ISNIN, 04 FEBRUARI - Bengkel Hala Tuju Strategik Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) telah berlangsung baru-baru ini di UMS.

Menurut Timbalan Pendaftar FPSK, Hasmi Hashim,  bengkel itu bagi menetapkan hala tuju lima tahun sehingga 2022.

“Bengkel ini telah disertai semua kakitangan Eksekutif FPSK iaitu Timbalan-timbalan Dekan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hospital UMS, Pengarah Pusat Penyelidikan Perubatan dan Kesihatan Borneo (MEDHREC) serta semua Pegawai P&P fakulti.

”Antara pengisian bengkel ialah melihat dan menambah baik prestasi semasa Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi lima segmen utama iaitu segmen akademik dan antarabangsa, penyelidikan dan pascasiswazah, hal ehwal pelajar dan jaringan komuniti serta bahagian pentadbiran berasaskan kepada Sembilan Bidang Keberhasilan Utama UMS (UMS-KRA),” katanya yang juga merupakan penyelaras program.

Sementara itu, Dekan FPSK, Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree memaklumkan bahawa bengkel tersebut akan membawa kepada pembentukan dan pemantapan hala tuju strategik fakulti berdasarkan kepada Pelan Strategik UMS 2018-2022.

“Penganjuran bengkel ini amat bertepatan kerana sememangnya amalan perbincangan untuk menambah baik sesuatu perkara adalah wajar untuk diamalkan berterusan.

“Semoga hasil dapatan daripada bengkel ini akan memacu fakulti ke hadapan dan memberi manfaat kepada universiti secara keseluruhannya,” ujar beliau.

 

ISNIN, 04 FEBRUARI - Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS), menganjurkan Program Pembinaan Pasukan (Teambuilding) di Melangkap Nabalu Farm, Kota Belud, baru-baru ini.

Timbalan Pendaftar FPSK, Hasmi Hashim berkata, program itu antara lain bertujuan untuk memupuk dan memantapkan semangat kerja berpasukan dan mewujudkan hubungan komunikasi yang harmoni dalam kalangan kakitangan.

“Di samping itu, ia bagi memberikan motivasi kepada kakitangan sejajar dengan UMS-KRA keempat iaitu memperkukuh tadbir urus dan sistem penyampaian serta menyahut saranan nilai utama universiti iaitu meningkatkan darjah kegembiraan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pelbagai aktiviti telah diadakan, antaranya persembahan kumpulan, hiking serta pertandingan swafoto beramai-ramai yang bertemakan kerja berpasukan.

“Turut diadakan ceramah motivasi dan aktiviti dalam kumpulan yang dikendalikan Pegawai Psikologi Kanan UMS selaku penceramah jemputan, Carrie Grace Jaymess,” jelasnya.

Majlis perasmiannya disempurnakan Dekan FPSK, Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree.

Prof. Dr. Mohammad Saffree dalam ucapannya menyatakan peri pentingnya kerja berpasukan dalam memacu sesebuah organisasi untuk maju ke hadapan.

“Saya amat berbesar hati dan mengharapkan agar program seumpama ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya.

Kira-kira 40 kakitangan pentadbiran FPSK telah menyertai program ini.

 

JUMAAT, 01 FEBRUARI - Sekumpulan pelajar Ekonomi Kewangan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan program lawatan sambil belajar ke Hong Kong dan Macau, baru-baru ini.  

Pengarah program, Sal Farhannishah Abd Rahman berkata, program yang turut dikenali sebagai Global Outreach Program itu antara lain bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar tentang dunia luar serta perbezaan budaya dan ekonomi antara negara.

“Dalam program ini, para pelajar telah berpeluang melawat Universiti of Hong Kong, Hong Kong Monetary Authority (HKMA) Currency Museum dan Universiti of Macau.

“Kami juga dapat melihat sendiri kemudahan universiti, suasana kampus serta berinteraksi dengan pelajar di universiti-universiti yang dilawati,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Farhannishah, pelbagai pengetahuan telah ditimba sepanjang empat hari tiga malam program itu berlangsung.

Beliau berkata, antara yang menarik termasuklah kunjungan ke HKMA Currency Museum yang memberi kefahaman mendalam tentang sejarah dan fungsi HKMA sebagai autoriti kewangan kepada Hong Kong yang juga merupakan antara pusat kewangan antarabangsa terpenting di dunia.

“Program ini telah memberi pelbagai manfaat kerana mendedahkan kami kepada suasana kehidupan, pembelajaran dan ekonomi luar negara,” jelasnya.

