JUMAAT, 25 JANUARI – Akuarium dan Muzium Marin Universiti Malaysia Sabah (AMUMS) mencatatkan 61,423 kehadiran pengunjung  sepanjang tahun 2018.

Menurut kurator AMUMS, Flora Anne Asalin, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 60% berbanding 38,163 pelawat pada tahun 2017.

“Daripada jumlah tersebut, 52,263 adalah pelawat warganegara,  8,476 pelawat antarabangsa  dan selebihnya adalah tetamu rasmi universiti, golongan Orang Kurang Upaya (OKU) serta warga UMS sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujar beliau, peningkatan kehadiran pelawat itu juga menunjukkan Akuarium dan Muzium Marin UMS terus menjadi pilihan sebagai salah satu destinasi pelancongan apabila berada di Kota Kinabalu.

“Tiket masuk bagi orang dewasa warganegara Malaysia ialah RM10, manakala kanak-kanak dan pelajar berumur empat hingga 17 tahun serta warga emas hanya dikenakan bayaran RM5.

“Bagi pengunjung warganegara asing, tiket masuk ialah RM20 bagi orang dewasa, manakala kanak-kanak, pelajar dan warga emas RM10,” jelas Flora.

Beliau berkata, para pengunjung turut mengambil kesempatan singgah ke Kedai Cenderahati Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) UMS bagi membeli barang kenang-kenangan sebagai tanda mata.

“Turut dijual di sini ialah tiket memancing dan riadah di Jeti UMS,” ujarnya.

AMUMS yang dikendalikan di bawah IPMB dibuka kepada orang ramai pada setiap hari kecuali Ahad dan cuti umum bermula pukul 9.00 pagi hingga 4.00 petang.

 

 

SELASA, 22 JANUARI -  Universiti Malaysia Sabah memberi sumbangan 366 naskhah buku pelbagai judul hasil tulisan dan penyelidikan pensyarah-pensyarah (UMS) kepada Majlis Belia Sabah (MBS), baru-baru ini.

Penyampaian sumbangan itu disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof.

Katanya, inisiatif itu dijayakan menerusi Penerbit UMS sempena 'Kempen Jom Derma Buku' anjuran MBS.

"Dalam kempen ini, MBS menyasarkan sumbangan buku sebanyak 1,000 naskhah yang akan disimpan di Pusat Sumber, Arena Belia MBS.

"Sokongan UMS kepada kempen MBS ini sebagai salah satu usaha memupuk minat membaca terutamanya dalam kalangan belia," katanya pada majlis penyerahan buku tersebut.

Prof. Dr. Shahril turut menyarankan MBS untuk bekerjasama dengan UMS dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang lain pada masa akan datang terutamanya yang melibatkan belia.

“Sumbangan buku ini juga merupakan salah satu cara untuk menyebar luas penyelidikan dan penulisan pensyarah-pensyarah UMS yang telah dibukukan,” tambahnya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Penerbit UMS, Prof. Madya Dr Asmiaty Amat; Timbalan Pengarah Penerbit UMS, Prof. Madya Dr. Patricia Matanjun;  Pengerusi Tetap MBS,  Mazlan @Joehari Manan; Ketua Penerangan MBS, Mohd Zikri Zainudin;  dan Timbalan Setiausaha Kerja MBS, Mohd Taufik Ismail.

SELASA, 22 JANUARI - Seramai 70 peserta menjayakan program Pengenalan Aktiviti Memanah Tradisional yang dianjurkan Pusat Pelaburan dan Endowmen (PPE), Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Pantai Pusat Pembangunan Luar (ODEC), UMS, Ahad lalu.

Menurut Pengarah PPE, Prof. Madya Dr. Mohd Rahimie Abd. Karim berkata, kesemua peserta terdiri daripada kakitangan UMS, siswa-siswi, rakan-rakan strategik dan ahli-ahli keluarga kakitangan.

“Mereka diajar oleh jurulatih yang bertauliah sebelum bertanding mengikut kumpulan di sembilan check point memanah.

“Program ini antara lain sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk membangunkan konsep edu-tourism dalam kampus,” katanya.

Program itu merupakan anjuran dengan kerjasama Pammin Usaha Bersaudara, Rajwa Achery dan Kelab Memanah Kesatria Kota Kinabalu (KESATRIA)

Mengulas lanjut mengenai edu-tourism, Dr. Mohd Rahimie ketika ditemui berkata, pelbagai tarikan boleh dinikmati di dalam kampus UMS sekitar penghujung tahun ini.

