ISNIN, 25 FEBRUARI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Perhubungan Kluster Pendidikan Negeri Sabah yang dipengerusikan Setiausaha Persekutuan Sabah, Nor Azri Zulfakar, baru-baru ini.

Menurut kenyataan Bahagian Pentadbiran dan Governan Jabatan Pendaftar UMS, mesyuarat tersebut antara lain mengupas agenda mengenai kaedah untuk mengenal pasti isu dan cabaran yang dihadapi oleh kluster pendidikan khususnya di negeri Sabah.

“Turut dibincangkan isu dan cabaran dalam menerapkan sahsiah jati diri dan keterhadapan belia pada ketika ini dengan kemudahan teknologi yang kian berkembang pesat, di samping mencari langkah mempelbagaikan kaedah dalam aspek pengajaran dan pendidikan ke arah Revolusi Industri (IR) 4.0.

“Hasil daripada perbincangan dan percambahan idea tersebut akan dibentangkan di peringkat pengurusan tertinggi oleh Nor Azri,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa  seramai 30 ahli hadir menjayakan mesyuarat yang diurusetiakan sendiri oleh Naib Canselor UMS,  Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin.

Ia termasuklah wakil-wakil dari Institusi Pengajian Tinggi Awam, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Pengarah-pengarah Institut Pendidikan Guru, Pengarah-pengarah Politeknik, Wakil Institut Latihan Perindustrian (ILP), Pengarah Institut Kemahiran Mara Kota Kinabalu serta Pengarah-pengarah Kolej Komuniti Kementerian Pendidikan Tinggi seluruh Sabah.

Kesemua mereka turut dibawa melawat ke beberapa destinasi menarik sekitar kampus UMS.

JUMAAT, 22 FEBRUARI – Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Pusat Islam UMS menerima sumbangan bantuan kewangan pendidikan berjumlah RM1 juta daripada Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB).

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Ketua Kumpulan Pengurusan Syariah BPMB, Ustaz Mohamad Salihin Deris kepada Timbalan Pendaftar UMS, Mohd Zaidie Adilai yang mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin dalam satu majlis yang berlangsung di Masjid UMS, pagi tadi.

Terdahulu, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin dalam teks ucapannya yang dibacakan Zaidie berkata, UMS amat bertuah kerana mendapat kepercayaan daripada enam agensi luar termasuk BPMB pada sesi 2018/2019 dengan menyumbang kepada UMS untuk diagihkan kepada pelajar UMS dalam bentuk zakat.

“Pihak UMS berbesar hati dan berterima kasih kepada pihak BPMB di atas sumbangan berjumlah RM1 juta yakni penyumbang terbesar untuk zakat UMS setakat ini.

“Sumbangan zakat yang terkumpul akan diagihkan kepada empat kategori iaitu asnaf fakir, miskin, mualaf dan fi sabilillah (pelajar),” katanya.

Menurut Prof. Datuk Dr. D Kamarudin, sumbangan diagihkan mengikut permohonan zakat melalui sistem e-zakat yang telah dibuka permohonannya pada 26 Oktober hingga 26 November tahun lalu, melibatkan sejumlah 1,021 permohonan.

Turut hadir pada majlis tersebut Pengarah Pusat Islam UMS, Prof. Madya Dr. Muhamad Suhaimi Taat dan Eksekutif Kanan Komunikasi Korporat Kumpulan BPMB, Nor Sham Soyod.

 

JUMAAT, 22 FEBRUARI - Warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjalankan tanggungjawab terhadap alam sekitar dengan mengadakan gotong-royong perdana bagi membersihkan kawasan pantai Pusat Pembangunan Luar (ODEC) UMS pada Rabu.

Pengerusi penganjur, Profesor Dr. Rossita Shapawi berkata, seramai 1,000 kakitangan dan pelajar UMS telah mengambil bahagian dalam program tersebut yang menyaksikan seberat 1.8 tan sampah berjaya dikutip.

“Selain memastikan kebersihan kawasan pantai terpelihara, program ini juga bertujuan untuk memupuk semangat sayangkan pantai yang kini menjadi salah satu perkara yang ingin diterapkan pengurusan pihak UMS .

“Dalam masa sama, penglibatan warga UMS juga amat wajar bagi menerbitkan rasa kepunyaan yang tinggi terhadap organisasi yakni UMS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa program gotong royong perdana berlangsung.

Profesor Dr. Rossita yang juga Pengarah Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) berkata, penganjuran program itu secara tidak langsung turut mendidik para pengunjung yang datang melawat ke pantai ini untuk sama-sama menjaga kebersihan pantai.

“Seperti yang kita sedia maklum, pantai ODEC merupakan tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara, maka warga UMS sendiri perlu komited memastikan persekitaran pantai sentiasa dalam keadaan terpelihara dan bersih,” tambahnya lagi.

