RABU, 25 JULAI - Kira-kira 400 alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS) hadir menjayakan Majlis Sambutan Hari Raya Alumni UMS anjuran Alumni Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) UMS baru-baru ini.

Bertempat di Dewan Auditorium Pascasiswazah UMS, penganjurannya antara lain bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara alumni UMS bersama dengan pihak pengurusan UMS.

Selain itu, ia bagi membentuk kemesraan dan ikatan persaudaraan sesama alumni, selain sebagai medan perkongsian pengalaman antara satu sama lain terutamanya dalam bidang pekerjaan.

Program tersebut turut diserikan dengan kehadiran Ahli Lembaga Pengarah UMS, Datin Hajah Nurlaila Said dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof Dr.Ismail Ali.

Turut hadir, Pengarah Pusat Alumni UMS, Darwis Awang.

 

SELASA, 24 JULAI – Generasi muda pada masa kini perlu lebih kompeten dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) agar negara mempunyai sumber modal insan yang berkemahiran tinggi dan mampu membantu kepada pembangunan negara pada masa hadapan.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, dengan kehadiran Revolusi Industri Keempat (IR 4.0), pelbagai teknologi baru muncul yang menggabungkan dunia fizikal, digital dan biologi dan turut memberi kesan kepada aspek ekonomi, industri bahkan kehidupan manusia.

“Secara asasnya kemunculan teknologi baru ini mengubah cara kita hidup, bekerja dan saling berhubungan sesama manusia.

“Justeru, peralihan ini memerlukan pengetahuan dan kemahiran baru yang luas dengan pembangunan modal insan berasaskan pengetahuan STEM bakal menjadi pemain utama dalam mencari peluang dalam era Revolusi Industri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluan sempena program Cabaran Sains Kebangsaan (NSC) Peringkat Negeri Sabah 2018 di Bilik Seminar, Kompleks Perhutanan Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) UMS.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh wakilnya, Dekan FSSA, Prof. Dr. Baba Musta.

Tambah beliau, di UMS, pelbagai disiplin ilmu berkaitan sains, teknologi, kejuruteraan, dan sains sosial ditawarkan di peringkat pendidikan tinggi dengan harapan dapat menyumbang kepada modal insan yang diperlukan negara serta memangkin kepada daya inovasi dan produktiviti yang lebih baik untuk manfaat masyarakat dan negara.

Sebanyak lima pasukan bertanding dalam NSC, iaitu pasukan dari SM Sung Siew Sandakan, SM Sains Lahad Datu, SMK Arshad Kota Belud, SMK Desa Kencana Lahad Datu dan satu pasukan ‘Wild Card Team’ yang terdiri daripada pelajar dari SM Sains Sabah, SM St. Micheal dan SMK Arshad Kota Belud.

Dalam pertandingan tersebut, pasukan SM Sung Siew diangkat sebagai juara pertandingan, sekali gus melayakkan pasukan berkenaan mewakili Sabah di peringkat kebangsaan pada 9 hingga 15 Ogos di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor.

JUMAAT, 20 JULAI – Kira-kira 300 orang peserta turun padang bagi menjayakan program Gotong Royong Pembersihan Pantai UMS  “Beach Clean Up” di Pantai ODEC UMS, kelmarin.

Program anjuran Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB), Universiti Malaysia Sabah (UMS) melibatkan kakitangan dan pelajar UMS, selain turut disertai beberapa orang peserta luar.

Menurut Penyelaras Program, Prof. Madya Dr. Abentin Estim, acara pembersihan pantai UMS yang bermula pada jam 4.00 petang itu merupakan pembuka tirai kepada beberapa aktiviti dalam program Marine Biodiversity Awareness Week 2018  anjuran IPMB yang akan berlangsung pada 23 hingga 28 Julai akan datang.

“Acara sebegini dapat menyatupadukan warga UMS khasnya pelajar UMS bersama kakitangan UMS sekali gus mewujudkan ikatan silaturahim yang erat serta menyumbang kepada suasana persekitaran yang bersih dan nyaman,” katanya.

Hadir sama Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin; Pendaftar UMS, No’man Ahmad; dan Pengarah IPMB, Prof. Dr. Rossita Shapawi.

 

KHAMIS, 19 JULAI – Bengkel “Early Childhood Music Level II” anjuran bersama Program Muzik Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) Universiti Malaysia Sabah (UMS); Unit Penyelidikan Warisan Borneo UMS; dan The Music Place yang mengaplikasikan pendekatan bertaraf dunia amat sesuai dilaksanakan dalam pembelajaran muzik di peringkat perkembangan awal kanak-kanak.

Menurut Dekan FKSW, Prof. Dr. Ismail Ibrahim, pendekatan tersebut sekali gus membantu kanak-kanak untuk mempelajari pelbagai cara meningkatkan kemahiran menyanyi berasaskan lagu rakyat, lagu kanak-kanak dan lagu yang berbentuk permainan.

“Melalui bengkel ini, guru muzik dapat meningkatkan kemahiran praktikal semasa melakukan aktiviti “hands-on” dengan alat-alat perkusi muzik khas.

“Di samping itu, guru muzik juga dapat meningkatkan kefahaman perkembangan muzik awal kanak-kanak melalui aktiviti pergerakan badan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan perasmian bengkel tersebut yang dibacakan oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) FKSW, Prof. Madya Dr. Dzurizah Ibrahim.

Beliau turut mengalu-alukan kehadiran peserta seramai 42 orang yang terdiri daripada guru muzik dari Korea Selatan, Macau, China, Brunei, Semenanjung Malaysia dan Sabah.

Bengkel yang dikendalikan oleh pensyarah di University of Hawaii, Prof. Dr. Loong Chet Yeng berlangsung selama lima hari dan akan berakhir pada esok.

 

RABU, 18 JULAI – Seramai 63 pelajar Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu menyertai Bengkel Tahsin Solat yang berlangsung di Masjid Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.

Program yang merupakan anjuran bersama kolej tersebut dengan Pusat Islam UMS (PIUMS) dibimbing penceramah dari PIUMS iaitu Ustaz Mohammad Fazri Abdul Hamid dan Ustaz Md. Nazrie Petir.

Menurut Mohammad Fazri,  program tersebut bertujuan memberi pendedahan tatacara solat yang betul sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasullullah SAW.

“Program seumpama ini amat bertepatan dalam usaha membentuk modal insan yang cemerlang dalam kalangan peserta sekali gus menambahkan ilmu berkaitan keagamaan ke arah generasi pewaris tampuk kepimpinan pada masa hadapan.

“Pada bengkel ini, semua peserta turut melakukan praktikal solat dan membaca surah al-Fatihah dengan betul dari segi tajwidnya,” jelasnya lagi.

Hadir sama pada program itu ialah Guru Pengiring Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu, Zainduddin Mohd. Yusoff dan Mohd. Khairi Lebai Ahmad.