RABU, 13 MAC - Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus komited untuk membantu dalam membangunkan ekosistem marin yang mampan dan pengeluaran makanan laut di Sabah.

Menurut Naib Canselor Profesor Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin, para pengkaji sentiasa mencari kaedah terbaik untuk memastikan sistem akuakultur yang ada mampu mengurangkan kesan terhadap hidupan marin dan alam sekitar.

Tambah beliau UMS sentiasa memberi keutamaan kepada usaha memastikan sistem akuakultur dan alam sekitar yang mampan dapat diwujudkan.

“Pengkaji kita sedang berusaha menggunakan kaedah karbon yang rendah dalam menguruskan sumber marin dan sistem akuakultur.

“UMS telah melaksanakan beberapa program bagi mendidik dan mendedahkan masyarakat di pesisir pantai mengenai kepentingan penjagaan ekosistem,” katanya pada majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Sains Marin dan Akuakultur anjuran Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) UMS, kelmarin.

Sementara itu,  Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Wong Hong Juan ketika merasmikan persidangan tersebut berkata delegasi yang hadir diharap dapat menggabungkan komponen yang berbeza dalam biodiversiti laut dengan perkhidmatan ekosistem marin secara spesifik untuk mendapatkan gambaran tentang langkah yang boleh diambil pada masa akan datang.

Menurut beliau, pandangan para pengkaji biasanya disokong dengan bukti jelas dan contoh realistik yang akan mempengaruhi persepsi orang awam serta institusi pembuat dasar untuk diambil kira dalam langkah melaksana pemulihan serta pengurusan yang mampan.

“Pengkaji memainkan peranan penting di peringkat pembangunan kebangsaan jika mereka dapat menghubungkan konservasi marin dan akuakultur dengan pembangunan mampan.

“Pengkaji seterusnya boleh berkongsi dan menyuarakan hasil kajian mereka melalui persidangan sebegini mahupun menerusi penghasilan buku,” ujarnya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Dr. Daud Yusof.

Seramai 122 delegasi dari dalam dan luar negara menyertai persidangan tersebut yang berlangsung selama tiga hari bermula kelmarin.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk K.Y Mustafa serta Pegawai-pegawai Utama dan Kanan Universiti.

SELASA, 12 MAC - Pusat Kerjaya dan Alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS) melawat seorang alumni yang menghidap penyakit kronik, Rosfadilah Rosli, 42, di kediamannya, di Semenyih Selangor, baru-baru ini.

Kunjungan diketuai Pengarah Pusat Kerjaya dan Alumni  UMS, Prof. Madya Dr. Lai Yew Meng bagi memberi sokongan moral dan sumbangan kepada bekas graduan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) itu yang kini menderita “Diabetis Mellitus Hypertension”.

Menurut Dr. Lai, sumbangan wang tunai turut disampaikan kepada Rosfadilah selain susu khas yang diformulakan khusus untuk pengurusan diet pesakit diabetis.

Pihak UMS sentiasa prihatin terhadap musibah yang  melanda warganya termasuk para alumni.

“Justeru, sumbangan ini diharap serba sedikit mampu mengurangkan beban yang ditanggung oleh alumni kita yang kurang bernasib baik ini,” katanya ketika ditemui media.

Dalam pada itu, Rosfadilah  semasa ditemui berkata, dia ketika ini mengalami masalah kesihatan yang disebabkan oleh obesiti dan terpaksa dirujuk ke tiga buah hospital iaitu Hospital Kajang, Hospital Serdang dan Hospital Putrajaya.

“Saya tidak dapat bekerja disebabkan obesiti, selain mengalami kencing manis dan tekanan darah  tinggi yang tidak stabil, paru-paru saya juga bermasalah.

“Ayah saya telah meninggal dunia dan saya ditanggung oleh ibu saya yang hanya menjual kuih-muih secara kecil-kecilan,” katanya sambil memaklumkan turut menerima bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor.

