunikasi seperti “rakan sebaya”.

“Umum mungkin lebih maklum akan terma “rakan sekerja” yang mana boleh diterjemahkan kepada beberapa konotasi.

“Salah satu konotasi bagi terma ini ialah mengenai wujudnya hierarki ketua dan kakitangan, atau arahan yang disampaikan oleh seorang yang lebih tinggi jawatannya kepada yang berjawatan rendah,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu beliau berkata, PPSKK mula memperkenalkan konsep rakan sebaya agar tidak wujud gambaran perbezaan hierarki tersebut dalam kalangan kakitangan.

Dr. Jakaria yang juga merupakan pensyarah bagi Kursus Pengurusan Strategik dan Kursus Komunikasi Korporat di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) memaklumkan, pendekatan itu nyata berkesan kerana kadang kala tugasan yang dilakukan adalah selepas waktu bekerja dan pada waktu hujung minggu.

“Secara tidak langsung, pendekatan ini membolehkan semangat berpasukan yang jitu dibentuk dalam kalangan kakitangan,” ujarnya yang turut berkongsi tentang keunikan-keunikan di negeri Sabah sebagai salah satu sumber rujukan bagi membentuk pendekatan perhubungan awam yang berkesan, selain aspek pemasaran keterampilan dan citra universiti.

Rombongan UNIMAS kemudiannya turut dibawa melawat ke beberapa destinasi menarik sekitar UMS.

 

 

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.