SELASA, 19 SEPTEMBER – Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman E sekali lagi berjaya menganjurkan Program Seerat Salam Sesi 2017/2018 selama seminggu bertempat di kolej kediaman berkenaan.

Program tahunan kolej kediaman itu yang berlangsung sehingga Ahad bertujuan memperkenalkan Kolej Kediaman E serta pihak pengurusan kepada siswa siswi baharu yang telah mendaftarkan diri di kolej tersebut.

Antara pengisian sepanjang Minggu Seerat Salam termasuklah Malam Pengenalan dan Taklimat Peraturan Kolej, Taklimat Kesihatan dan Malam Bersama Pemimpin, Malam Pengenalan Kelab, Ceramah Perdana dan Moral, Latihan dalam Kumpulan, Megarewang, Gotong-royong dan Malam Seribu Bintang yang merupakan malam penutupan bagi program ini.

Pada Malam Seribu Bintang, lebih 2,000 pelajar telah membanjiri Anjung Perdana Kolej Kediaman E bagi bersama-sama memeriahkan majlis penutupan yang turut dihadiri Pengetua Kolej, Dr. Syahruddin Hj. Awang Ahmad, dan Timbalan Pengetua Mohd Hilmey Saili.

Dalam ucapannya, Dr. Syahruddin turut menyuarakan harapan agar siswa siswi baharu dapat menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pelajar dengan baik, seterusnya memperkuat dan menggandakan usaha untuk mencapai cita-cita yang diimpikan selama ini.

 

Sumber: Kolej Kediaman E

 

 

 

SELASA, 19 SEPTEMBER - Hampir 200 warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan jemputan luar menyertai ceramah Industrial Revolution (IR) 4.0 yang berlangsung di Galeri Majlis, UMS hari ini.

Ceramah yang disampaikan Pengarah Strategi Perisian IBM Venture Capital Group, Deborah Magid itu membincangkan tentang revolusi industri seiring perkembangan teknologi serta impaknya kepada masyarakat dunia.

Deborah berkata, IR 4.0 bakal menyaksikan pelbagai kemajuan termasuk kemungkinan pergerakan kereta tanpa pemandu, penggunaan drone yang meluas dalam pelbagai aspek seperti penghantaran pakej barangan, bantuan kecemasan dan sebagainya.

"Penggunaan robot bagi memudahkan kerja-kerja yang pada ketika ini dilakukan oleh manusia juga akan dilihat dan ia sebenarnya sudah pun bermula di peringkat awal untuk di beberapa negara tertentu," katanya.

Tambah Deborah, yang menariknya juga ialah maklumat-maklumat akan menjadi lebih mudah melalui teknologi satelit yang juga bakal mengalami revolusi.

"Sebagai contoh kita boleh melihat bencana alam yang sedang berlaku di sesebuah tempat secara online streaming atau mana-mana saluran yang dihubungkan satelit berkenaan secara langsung," jelas beliau.

Terdahulu, Deborah turut bersama-sama Kaunselor Perhubungan Awam Duta Amerika Syarikat,  Bradley Hurst mengadakan kunjungan hormat kepada Pemangku Timbalan Naib Canselor UMS, Prof. Dr. Rasid Mail  yang mewakili Naib Canselor.

Hadir sama Dekan Fakulti Komputeran dan Informatik, Prof. Madya Dr. Ag. Asri Ag. Ibrahim dan Pegawai-pegawai Kanan UMS.

 

 

Foto: Suzeanywati Gasinin

JUMAAT, 15 SEPTEMBER – Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan telah memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) dalam satu majlis di Galeri Majlis, pagi tadi.

MoU tersebut ditandatangani oleh Naib Canselor UMS, Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin, dan Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Dato’ Abu Bakar Ab. Rahim, dengan disaksikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Panglima Dr. Salleh Tun Said Keruak.

Melalui kerjasama itu, pelajar-pelajar UMS berpeluang untuk menjalani kursus atau latihan praktikal dalam bidang penyiaran dan kewartawanan anjuran RTM tertakluk kepada kekosongan dan keperluan sumber manusia semasa.

Selain itu, RTM juga boleh menghantar pegawai-pegawainya mengikuti kursus dan latihan di UMS dalam pelbagai bidang yang berkaitan dengan kerjaya mereka tertakluk kepada syarat-syarat kelayakan masuk UMS.

