SELASA, 4 JULAI - Persatuan Mahasiswa Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (PMPEP) dengan kerjasama 10 Presiden kelab di bawah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) menganjurkan 1st FBEA Luncheon bertempat di Hotel Likas Square baru-baru ini.

Menurut kenyataan PMPEP, majlis makan tengah hari itu melibatkan 137 peserta dengan tema Bring Back Thousand Memories.

Penganjuran tersebut antara lain bertujuan mengiktiraf dan menghargai kejayaan serta sumbangan warga FPEP selain menjadi pendorong dan motivasi kepada para mahasiswa agar meningkatkan kecemerlangan dalam bidang akademik mahupun kokurikulum pada masa hadapan.

Dalam masa yang sama, pelaksanaan majlis itu juga bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama warga FPEP.

Majlis penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik dalam bidang akademik, kepimpinan dan sukan disempurnakan Dekan FPEP, Prof. Madya Dr. Raman Noordin.

Turut menjadi pengisian majlis ialah penyerahan anugerah penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa PMPEP dan presiden kelab serta pelbagai persembahan menarik daripada pelajar.

Hadir sama pada majlis yang dianjurkan buat julung kalinya itu, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Pascasiswazah), Dr. Kamisan Pusiran; Penasihat PMPEP, Wijaya Kamal Ramlan dan para pensyarah FPEP.

 

Sumber: PMPEP

ISNIN, 3 JULAI - Prof. Dr. Shahril Yusof tamat tempoh perkhidmatan sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) pada 30 Jun lalu.

Beliau yang dilantik pada 1 Julai 2012 pada mulanya menyandang jawatan itu selama tiga tahun sehingga 20 Jun 2015 sebelum pelantikannya disambung semula selama dua tahun sehingga tamat tempoh lantikan.

Walau bagaimanapun, Pakar Bedah Ortopedik itu masih berkhidmat di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) sebagai pensyarah dan penyelidik sepenuh masa.

Dalam satu kenyataan, Prof. Dr. Shahril yang dikenali dengan sikap peramah dan mudah bergaul mesra itu turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan UMS atas kerjasama dan sokongan sepanjang perkhidmatannya selaku Timbalan Naib Canselor.

“Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kerajaan Negeri serta pihak industri dan agensi-agensi luar yang sentiasa menyokong usaha-usaha yang dijalankan UMS selama ini khususnya dalam meningkatkan penyelidikan dan inovasi.

“Harapan saya agar seluruh warga kakitangan akademik UMS akan terus mempergiatkan lagi usaha penyelidikan dan inovasi yang manfaatnya boleh dikongsi dengan masyarakat,” katanya.

Prof. Dr. Shahril turut mengucapkan selamat maju jaya kepada calon-calon yang bakal ditemuduga bagi mengisi jawatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi).

“Saya juga akan terus menyumbang bakti untuk kecemerlangan UMS,” ujarnya.   

 

JUMAAT, 30 JUN - Exco Kemasyarakatan Jawatankuasa Blok Ibnu Sina Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Program Lawatan Kemasyarakatan ke Rumah Anak Yatim Al Aman Beaufort baru-baru ini.

Diiringi Felo Penyelaras Blok Ibnu Sina, Mat Usop Haji Rasid dan Timbalan Pengetua Kolej Kediaman E, Mohd. Hilmey Saili, lawatan itu disertai 40 mahasiswa penghuni blok dan kolej berkenaan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh blok itu, ia antara lain dianjurkan untuk memberi peluang kepada para mahasiswa meningkatkan kemahiran berkomunikasi sekali gus memupuk sikap prihatin dalam diri.

Pelbagai aktiviti seperti sesi pembentangan logo, permainan stesen dan persembahan kreatif juga telah diadakan.

Para mahasiswa turut mengambil bahagian bersama anak-anak yatim dalam setiap aktiviti yang dilaksanakan.

Kegembiraan jelas terpancar di muka anak-anak yatim yang gembira dengan setiap acara yang diadakan selain berterima kasih kepada rombongan berkenaan kerana sudi meluangkan masa bersama mereka dengan aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan.

 

Sumber: Blok Ibnu Sina

KHAMIS, 29 JUN - Pelajar Program Perniagaan Antarabangsa, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini menganjurkan ‘Projek Hope 2.0’.

Pengarah program, Vivian Chow berkata, ia diadakan meliputi dua aktiviti iaitu larian amal dan aktiviti melawat rumah anak yatim.

“Aktiviti larian amal berlangsung di Padang Kawad UMS yang disertai mahasiswa dan orang awam, manakala aktiviti melawat rumah anak yatim telah diadakan di Rumah Anak Yatim As-Sakinah dan Care Haven, Kota Kinabalu,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, Projek Hope 2.0 antara lain bertujuan untuk memberi pendedahan dan kesedaran kepada para peserta tentang khidmat masyarakat selain sebagai usaha untuk mahasiswa menyumbang bakti kepada komuniti setempat.

“Dalam masa yang sama, program ini juga mengeratkan silaturahim sesama mahasiswa yang terdiri daripada latar belakang berbeza sekali gus mengukuhkan perpaduan dan menjayakan pelaksanaan konsep 1Malaysia,” kata Vivian.

Beliau turut menyuarakan harapan agar program seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang kerana mampu memberi pengalaman yang baik kepada para mahasiswa di samping membolehkan mereka membantu masyarakat kurang bernasib baik.

Program selama dua hari itu turut dijayakan dengan bantuan para pensyarah FPEP, UMS.

 

Sumber:  Program Perniagaan Antarabangsa

RABU, 28 JUN - Seramai 40 pelajar wanita Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyertai Bengkel Pengurusan Penampilan dan Imej (BPPI) yang dianjurkan Persatuan Mahasiswa Psikologi dan Pendidikan (PERMAPS) baru-baru ini.

Bertempat di Dewan Kuliah Pusat 29, bengkel tersebut diadakan dengan kerjasama Charismatic Leaders Academy (CLA).

Menurut kenyataan PERMAPS, antara aktiviti yang dijalankan termasuklah taklimat bertajuk “Building Confidence: Attitudes & Attire”, sesi bual bicara kecantikan dan keyakinan diri serta  kelas solekan “Night & Day Look”.  

Menurut kenyataan itu lagi, bengkel tersebut dilaksanakan bagi mendidik para peserta mengenai pentingnya penjagaan penampilan dan imej dalam pembentukan sahsiah diri seseorang yang bergelar mahasiswa.

Majlis perasmiannya disempurnakan Pensyarah Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Dr. Crispina Gregory K. Han.

Dalam ucapannya, beliau berharap agar program seumpama itu dapat diteruskan kerana mampu memberi pelbagai manfaat khususnya dalam mendidik para pelajar dalam aspek penampilan sekali gus meningkatkan keyakinan diri.

 

Sumber: PERMAPS

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.