ISNIN, 21 OGOS - Seramai 16 pensyarah Kursus Perbankan Islam dan Keusahawanan, Kolej Profesional Mara Bandar Melaka (KPMBM) telah mengadakan lawatan penanda aras ke Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) baru-baru ini.

Delegasi KPMBM yang diketuai Pengarahnya, Hayati Hashim telah mengadakan perbincangan dengan Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Prof. Madya Dr. Hanudin Amin di Bilik Seminar Kiamsam, Bangunan Menara, UMS Labuan.

Turut menyertai perbincangan dua hala itu adalah Timbalan-timbalan Dekan FKAL, Dr. Mohd Rizal Abd Hamid (Penyelidikan dan Inovasi) dan Dr. Mohd Fahmi Ghazali (Hal Ehwal Pelajar), Penyelaras PLUMS, Dr. Anath Rau Krishnan dan Pensyarah Program HE23, Hazmi Dahlan.

Delegasi KPMBM turut melawat Labuan Financial Services Authority (Labuan FSA) dan Institut Kemahiran Mara (IKM) Kota Kinabalu, Sabah.

Ketika di UMS Labuan, rombongan itu dibawa melawat lokasi melihat anak bulan di Aras 13 dan pejabat FKAL di Bangunan Menara.

Dekan FKAL, Prof. Madya Dr Hanudin Amin berkata jaringan kerjasama itu membabitkan kursus dan program yang ditawarkan di fakulti tersebut.

Katanya, kerjasama itu akan memberi manfaat kepada kedua-dua organisasi khususnya pelajar dan pensyarah.

“FKAL akan sentiasa memberi ruang dan peluang kepada jalinan kerjasama dengan KPMBM khususnya yang membabitkan pelajar dan pensyarah,” katanya.

Dr. Hanudin berharap lebih banyak kerjasama berkaitan akademik, penyelidikan dan hal ehwal pelajar akan diadakan dengan kolej tersebut pada masa akan datang.

 

Oleh Azri Onn, UMSKAL

JUMAAT, 18 OGOS - Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) mengadakan Program Bicara Ilmu dan Khidmat Masyarakat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ranau baru-baru ini.

Program tersebut yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu dirasmikan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Dalam ucapannya beliau menyarankan agar masyarakat sentiasa meluangkan masa untuk membaca buku-buku yang boleh meningkatkan ilmu pengetahuan agar mampu menjadi pemikir yang kritis.

Pelbagai pengisian telah diadakan sepanjang program itu berlangsung, antaranya Slot Bicara Ilmu yang membincangkan aspek pemikiran abad ke-21 melalui penceramah dari UMS, Prof. Dr. Vincent Pang dan Prof. Madya Dr. Ho Chong Mun.

Program itu juga memberi peluang kepada murid prasekolah dan pendidikan khas di daerah Ranau mengembangkan jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial melalui penyertaan dalam pertandingan mewarna dibawah kendalian Jaini Sapirai daripada Program Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak, FPP.

Turut diadakan Fun Fair Kedai Mini, selain pameran buku oleh Penerbit UMS dan kaunter maklumat dari Pusat Luar UMS (PLUMS)  bagi mereka yang ingin melanjutkan pendidikan ke UMS.

Program itu dipengerusikan bersama oleh Pensyarah Kanan FPP, Dr. Connie Cassy Ompok dan Yang Dipertua PIBG SMK Ranau, Jasnin Suman.

Turut hadir menjayakan program itu, Pengarah PLUMS, Prof. Dr. Arsiah Bahron dan Pengarah Penerbit UMS, Prof. Madya Dr. Asmady Idris.

 

Sumber: Jaini Sapirai, Fakulti Psikologi dan Pendidikan

 

JUMAAT, 18 OGOS – Program Jom Sihat Bah! Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang telah berlangsung sejak awal tahun ini diteruskan dengan program pendakian ke Puncak UMS.

Dekan FSSA, Prof. Dr. Baba Musta dalam taklimat ringkas sebelum memulakan pendakian berkata, penganjuran program itu secara berterusan menyaksikan terdapat perkembangan positif dengan penyertaan lebih ramai kakitangan terhadap aktiviti berbentuk riadah ini.

“Program ini terus mendapat sokongan dan dilihat telah berjaya mencapai matlamat dalam memupuk amalan hidup sihat melalui aktiviti-aktiviti riadah di luar pejabat.

“Kesibukan dalam melengkapkan tugasan harian di pejabat tidak lagi menjadi alasan untuk para kakitangan mengabaikan aktiviti riadah sebegini yang bermanfaat untuk membentuk kecergasan fizikal dan kecerdasan mental,” katanya.

Sementara itu, salah seorang peserta, Hasmi Hashim berkata, aktiviti itu mampu menjadi salah satu wadah dalam membina sifat berpasukan antara kakitangan di samping mengamalkan budaya hidup sihat dalam diri kakitangan UMS.

“Ini seterusnya memberi kesan positif terhadap moral, prestasi dan komitmen kerja dalam kalangan kakitangan agar lebih bermotivasi dan menyumbang kepada peningkatan budaya kerja yang lebih efektif,” ujar beliau.

Program Jom Sihat Bah! 2017 yang dirancang sepanjang tahun ini melibatkan aktiviti seperti Pendakian Bukit, Pertandingan Futsal, Bola Tampar, dan Boling.