Rosfadilah turut melahirkan rasa terima kasih atas kunjungan dan sumbangan UMS.

“Saya dan ibu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada UMS terutamanya Pusat Kerjaya dan Alumni yang sudi datang menziarahi kami,” jelasnya yang kini hanya bergantung kepada susu formula khas bagi penyakit yang dihidapinya.

Hadir sama Penolong Pendaftar Kanan UMS, Victor Gondipon dan Ketua Chapter Alumni UMS Putrajaya, Mohamad Farizal Mohamad Shawal.

 

 

 

 

 

 

SELASA, 12 MAC - Universiti Malaysia Sabah akan menjadi lokasi akhir penganjuran Konsert Jelajah Malaysia Maher Zain 2019 pada 17 Mac ini.

Bertempat di Dewan Canselor UMS, universiti ini dipilih sebagai lokasi penganjuran untuk di Sabah selepas siri jelajah di Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

Bercakap dalam sidang media konsert berkenaan  di UMS semalam, penyanyi antarabangsa yang dikenali menerusi lagu berkonsepkan ketuhanan itu tidak sabar membuat kemunculan sulung bagi menghiburkan peminatnya di negeri ini.

“Walaupun kali pertama datang ke Sabah  namun suasananya sudah mula menambat hati dan semangat mengadakan konsert hujung minggu ini kian membara.

“Konsert besar ini pastinya akan menjadi salah satu memori terindah dalam perjalanan kerjaya seni saya kerana Malaysia merupakan antara negara yang sering dikunjungi,” kata penghibur kelahiran Lubnan itu.

Turut hadir pada sidang media tersebut Pengasas dan Presiden My Event International, Shahul Dawood, dan Penolong Naib Canselor UMS, Prof. Dr. Marcus Jopony.

Tiket boleh dibeli dengan menghubungi 03 8070 7666 atau membuat pembelian secara atas talian di www.tixmalaysia.com.

ISNIN, 11 MAC - Persatuan Pelajar Perubatan (Medstas) Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyertai Program Road Tour Skuad 7 Perhentian anjuran Skuad Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kota Kinabalu di Rumah Pangsa Tanjung Aru, kelmarin.

Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Jaringan Masyarakat FPSK UMS, Dr. Yeap Boon Tat berkata, penyertaan itu bagi menyokong usaha Skuad AADK untuk meneruskan usaha kempen memerangi dadah dalam kalangan masyarakat.

“Pada jelajah ini, kita juga telah memberi pendidikan kesihatan kepada penghuni Rumah Pangsa Tanjung Aru yang meliputi kanak-kanak dan orang dewasa.

“Antaranya, kita mengajar kanak-kanak tentang tatacara mencuci tangan dengan betul, serta mendidik para wanita membuat pemeriksaan sendiri bagi mengesan sebarang petanda kanser payudara pada peringkat awal,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Program itu merupakan anjuran dengan kerjasama Persatuan Warisan Wanita Kreatif Sabah (Pertafa).

Menurut Dr. Yeap, penglibatan mahasiswa universiti dalam program sedemikian amat bertepatan bagi membolehkan mereka mengaplikasi ilmu yang dipelajari dalam bilik kuliah untuk manfaat komuniti.

“Ini secara tidak langsung memberi pendedahan kepada mereka kepada aktiviti-aktiviti yang bersifat khidmat masyarakat,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Skuad AADK Kota Kinabalu, Afendih Ambrih berkata, program tersebut merupakan siri jelajah yang telah diadakan sejak bulan lalu bersempena Bulan Antidadah Kebangsaan yang disambut pada Februari setiap tahun.

“Kita ingin melibatkan tanggungjawab ini kepada komuniti yang diharap sekali gus membantu menjadi mata dan telinga AADK dan pihak berkuasa dalam sama-sama memerangi penyalahgunaan musuh nombor satu negara ini.

“Melalui program ini juga, kita turut memasang papan tanda nama kampung berserta slogan “perangi dadah habis-habisan” sebagai menunjukkan sokongan terhadap kempen antidadah,” tambahnya.

