SELASA, 24 OKTOBER - Kejadiaan bencana alam yang kerap berlaku di Malaysia sejak akhir ini dapat dikurangkan melalui penyelidikan multidisiplin untuk mengetahui punca, kesan dan mitigasinya.

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin, UMS melalui Pusat Kajian Bencana Alam sentiasa bersedia memberi khidmat nasihat kepada kerajaan dalam pengurusan bencana alam negara.

“Pengurusan UMS akan terus memperkasakan Pusat Kajian Bencana Alam dari segi tenaga pakar yang sesuai dan peruntukan kewangan penyelidikan yang mencukupi agar dapat melaksanakan tugas yang telah diamanahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis Makan Malam Perasmian dan Penutupan Seminar Bencana Alam 2017 di Promenade Hotel Kota Kinabalu, semalam.

Tambah beliau, menerusi program tersebut, para penyelidik dapat berkongsi maklumat hasil penyelidikan yang terkini dalam pelbagai aspek berkaitan bencana di samping memberi peluang kepada para peserta untuk berbincang, bertukar maklumat, idea dan seterusnya membantu mewujudkan jaringan kerjasama dalam apa jua bidang yang berkaitan bencana alam.

“Adalah menjadi harapan pihak UMS dan kerajaan agar kekerapan menganjurkan program sebegini dapat memperkasakan lagi bidang penyelidikan dan kerjasama anatara pihak-pihak yang berkepentingan dalam menangani isu-isu bencana alam agar aspek kefahaman dan kesedaran pelbagai kejadian alam yang sering melanda rantau ini dapat dipertingkatkan,” tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kajian Bencana Alam UMS, Profesor Dr. Felix Tongkul berharap penganjuran seminar saintifik itu dapat menyumbang idea dan ilmu yang bermanfaat kepada semua pihak berkepentingan kearah pengurusan bencana alam yang lebih menyeluruh dan efektif di Malaysia.

Pada program tersebut, seramai 38 peserta daripada pelbagai agensi, universiti awam dan institut penyelidikan telah mengambil bahagian, antaranya Universiti kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Geological Society Malaysia (GSM), Institut Geologi Malaysia (IGM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET).

Turut hadir, Presiden IGM, Datuk Mior Sallehhudin Mior Jadid; Presiden Persatuan Geologi Malaysia, Abd. Rasid Jaapar dan Dekan Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), Profesor Dr. Baba Musta.

ISNIN, 23 OKTOBER - Gabungan kepakaran ahli-ahli akademik dari Universiti Malaysia Sabah dalam menyediakan kerangka modul, kurikulum dan silibus baharu Pusat Minda Lestari (PML) mampu memacu transformasi PML ke arah penyediaan pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, ini turut mampu menjadikan PML sebagai pusat perkembangan kanak-kanak yang cemerlang dan memberikan nilai tambah kepada kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan sedia ada bagi memastikan kualiti keberhasilan kanak-kanak dapat ditingkatkan.

"Pengemaskinian modul,kurikulum dan silibus PML bukan sahaja memfokuskan kepada pengukuhan kemahiran kanak-kanak, tetapi juga membina keterampilan modal insan melalui modul setiap tunjang seperti tunjang kerohanian, kemanusiaan, komunikasi, keterampilan dan kreativiti.

"Bagi pihak universiti, saya merakamkan syabas dan tahniah kepada semua ahli Jawatankuasa Pengemaskinian Modul/Kurikulum/Silibus PML yang telah berjaya menghasilkan satu kerangka modul,kurikulum dan silibus yang baru sebagai rujukan pengajaran dan pembelajaran di PML," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Penghargaan Jawatankuasa Pengemaskinian Modul/Kurikulum/Silibus PML di Cafe D'Sireh, pagi tadi.

Ujar beliau, modul,kurikulum,silibus tersebut akan dikemas kini dari semasa ke semasa bagi memastikan kurikulum PML sentiasa relevan dengan perkembangan pendidikan semasa, sekali gus menjadikan PML sebagai sebuah pusat penjagaan dan pembelajaran yang terbaik di rantau Borneo seperti yang digariskan dalam Pelan Tindakan PML 2016-2020.

Pada majlis tersebut, Prof. Datuk D Kamarudin turut menyampaikan sijil penghargaan kepada ahli-ahli jawatankuasa pengemaskinian modul,kurikulum,silibus yang terdiri daripada ahli-ahli akademik dari Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) dan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW).

Turut hadir pada majlis itu Pendaftar UMS, No'man Hj Ahmad, Dekan FPP Prof. Dr Mohd Dahlan A Malek, dan Pengarah PML, Aidah Nordin. 

JUMAAT, 20 OKTOBER – Bagi menjayakan agenda transformasi Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke arah Universiti-Industri 4.0, sokongan daripada pelbagai pihak dalam universiti amat diperlukan untuk merencanakan transformasi yang bakal dilaksanakan.