Ujarnya, UMS akan menawarkan pakej pelancongan yang menggabungkan elemen pendidikan, ilmu, riadah, hiburan, pengalaman dan santai untuk setiap peringkat umur pelancong.

“Para pelancong yang memilih UMS sebagai destinasi percutian mereka akan berpeluang mempelajari budaya masyarakat tempatan Sabah, merasai keseronokan aktiviti-aktiviti laut, berkuda, memanah dan kenderaan lasak di pantai UMS; menghargai usaha pemuliharaan dengan melihat keunikan flora dan fauna melalui aktiviti hiking ke Puncak UMS dan banyak lagi.

“Mereka boleh mengikuti aktiviti dan menikmati keindahan dalam kampus bermula pagi sehingga ke pagi esoknya,” ujarnya sambil menyatakan UMS bakal mempunyai penginapan untuk pelancong yang diusahakan bersama pihak industri.

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Kumpulan Eksekutif Pammin Usaha Bersaudara, Datuk Mohd Pintaz Haji Badar; Pengarah Urusan Rajwa Achery, Md Suhaimi Hj Sapiee; Dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, Prof. Madya Dr. Raman Noordin;  Dekan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Dr. Marsitah Mohd Radzi; Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Ahmadi Nurdin dan Timbalan Pengarah (Koporat) Pusat Pengurusan Strategik dan Komunikasi Korporat UMS, Dr. Jakaria Dasan.

 

KHAMIS, 17 JANUARI – Pusat Kerjaya Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan program Lawatan Kerja Ke JobsMalaysia Sabah di Menara UTC, Kota Kinabalu baru-baru ini.

Menurut Pengarah pusat itu, Prof. Madya Dr. Lai Yew Meng, lawatan tersebut diadakan bertujuan memantapkan lagi jalinan kerjasama dalam menyelesaikan isu kebolehpasaran graduan, selain mengadakan pertukaran maklumat berkaitan peluang pekerjaan serta penganjuran program bersama.

“Lawatan ini juga sebagai satu usaha Pusat Kerjaya UMS untuk menjalinkan hubungan kerjasama dengan JobsMalaysia yang memainkan peranan penting sebagai pusat carian kerjaya,” katanya.

Dalam lawatan tersebut, pegawai dari JobsMalaysia menyampaikan taklimat berkaitan peranan dan fungsi pengurusan.

Turut hadir pada lawatan itu pegawai-pegawai dari Pusat Kerjaya UMS dan Pusat Alumni UMS, Exco Majlis Perwakilan Pelajar UMS, pelajar tahun akhir dan alumni UMS.

 

RABU, 16 JANUARI – Prihatin terhadap mangsa kebakaran yang menjejaskan lebih 300 penduduk di Kampung Pasir Putih Putatan, warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) tampil menghulurkan sumbangan bantuan barang keperluan kepada mangsa yang terlibat.

Rombongan Misi Bantuan Bencana Kebakaran daripada UMS yang diketuai oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk D. Kamarudin D. Mudin bersama pegawai-pegawai UMS telah menyampaikan sumbangan bantuan tersebut di Dewan Serbaguna Putatan.

Sumbangan dan bantuan tersebut telah diserahkan kepada Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N18 Petagas,  Datuk Haji Uda Sulai sambil disaksikan oleh Ahli Parlimen P173 Putatan,  Awang Husaini Sahari.

Prof. Datuk Dr. D Kamarudin turut menyampaikan penyerahan sebuah kerusi roda kepada salah seorang mangsa warga emas orang kurang upaya (OKU) yang lumpuh.

Seramai 100 orang sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan dan pelajar juga telah turun padang untuk membantu pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mengasingkan sumbangan barangan pakaian bagi tujuan agihan kepada keluarga mangsa terlibat.

Turut hadir dalam menjayakan misi tersebut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Dr. Ismail Ali.

Dalam kejadian berlaku kira-kira jam 12.50 tengah hari pada 11 Januari lalu, lebih 50 buah rumah musnah dijilat api sehingga mengakibatkan seramai 329 orang melibatkan 76 keluarga termasuk dua warga emas OKU tinggal sehelai sepinggang.

Sehingga kini, mangsa yang terjejas masih ditempatkan di Dewan Serbaguna Putatan.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.