SELASA, 8 OGOS - Pusat Perakaunan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan Seminar Penyelidikan Perakaunan 2017 baru-baru ini.

Bertempat di Bilik Seminar Perakaunan, FPEP, seminar itu antara lain bertujuan untuk memberi peluang kepada para penyelidik dalam bidang perakaunan untuk membentangkan hasil penyelidikan yang sedang dijalankan, selain menjadi ruang untuk berkongsi buah fikiran dan mengadakan jaringan kerjasama.

Seramai 46 peserta terlibat dalam seminar tersebut,  30 daripadanya adalah kakitangan dan pelajar UMS, manakala selebihnya peserta luar dari beberapa institusi pendidikan tinggi seperti kakitangan Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Teknologi MARA Sabah dan University College Sabah Foundation serta pelajar pascasiswazah Universiti Malaya.

Seminar sehari itu menyaksikan sembilan kertas kerja dibentangkan enam pembentang daripada FPEP UMS, dan tiga pembentang dari UNIMAS, selain ucaptama bertajuk “Contemporary Issues in Accounting Research: The Way Forward” yang disampaikan Dekan Pusat Pengajian Pascasiswazah UMS, Prof. Dr. Rasid Mail yang juga merupakan pakar dalam bidang perakaunan.

Dengan kejayaan penganjuran seminar tersebut, Pusat Perakaunan UMS dijangka akan menjadikan Seminar Penyelidikan Perakaunan sebagai acara tahunan pusat tersebut, dengan perancangan penganjuran berskala besar melibatkan penyertaan lebih ramai peserta dari institusi pendidikan tinggi lain terutamanya dari Semenanjung Malaysia dan kawasan serantau pada masa akan datang.

Sumber: Pusat Perakaunan UMS

ISNIN, 7 OGOS - Kejadian tumpahan merkuri di makmal Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB), Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang dilaporkan dalam akhbar tempatan bertarikh 5 Ogos 2017 merupakan sebuah insiden kecil yang melibatkan sebatang termometer merkuri yang pecah semasa kerja penyelidikan dijalankan. 

Menurut Pengarah IPB, Dr. Zarina Amin, insiden yang berlaku kira-kira jam 10.00 pagi hari Jumaat tidak melibatkan kecederaan kepada pelajar dan kakitangan. 

“Pihak IPB bertindak mengikut Prosedur Standard Operasi (SOP) keselamatan makmal dengan menghubungi Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) Pasukan Bomba dan Penyelamat dari Sembulan bagi membantu dalam pemeriksaan dan pembersihan tumpahan merkuri tersebut," katanya.

Tambah Dr. Zarina, dengan adanya pelan kontingensi lengkap yang disediakan oleh IPB, insiden tersebut berjaya ditangani dengan pantas dan sempurna.                        

JUMAAT, 04 OGOS - Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) sekali lagi mempamerkan kecemerlangan pada Konvensyen KIK peringkat Universiti Awam (UA) yang berlangsung selama tiga hari sehingga kelmarin.

Bertempat di Dewan Ilmu, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), konvensyen KIK kali ke-13 ini menyaksikan UMS diwakili oleh kumpulan Tahammas dan kumpulan Ecotech masing-masing untuk kategori Pengurusan dan Teknikal.

Pada pertandingan itu kumpulan Tahammas muncul sebagai pemenang naib johan bagi kategori Pengurusan sekali gus membawa pulang hadiah berupa wang bernilai RM4,000.

Kumpulan Tahammas turut meraih Anugerah Persembahan Terbaik dan Anugerah Emas dalam kategori yang sama.

Sementara itu, kumpulan Ecotech dalam penyertaan sulung terhadap konvensyen KIK kali ini turut menunjukkan pencapaian memberangsangkan apabila berjaya meraih Anugerah Perak dalam kategori Teknikal.

Kedua-dua kumpulan menerima sijil penarafan atas pencapaian anugerah masing-masing.

 

Oleh Mohd. Fikri Maperi (Pelajar Latihan Industri BPK)

JUMAAT, 04 OGOS - Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB), Universiti Malaysia Sabah (UMS) kini menjadi salah satu pangkalan utama bagi pengusaha restoran makanan di sekitar negeri ini mendapatkan stok ikan air tawar untuk menjalankan perniagaan harian mereka.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Shahril Yusof berkata, antara ikan air tawar yang mendapat permintaan tinggi termasuklah ikan keli.

“Syabas dan tahniah, ini adalah satu pencapaian IPMB yang amat membanggakan.

“Malah UMS melalui institut penyelidikan ini juga dalam perancangan untuk mengembangkan jualan ketam hasil daripada bibit ketam bakau,” katanya.

Beliau berucap demikian ketika merasmikan Bengkel Kemajuan Program Niche Research Grant Scheme (NGRS) di Cafe D’Sireh, hari ini.

Ketika ditemui media, Prof. Dr. Shahril kemudiannya memaklumkan, UMS juga telah menentukan bidang tujahan iaitu bidang akuakultur berdasarkan kedudukan geografi dan tarikan utama negeri ini yang terkenal dengan hasil laut.

“Fokus utama dalam bidang akuakultur ialah menjalankan aktiviti seperti pembibitan anak ikan, pemprosesan makanan ikan dan pelbagai aktiviti lain yang mampu memberi impak positif terhadap perkembangan ekonomi masyarakat dan industri.

“Kita juga telah mengadakan kerjasama dari universiti luar negara seperti Taiwan dan Jepun bagi membantu dalam mengkomersialkan penemuan yang dijalankan oleh para penyelidik UMS,” tambahnya.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah IPMB Prof. Dr. Rossita Shapawi.

 

Oleh Mardianah Shamsudin (Pelajar Latihan Industri BPK)

 

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.