Pengarah Pusat Pengurusan Strategik dan Komunikasi Korporat UMS, Prof. Dr. Marcus Jopony ketika menyampaikan taklimat “Transformasi Ke Arah Universiti – Industri 4 .0: Hala Tuju UMS” menjelaskan, sokongan khususnya daripada ahli lembaga pengarah universiti, ahli-ahli senat, komuniti dalam UMS sendiri dan peruntukan kewangan bagi pembiayaan peralatan digital amat diperlukan bagi merealisasikan agenda transformasi tersebut.

“Universiti perlu bergerak seiring dengan industri 4.0 yang menekankan aspek pembuatan pintar (smart manufacturing), yang mana dalam tugasan pentadbiran kerangka Industri 4.0 boleh diguna pakai dalam menyuntik elemen “pintar” terhadap proses-proses tertentu dalam pentadbiran (Smart UMS), sekali gus mampu memacu transformasi pentadbiran universiti (Administration 4.0).

“Tenaga kerja pula perlu meningkatkan kemahiran dalam teknologi masa kini agar tidak ketinggalan dalam arus perubahan ini,” katanya dalam taklimat yang disampaikan kepada lebih 50 kakitangan di Auditorium Pascasiswazah.

Agenda Transformasi Universiti – Industri 4.0 juga katanya telah disenaraikan sebagai salah satu Petunjuk Prestasi Utama (Key Result Area – KRA) UMS dalam rangka cadangan pelan strategik UMS bagi tahun 2018-2020.

Taklimat anjuran Jabatan Pendaftar itu adalah bagi memberi penerangan kepada para kakitangan universiti tentang signifikan Industri 4.0 dan peranan serta cabaran universiti terhadap pelaksanaan Universiti – Industri 4.0.

KHAMIS, 19 OKTOBER – Seramai 40 orang pelajar dari pelbagai fakulti telah menyertai program “Anda Pilih: Urus Masa atau Hura Hara” anjuran Bahagian Kaunseling dan Bimbingan Kerjaya, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.

Program yang berlangsung di Bilik Seminar, Anjung Siswa, UMS itu dikendalikan oleh Pensyarah Kanan Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), UMS, Suwaibah Zakaria.

Melalui ceramahnya, beliau memberi fokus kepada kefahaman terhadap pentingnya pengurusan masa untuk gaya hidup yang produktif.

 “Adalah amat penting memahami dan mengamalkan prinsip-prinsip pengurusan masa yang berkesan serta mempelajari teknik penjadualan berkesan dan teknik-teknik delegasi yang betul,”.

“Ini sekali gus mampu membantu fokus seseorang individu untuk mencapai sesuatu misi atau matlamat dalam kehidupan individu tersebut,” katanya.

Melalui program tersebut para peserta diberi pendedahan tentang kaedah mengenal pasti serta mengetahui cara terbaik mengatur aktiviti peribadi bagi mencapai matlamat-matlamat yang telah ditetapkan.

Turut hadir pada program, Ketua Bahagian Kaunseling dan Bimbingan Kerjaya HEP, Adzmil Abidin dan Pegawai Psikologi, Nurul Fatiha Firdaus.

KHAMIS, 19 OKTOBER – Warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) menzahirkan ucapan takziah kepada Puan Sri Tan Kai Yong dan keluarga atas pemergian Mendiang Tan Sri Datuk Seri Panglima (Dr.) Yeoh Tiong Lay yang meninggal dunia kelmarin.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin dalam satu kenyataan menjelaskan, pemergian Tan Sri Yeoh amat dirasai oleh warga UMS khususnya kerana selain menjadi Pro Canselor UMS, beliau juga banyak memberikan sumbangan dana bagi membantu pembangunan dan penyelidikan universiti serta biasiswa YTL kepada pelajar pascasiswazah.

“Antara legasi beliau adalah pembinaan bangunan Yayasan UMS, yang mana beliau turut menyumbangkan dana sebanyak RM3 juta bagi menyempurnakan bangunan tersebut.

“Auditorium YTL di bangunan Yayasan UMS juga telah menjadi lokasi penganjuran pelbagai siri persidangan dan seminar peringkat kebangsaan dan antarabangsa, selari dengan hasrat beliau yang mahukan bangunan tersebut menjadi medan perbahasan ilmiah dan pencetusan idea baharu dalam pelbagai bidang kepakaran,”katanya.

Sidang Konvokesyen UMS juga katanya bakal merasai kehilangan mendiang yang saban tahun sentiasa komited menggalas tanggungjawab sebagai Pro Canselor UMS bagi menyampaikan skrol ijazah kepada graduan UMS.

“Bagi seluruh warga kakitangan dan siswa-siswi UMS, saya merakamkan ucapan takziah kepada Puan Sri Tan Kai Yong dan keluarga atas pemergian mendiang Tan Sri Yeoh.

“Sesungguhnya, UMS amat merasai kehilangan seorang tokoh pemimpin yang komited dan bersifat dermawan,” kata Prof. Datuk Dr. D Kamarudin dalam kenyataan tersebut.