Dalam pada itu,  Pensyarah Kanan Program Ekonomi Kewangan FPEP UMS, Dr. Rafiq Idris berkata, program tersebut memberi pendedahan antarabangsa kepada para pelajar di samping membina keyakinan dan keupayaan dalam teknik berkomunikasi.

“Program sebegini juga mampu membuka mata pelajar tentang budaya asing, kerancakan ekonomi di negara luar dan melihat bagaimana sektor-sektor tertentu seperti pendidikan dan pelancongan menyumbang kepada pendapatan sesebuah negara,” jelas beliau yang turut mengiringi rombongan pelajar sepanjang lawatan itu berlangsung.

 

RABU, 30 JANUARI – Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah melancarkan Buku Festschrift bertajuk  Borneo Dari Kepelbagaian Perspektif dalam satu majlis di Theatrette Ahmad Nisfu, FKSW, baru-baru ini.

Dekan FKSW, Dr. Marsitah Mohd Radzi ketika berucap pada majlis itu berkata, Buku Festschrift tersebut adalah sebuah terbitan dedikasi yang menyanjung sumbangan seorang ilmuwan yang menyumbang kepada penulisan ilmu warisan pribumi Sabah, Prof. Dr. Low Kok On.

“Penulisan Festschriff ini merupakan bukti pengiktirafan rakan sekepakaran, murid dan rakan seperjuangan terhadap sumbangan kesarjanaan tokoh yang diangkat dalam bidang ilmunya.

“Borneo memang terkenal dengan flora dan fauna yang unik dan tersendiri, malah ia juga makmal sosial bagi pengkaji masyarakat pelbagai etnik, dan penerbitan buku ini menonjolkan tentang keberagaman ilmu, tanpa ada sempadan mengasingkan antara disiplin,” katanya.

Jelas Dr. Marsitah, aspek sosial, politik dan budaya dalam masyarakat dibicarakan di dalam buku tersebut dengan bertanggungjawab oleh sebarisan ilmuwan dan pengkaji serius dari pelbagai disiplin ilmu.

“Sesungguhnya, di bahu para ilmuwan tergalas tanggungjawab untuk membangunkan korpus ilmu berasaskan kearifan tempatan, dan atas kesedaran inilah, bagi memastikan identiti manusia peribumi tidak samar dan menghilang dalam peta dunia, wadah penyuburan budaya ilmu melalui penulisan buku sebegini sangat signifikan bagi mengangkat keternampakan fakulti dan universiti secara global,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, warga FKSW turut meraikan persaraan Prof. Dr. Low Kok On, yang menurut Dr. Marsitah akan terus memainkan peranan menerajui Institut Confucius walaupun selepas persaraan.

 

SELASA, 29 JANUARI –  Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (PIUMS) dengan kerjasama Tabung Haji Travel Kota Kinabalu menganjurkan Kursus Umrah 2019, di Masjid UMS, baru-baru ini.

Penyelaras Program, Md. Nazrie Petir berkata, kursus Umrah itu antara lain bertujuan memberi pendedahan dan panduan ibadat umrah kepada bakal Jemaah Umrah.

“Kursus ini juga bagi memberi pendedahan kepada para peserta berkaitan pengurusan dan persediaan awal sebelum berangkat ke Tanah Suci.

“Selain itu, ia bagi memberi kefahaman tentang jenis dan cara pelaksanaan Umrah dengan mempelajari teori dan praktikal ibadah serta hukum-hukum yang berkaitan dengannya,” katanya.

Menurut Nazrie, kursus itu diharap akan melahirkan Jemaah Umrah yang mempunyai ilmu pengetahuan mantap dan dapat melaksanakan ibadat Umrah dengan sempurna serta membantu mendapat Umrah yang mabrur.

Kursus sehari itu telah dihadiri seramai 80 peserta dari luar dan dalam UMS.   

Ia dikendalikan tiga penceramah iaitu Pegawai Tabung Haji Travel, Tuan Haji Nordin Suan, Guru Agama Tabung Haji Travel, Ustaz Anizan Mohd. Haris dan Pensyarah Institut Perguruan Gaya Kota Kinabalu, Tuan Haji Mohd. Syahir Hj. Ismail.

Turut hadir pada program itu ialah Timbalan Pengurus Tabung Haji Travel Kota Kinabalu, Tuan Haji Hidam Tori dan Pegawai Hal Ehwal Islam PIUMS, Mohammad Fazri Abdul Hamid.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.