Program yang dihadiri seramai 150 penghuni rumah pangsa dan penduduk kampung sekitar telah dirasmikan oleh Penyelaras Parti Warisan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru, Awang Ahmad Shah Datuk Sahari.

Hadir sama Presiden Pertafa, Datin Seri Nolly Datuk Awang Sham.

 

KHAMIS, 7 MAC – Pendaftar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Vina Zahriani Yusof menggariskan empat kunci utama sebagai satu usaha agar setiap warga kakitangan UMS mampu melaksanakan peningkatan terhadap kualiti dan sistem penyampaian perkhidmatan di universiti.

Empat kata kunci tersebut ialah Penambahbaikan Khidmat Pelanggan, Persekitaran Kerja yang Baik, Menggalakkan Gaya Hidup Sihat, dan Kampus Selamat dan Sejahtera.

Menurut beliau, selain penambahbaikan dalam penyampaian perkhidmatan, pengurusan universiti turut meletakkan hasrat agar setiap kakitangan menanamkan sifat integriti dalam melaksanakan tugas, serta kakitangan turut mengamalkan gaya hidup sihat dan mempunyai minda yang positif dan gembira.

“Kualiti kerja bukan sahaja dituntut seperti yang termaktub dalam pekeliling-pekeliling kerajaan, tetapi juga ada disebut dalam hadis yang menyatakan bahawa sesungguhnya Allah menyukai seseorang jika apabila kamu melakukan sesuatu tugasan, maka kamu akan melakukannya dengan ‘itqan’.

“Maksud ‘itqan’ ialah menyusun atau mengatur sesuatu perkara dengan cara terbaik untuk mencapai hasil yang baik sekali gus  mampu menghasilkan kerja yang berkualiti, dan ini dituntut kepada semua lapisan kakitangan dari pengurusan teratas sehingga kepada kakitangan operasi,” katanya.

Vina berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Bual Mesra Pembantu Operasi Bersama Pendaftar UMS yang berlangsung di Galeri Majlis, baru-baru ini.

Beliau turut mengingatkan agar setiap kakitangan melaksanakan tanggungjawab seharian dengan penuh integriti.

“Integriti ialah apabila kita melakukan tugas dengan penuh amanah, bertanggungjawab, telus, ikhlas, dedikasi dan jujur, dan kesemua aspek ini memainkan peranan dalam menentukan kualiti perkhidmatan kita.

“Kurangnya elemen integriti dalam tugasan boleh menyebabkan kita mendapat aduan daripada orang awam, sekali gus boleh menjejaskan nama universiti,” katanya.

Vina memaklumkan bahawa pengurusan universiti juga mahu agar UMS mempunyai persekitaran kerja yang sejahtera dan sihat kerana aspek ini turut mampu mempengaruhi kualiti perkhidmatan.

“Untuk itu, kita telah memperkenalkan aktiviti Jom Sihat yang dilaksanakan setiap petang hari Rabu, selain turut menggalakkan kakitangan untuk melakukan pemeriksaan bagi mengurangkan tekanan diri dan mengawal pemakanan  sebagai langkah mengurangkan penyakit-penyakit kronik terutama kepada kakitangan berumur 40 tahun ke atas.

“Apabila adanya kakitangan sihat, setiap kerja dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, cepat dan tersusun, selain kurangnya aduan pelanggan, kadar cuti sakit serta kos perubatan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu beliau memberitahu, peranan setiap kakitangan sama ada pengurusan atau operasi adalah sama penting, justeru setiap kakitangan perlu menghargai setiap tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan.

Hadir sama pada majlis tersebut Ketua Bahagian Sumber Manusia, Mohd Raffie Janau; Ketua Bahagian Pentadbiran dan Governan, Mohd Zaidie Adilai; dan Pegawai Keselamatan, Rakam Singh Karam Singh yang mewakili Ketua Bahagian Keselamatan.

 

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.