Program yang berlangsung selama dua jam itu turut dihadiri Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin.

Ujar beliau, pantai ODEC berupaya menjadi pantai tarikan pelancong yang utama di bandar raya Kota Kinabalu apatah lagi usaha yang ditunjukkan oleh warga UMS yang terus menerus mengadakan program-program membersihkan pantai tanpa henti menerusi Fakulti, Institut, Jabatan dan Pusat.

“Dahulu Pantai ODEC ini terasa sunyi dan sedikit terbiar, namun  apabila kita memperkenalkan konsep pelancongan eko-kampus, kita melihat pantai ODEC sebagai nadi utama pelancongan berasaskan pendidikan.

“Maka sejak itu kita giatkan pendekatan membersih pantai secara berterusan,” ujar Profesor Datuk D Kamarudin.

Dalam pada itu, beberapa pelajar dan kakitangan UMS yang ditemui turut menyokong usaha UMS menganjurkan gotong-royong tersebut.

Bagi Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Inovasi IPMB, Profesor Madya Dr. Sitti Raehanah Muhamad Shaleh, aktiviti tersebut sangat signifikan bagi mengelak ancaman terhadap hidupan laut serta ekosistem marin sedia ada.

“Acara ini sangat bertepatan dan sekali gus menghindarkan pencemaran yang boleh memberi ancaman kepada hidupan marin,” katanya.

Seorang pelajar program Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) UMS, Norcikeyonn Samuni pula memaklumkan usaha membersihkan kawasan pantai tersebut adalah satu langkah murni dan sewajarnya disematkan dalam diri setiap individu tanpa mengira peringkat umur.

“Memelihara dan memulihara pantai adalah tanggungjawab bersama dan saya seronok menyertai aktiviti-aktiviti seumpama ini bersama rakan-rakan universiti.

“Saya berpendapat ia perlu diperkasakan melalui modul-modul pendidikan sedia ada,” katanya.

Seorang lagi pelajar program PhD di IPMB, Noor Amalia Shaiful Kahar berpendapat, gotong royong perdana yang dianjurkan UMS adalah sangat baik dan harus diteruskan selain menjadi salah satu aktiviti riadah untuk warga kampus.

“Hampir saban hari kita mendengar isu hidupan marin seperti paus, dolfin dan burung dijumpai mati atau tersadai di tepi pantai dan ramai yang tidak sedar akan salah satu puncanya adalah disebabkan oleh plastik.

“Sebagai contoh, plastik seberat 4.25 kilogram yang dijumpai di dalam perut seekor ikan paus pada Mac 2015 dikatakan sebagai antara punca kematiannya di perairan Teluk Likas,” jelas beliau.

Manakala bagi Mohd Shahrul, pelajar tahun satu program prasiswazah, beliau berasa seronok apabila dapat melakukan aktiviti gotong-royong bersama rakan-rakan.

“Membersihkan pantai beramai-ramai menyebabkan saya tidak berasa penat walau pun jarak yang dilalui tanpa disedari adalah sejauh dua kilometer dengan meniti celah-celah batu bagi mengutip sampah-sampah kecil.

“Mungkin salah satu sebab adalah wujud kerjasama erat dan rasa kepunyaan yang tinggi terhadap pantai dan universiti ini serta  kesedaran bahawa menjaga persekitaran alam semula jadi adalah satu amalan yang mulia,” katanya.

RABU, 20 FEBRUARI – Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) telah menandatangani perjanjian pembaharuan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Summer Institute Of Linguistic (SIL) Malaysia dalam satu majlis yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama, PPIB pagi tadi.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, pembaharuan MoU yang telah berlangsung sejak 2013 itu adalah sejajar dengan saranan Kementerian Pendidikan Malaysia agar universiti awam sentiasa bekerjasama dengan agensi luar dan antarabangsa.

“Selari dengan saranan ini, PPIB dan SIL sejak beberapa tahun ini telah menjayakan pelbagai siri usaha dan aktiviti dengan melibatkan sumber kepakaran dari kedua-dua pihak.

“Salah satu daripada kerjasama penyelidikan antarabangsa adalah “Ethnologue Review of Language in Sabah” dengan hasil kerjasama tersebut telah mengangkat banyak bahasa etnik Sabah yang tidak diketahui atau masih dalam kajian ke hadapan,” katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Rasid Mail.

Menurut Prof. Datuk Dr. Kamarudin, satu lagi usaha penyelidikan berskala besar UMS – SIL sebelum ini adalah berkaitan penekanan terhadap pendidikan bahasa ibunda di peringkat pra sekolah di Sabah yang melibatkan United Nations Children's Fund (UNICEF) dan Partners of Community Organizations in Sabah (PACOS) Trust.

“Dengan kolaborasi penyelidikan sedemikian membuktikan bahawa masih banyak yang diperlukan di Sabah, dan apabila semakin ramai penglibatan pakar-pakar sudah pasti semakin baik hasil yang diperoleh.

