ISNIN, 15 MEI - Seramai 120 mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyertai Program Belia dan Komuniti V.2 ke Pantai Barat Sabah yang dianjurkan Kelab Sukarelawan (KESUWA) UMS baru-baru ini.

Program itu melibatkan kerjasama pelbagai pihak, antaranya Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Alumni Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) UMS, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS, Jabatan Pertanian, Jabatan Kebajikan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Maybank dan Kolej Komuniti Beaufort.

Pengarah Belia UMS dan Komuniti V.2, Nurhidaya Syamsuddin berkata, kampung yang terlibat ialah Kampung Bamban, Kampung Baru Jumpa dan Kampung Mamaitom untuk daerah Tenom,  Kampung Kabulu untuk daerah Beaufort dan Kampung Sinapukan untuk daerah Kuala Penyu. 

“Projek sukarelawan yang dilaksanakan di lima buah kampung ini melibatkan tiga buah kluster iaitu kluster komuniti, kluster pendidikan dan kluster kesihatan.

“Objektif pelaksanaan program ini ialah untuk menggalakkan penglibatan mahasiswa dalam aktiviti kesukarelawanan, meningkatkan kemahiran insaniah mahasiswa sekali gus melahirkan lebih ramai pelapis pemimpin sukarelawan UMS,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa yang sama katanya,  program itu juga dilaksanakan untuk mendekatkan mahasiswa kepada komuniti di samping membantu membaik pulih infrastruktur yang ada serta memberi pendidikan kepada kanak-kanak kampung tersebut.

Majlis perasmian disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Datuk Rubin Balang di Kampung Bamban, Tenom.

Hadir sama pada majlis itu, Pegawai Penyelaras KESUWA UMS, Mohd Alwi Osman dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Bamban, Aripin Kulipo.

 

 

JUMAAT, 12 MEI - Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Eksplorasi Keretapi dari Tanjung Aru, Kota Kinabalu ke daerah Beaufort baru-baru ini.

Menurut kenyataan jabatan itu, program yang dianjurkan kali ketiga tersebut diselaras Bahagian Kebudayaan dan Kesenian dengan penyertaan seramai 41 peserta.

Kesemua peserta yang terdiri daripada pelajar UMS itu juga diiringi oleh lima kakitangan HEP yang turut bersama-sama menaiki keretapi beramai-ramai menuju ke Beaufort.

Majlis pelepasan peserta disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Ismail Ali, dan turut disaksikan Ketua Jabatan HEP, Ahmadi Nurdin.

Majlis itu antara lain bertujuan mengeratkan silaturahim dan ikatan kemesraan sesama mahasiswa UMS.

 

Sumber  : Resty Cindy Ony Madis

Jurufoto : Rohaizam Lamdin

 

JUMAAT, 12 MEI – Siswa-siswi di universiti perlu memanfaatkan ruang dan peluang di institusi pendidikan tinggi untuk memartabatkan ilmu pengajian agar mampu menjadi modal insan yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, Dato’ Sri Zainal Rahim Seman berkata, universiti sudah menjadi salah satu tatacara dalam kehidupan siswa-siswi, justeru tempoh ketika berada di universiti harus dijadikan tempat untuk membina keperibadian unggul pelajar.

“Keperibadian yang unggul mencetuskan salasilah yang hebat serta mencorak potensi diri para pelajar, sekali gus menjadi modal insan terbaik yang akan menabur bakti kepada masyarakat, bangsa dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat kepada lebih 300 pelajar sempena program Sesi Interaksi Bersama Pelajar Tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Auditorium Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS), pagi tadi.

Memetik kenyataan Thomas Friedman dalam buku The World Is Flat: A Brief History of The Twenty-First Century, beliau berkata pendidikan sebenarnya memainkan peranan penting dan menjadi kunci utama kepada kejayaan ekonomi dan kelestarian dunia dalam abad ke-21.

“Negara Malaysia sendiri bersandarkan kepada kualiti pendidikan universiti dan tenaga manusia yang dihasilkan berupaya menjana tenaga kerja yang mahir dalam pelbagai bidang, dan ini bersesuaian dengan cabaran pada masa hadapan” ujar beliau.

Pada majlis itu, Dato’ Sri Zainal turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 13 pelajar tajaan JPA yang cemerlang dengan memperoleh CGPA melebihi 3.90.

Hadir sama, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Nor Rizan Mohd Thani; Pengarah Bahagian Pembangunan Modal Insan JPA, Datuk Dr. Rosslina Ahmad Mokhtar; dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Ismail Ali.  

Foto: Suzeanywati Gasinin

JUMAAT, 12 MEI - Dua pensyarah Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) cemerlang dalam kejohanan lumba basikal Bundu MTB Race 2017 yang berlangsung di Kuala Penyu, baru-baru ini.

Pensyarah Program Sains Sukan, Dr.  Mohamad Nizam Nazarudin muncul johan dalam kategori veteran lelaki apabila mencatatkan masa 1 jam 17 minit 26 saat bagi kayuhan sejauh 36 kilometer merentasi jalan raya, tepi laut dan laluan hutan yang berbukit bukau.

Seorang lagi pensyarah Sains Sukan, Stephanie Chok turut mencatatkan pencapaian memberangsangkan dengan mengungguli tempat kedua bagi kategori Wanita Terbuka.

Kejohanan tersebut menyaksikan lebih 300 peserta termasuk dari Sarawak dan Brunei Darussalam di dalam sembilan kategori yang dipertandingkan iaitu Men Junior, Men Elite, Men Master A , Men Master B, Men Veteran , Men Otai, Women Junior, Women Open dan Fat Bike.

Johan bagi setiap kategori menerima hadiah wang tunai RM500 beserta pingat, manakala naib johan dan tempat ketiga masing-masing mendapat wang tunai RM300 dan RM200.

Hadiah telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Hajah Azizah Haji Mohd Dun.

Sumber: Dr.  Mohamad Nizam Nazarudin, FPP

KHAMIS, 11 MEI - Jabatan hal Ehwal Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Bahagian Kebudayaan dan Kesenian UMS telah menganjurakn satu bengkel fotografi dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (MAKUM) baru-baru ini.

Dinamakan sebagai Bengkel Explorasi Fotografi MAKUM 2017, ia telah disertai 10 peserta dari lima universiti iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan UMS sendiri.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan HEP, bengkel explorasi fotografi itu bertujuan memperkenalkan asas-asas dan teknik fotografi, selain sebagai tujuan mempromosikan budaya setempat kepada para peserta.

Ia juga bagi memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai program-program kesenian dan kebudayaan universiti selaras dengan usaha pihak universiti dalam  memasyarakatkan mahasiswa dan memahasiswakan masyarakat.

Kenyataan itu memaklumkan, program tersebut secara tidak langsung mencungkil dan memperkembangkan bakat para pelajar dalam dunia fotografi selain mengeratkan lagi jalinan ukhuwah antara UMS dengan Universiti Awam yang terlibat.

Bengkel tesebut turut mempertandingkan gambar-gambar kreatif dan menarik daripada para peserta.

Johan dimenangi Nor Fazrina Fazrin Hassan dari UPSI, manakala naib johan disandang Azhar Mohd Jusuh dari UMP.

Mohd Syafiq Zulkiflie dari UPM pula muncul sebagai pemenang tempat ketiga selain Anugerah Estetik dianugerahkan kepada Ling Li Fang dari UNIMAP.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Ahmadi Nurdin mewakili Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Ismail Ali.

 

Sumber : Resty Cindy Ony Madis

Jurufoto : Rohaizam Lamdin