 

Sumber: Kenny Uwai, Fakulti Sains dan Sumber Alam

KHAMIS, 17 OGOS – Bagi memastikan Sistem Purata Nilaian Gred Kumulatif Bersepadu (iCGPA) dapat dilaksanakan secara menyeluruh ke semua program akademik pada masa terdekat, Fakulti Kejuruteraan (FKJ) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan Bengkel Pelaksanaan Sistem iCGPA di Auditorium Yeoh Tiong Lay, Bangunan Yayasan UMS.

Dekan FKJ, Prof. Ir. Dr. Abd. Karim Mirasa dalam ucapan perasmiannya ketika mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, iCGPA telah diperkenalkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia untuk meningkatkan sahsiah dan kreativiti pelajar dalam melahirkan graduan yang holistik bercirikan keusahawanan dan seimbang.

“Dalam usaha mendukung inisiatif yang telah digariskan oleh pihak KPT, serta menyokong aspirasi UMS, FKJ bersama Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) telah komited untuk melaksanakan iCGPA kepada pelajar baharu bagi sesi kemasukan September 2017/2018.

“Sebagai permulaan, dua program yang telah dipilih sebagai program rintis di UMS iaitu Program Kejuruteraan Awam – HK01 dari FKJ dan Program Perakaunan – HE02 dari FPEP,” katanya.

Beliau menambah, bagi menjayakan pelaksanaan sistem tersebut, Pihak Berkuasa Pengurusan Universiti (PBPU) telah memperuntukkan sebanyak RM250,000 yang diagihkan kepada dua fasa dengan tujuan untuk aktiviti pengenalan dan kesedaran terhadap sistem iCGPA, Pembangunan Sistem, Perolehan Perkakasan ICT dan lain-lain yang berkaitan dengan iCGPA.

“Justeru, sejak November 2016, FKJ telah menganjurkan beberapa siri bengkel dalaman iCGPA, dengan yang terbaharu satu siri Bengkel Penyediaan Manual iCGPA UMS pada 9 Ogos lalu bertujuan untuk menyediakan garis panduan dan menerbitkan manual sistem iCGPA UMS yang akan diguna pakai oleh semua pensyarah di universiti ini,” ujar Prof. Ir. Dr. Abd. Karim.

Lebih 50 peserta terdiri daripada ketua-ketua program dan pensyarah menghadiri bengkel sehari tersebut.

Turut menjayakan bengkel itu Pengarah Pusat Jaminan Kualiti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Ir. Dr. Shahrir Abdullah; dan Pengarah Pusat Inovasi dan Daya Saing Akademik, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof. Madya Dr. Mohd. Ruslim Mohamed selaku penceramah jemputan.

Hadir sama, Dekan FPEP Prof. Madya Dr. Raman Noordin, dan Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Strategik dan Akademik (PPSA), Dr. Mohd. Hanafi Ahmad Hijazi.

 

Oleh Mardianah Shamsudin (Pelajar Latihan Industri BPK)

KHAMIS, 17 OGOS – Universiti Malaysia Sabah (UMS) sentiasa melaksanakan pelbagai inisiatif dalam menempatkan nama UMS sebagai pusat rujukan bidang halal serantau.

Naib Canselor UMS, Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, inisiatif tersebut antaranya memperkasakan penerbitan, promosi serta pengkomersialan produk halal tempatan terutamanya ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Usaha untuk menjenamakan UMS sebagai pusat rujukan setempat berkenaan bidang halal di Borneo telah pun bermula sejak tahun 2010, dengan terbaru satu kerjasama antara UMS dan pusat penyelidikan di China, Heilongjiang Academy of Science (HAS) telah mendapat pengiktirafan Pensijilan Halal Malaysia untuk dua produk iaitu Black Garlic dan Black Fungus.

“Kerjasama ini melakar sejarah apabila UMS menjadi universiti pertama melalui anak syarikatnya, UMS Investment Holdings Sdn. Bhd. (UiNVEST) berjaya memperoleh pengiktirafan Sijil Halal Malaysia dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk kedua-dua produk tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan perasmian yang disampaikan Dekan Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP), Prof. Dr. Sharifudin Md Shaarani sempena Program Advokasi Ilmu ‘Memperkasakan Integriti Industri Halal’ di Bilik Seminar FSMP, kelmarin.

Tambah Prof. Dr. Kamarudin, program advokasi ilmu yang dianjurkan itu juga merupakan langkah tepat bagi menyediakan platform untuk menemukan dan mewujudkan peluang kerjasama antara UMS, JAKIM, Majlis Agama Islam Sabah (MUIS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan para pengusaha industri dalam memperkasakan industri halal terutamanya di Sabah.

“Adalah diharapkan dengan perkongsian kepakaran dan pengalaman agensi-agensi yang terlibat pada program ini dapat memberi rangsangan dan keyakinan kepada para pengusaha industri bahawa industri halal memberi pulangan yang lumayan dan seharusnya dipelopori oleh semua pihak,” ujar beliau.

Program sehari itu mendapat penyertaan seramai 70 peserta daripada pelbagai industri yang terlibat dalam bidang halal.

Hadir sama Pengarah JAKIM Cawangan Sabah, Haji Mat Radzi Mat Ali, wakil Pengarah JHEAINS, Ustaz Janis Nawawi, dan Wakil MUIS, Ustazah Shazlina Abdul Rashid.

 

Foto: Nasrul Rukkung, BPK

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.