“Justeru itu, diharapkan melalui pembaharuan kerjasama pada hari ini lebih banyak peluang penyelidikan baru dapat diwujudkan dan diterokai,” ujar beliau.

Pada majlis itu Prof. Dr. Rasid Mail turut mewakili Naib Canselor menandatangani dokumen pembaharuan MoU, manakala SIL diwakili oleh Presiden SIL Malaysia, Timothy Carl Phillips.

Turut menyaksikan pemeteraian pembaharuan MoU itu Dekan PPIB, Prof. Dr. Jualang Azlan Gansau; Pemegang Kursi KadazanDusun, Prof. Madya Dr. Andreas Totu; Ketua Kluster Kebudayaan, Warisan dan Seni dari Borneo Institute for Indigenous Studies (BORIIS) Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Prof. Dr. Jacqueline Pugh Kitingan; Timbalan Pendaftar UMS, Mohd Zaidie Adilai; dan Koordinator Linguistik SIL Sabah, Dr. Mark Miller.

 

SELASA, 19 FEBRUARI - Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan sesi ramah mesra “Meet and Greet” bersama 37 pelajar pascasiswazah Semester 2, 2018/2019 di fakulti berkenaan baru-baru ini.

Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Pascasiswazah) FPEP, Dr Arif@Kamisan Pusiran berkata, semasa mengikuti pengajian peringkat pascasiswazah, para pelajar perlu membentuk disiplin diri dan mengekalkan hubungan baik dengan penyelia.

“Selain itu, amat penting bagi para pelajar pascasiswazah untuk bergiat aktif menyertai aktiviti dan program bukan akademik anjuran fakulti dan UMS di samping sentiasa bersikap proaktif dan saling berhubungan dengan rakan-rakan pelajar dan ahli akademik.

“Dengan demikian, para pelajar bukan sahaja dapat membina jalinan persahabatan yang kukuh, malah ada dalam kalangan rakan-rakan dan pensyarah dikenali nanti dapat memberikan maklumat dan maklum balas mengenai kajian yang dijalankan, sekali gus membantu kelancaran proses pengajian,” katanya.

Dr Arif berucap demikian ketika mewakili Dekan FPEP, Prof. Dr Raman Noordin pada majlis berkenaan.

Hadir sama Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) FPEP UMS, Dr. Rini Suryati Sulong, serta beberapa pensyarah selaku penyelia kepada pelajar baharu tersebut.

Beberapa pelajar antarabangsa yang ditemui menyatakan bahawa mereka mengenali UMS sebagai salah sebuah institusi pengajian tinggi yang tersohor di Borneo.

Pelajar dari China, Yuan Weiren berkata, keindahan flora dan fauna kepulauan Borneo, khasnya negeri Sabah memang sudah sedia dikenali oleh komuniti antarabangsa.

“Faktor lain yang mendorong saya datang datang ke Sabah adalah kerana adanya penerbangan langsung ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dari China,” katanya.

Rakan senegaranya, Xiao Yanli turut senada dengan beliau apabila turut melahirkan rasa teruja dengan persekitaran kampus UMS serta tidak sabar untuk menikmati keindahan negeri Sabah semasa mengikuti pengajian doktor falsafah di FPEP nanti.

“Pengajian di universiti ini pasti menjadi satu memori yang indah buat kami,” ujar mereka berdua yang juga merupakan pensyarah di salah sebuah universiti di China. 

Bagi pelajar tempatan, Sean Andrew Labansing, beliau meneruskan ijazah doktor falsafah di UMS kerana yakin akan keupayaan universiti tersebut khususnya FPEP untuk menghasilkan graduan yang berdaya saing.

“Saya mengikuti pengajian kerana minat untuk mengkaji lebih dalam lagi mengenai sektor kelapa sawit dimana kajian itu adalah berkaitan dengan kerjaya saya sebagai pengurus perladangan tanaman kelapa sawit yang berpangkalan di Jakarta, Indonesia.

“Saya percaya dengan barisan pensyarah yang ada di FPEP UMS ini akan membantu saya untuk fokus dan menamatkan pengajian ini dengan baik,” ujarnya yang berasal dari Penampang.

Untuk rekod, pecahan pelajar pascasiswazah FPEP UMS untuk semester ini terdiri daripada 27 pelajar ijazah doktor falsafah, manakala selebihnya iaitu 10 pelajar yang lain merupakan pelajar ijazah sarjana.

FPEP UMS sebelum ini dikenali sebagai Sekolah Perniagaan dan Ekonomi ditubuhkan pada tahun 1995 bertujuan untuk memenuhi keperluan negara dalam pelbagai bidang perniagaan, ekonomi dan perakaunan bagi memastikan Malaysia mencapai objektifnya untuk menjadi sebuah negara perindustrian menjelang tahun 2020.

 

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.