Kedua-dua organisasi juga akan saling mendapatkan khidmat dan tenaga pengajar dari RTM dan UMS untuk mengendalikan kursus-kursus dalam bidang tertentu mengikut kepakaran masing-masing, yang mencakupi bidang penyelidikan dan pembangunan, kemudahan komunikasi dan media, penerbitan dan siaran, serta bidang teknikal.

Dalam pada itu, Prof. D Kamarudin berkata, MoU yang akan berkuat kuasa selama tempoh lima tahun ini bertujuan untuk menguatkan, meningkatkan dan mengembangkan kerjasama dan usaha sama dalam bidang penyiaran, kewartawanan dan teknikal berdasarkan prinsip-prinsip, ekuiti dan manfaat bersama.

“Ini adalah selaras dengan keperluan Revolusi Perindustrian 4.0 di mana universiti perlu mengangkat kaedah pembelajaran fleksibel sebagai inisiatif ke arah mereka bentuk semula pendidikan tinggi,” ujar beliau.

 

KHAMIS, 14 SEPTEMBER - Menjelang sambutan Hari Malaysia pada 16 September 2017, Pusat Minda Lestari (PML) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia dengan tema Negaraku Sehati Sejiwa, hari ini.

Seramai 50 murid PML menyertai program tersebut dengan memakai baju tradisi serta pakaian berkonsepkan Jalur Gemilang bagi memeriahkan acara.

Ketika merasmikan program sambutan itu, Yang Dipertua Kelab Surirumah dan Staf Wanita Universiti Malaysia Sabah (Kesumba), Roha Asmara berkata, penganjuran program seupama itu merupakan salah satu usaha untuk mewujudkan rasa cinta kepada negara dalam kalangan generasi muda.

“Sambutan ini perlu diteruskan untuk meningkatkan semangat patriotisme dalam diri anak-anak kita.

“Justeru, adalah menjadi harapan saya agar PML dapat membangunkan modal insan yang dapat mewarisi kecekalan dan keberanian generasi terdahulu serta mampu mengekalkan keharmonian dalam kepelbagaian kaum,” katanya.

Sementara itu, Pengarah PML, Aidah Noordin berkata, program tersebut merupakan salah satu aktiviti PML bagi memupuk semangat perpaduan dan memberi pendedahan kepada murid, guru dan ibu bapa tentang kesedaran serta kesyukuran mengenai perjuangan kemerdekaan tanah air yang dirintis oleh para pemimpin terdahulu.

“Pada sambutan tahun ini, PML turut mengadakan perarakan kemerdekaan dengan melibatkan guru-guru, ibu bapa, kakitangan dan juga murid-murid pada 11 September yang lalu.

“Ini salah satu cara untuk kita menyemai semangat 1Malaysia dalam kalangan anak-anak serta menghargai jasa pejuang kemerdekaan negara,” ujarnya.

Pada sambutan tersebut, KESUMBA turut menyumbangkan sebanyak empat rak buku untuk kegunaan pembelajaran di PML.

Beberapa aktiviti lain turut diadakan seperti tayangan video kemerdekaan, pertandingan Fesyen Merdeka Sehati Sejiwa, cabutan bertuah, pertandingan mewarna serta persembahan daripada murid-murid dan ibu bapa.

Foto : Nasrul Rukkung

KHAMIS, 14 SEPTEMBER - Perbezaan anutan agama dalam masyarakat majmuk di Malaysia seharusnya dihormati dan dijadikan sebagai kekuatan terhadap asas perpaduan masyarakat di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral (B) Dato' Seri Jamil Khir Baharom berkata, ini penting dan seharusnya dikekalkan dan diperkukuh tatkala negara pada masa ini hidup dalam keadaan aman dan harmoni serta mengalami pembangunan pesat sejak mencapai kemerdekaan 60 tahun yang lalu.

"Pembangunan negara dan pertumbuhan ekonomi tidak akan berhasil sekiranya tidak wujud kesepaduan dalam kalangan rakyat.

"Justeru, usaha sama erat antara kerajaan dan rakyat secara keseluruhan adalah diperlukan bagi mengekalkan keamanan dan keharmonian, dan kesedaran sebegini mampu membantu usaha mempertahankan negara Malaysia sebagai sebuah negara merdeka yang berdaulat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan program Dialog Antara Penganut Agama di Dewan Canselor, UMS.

Menurut beliau, penganjuran dialog antara berlainan agama mampu menjadi platform dalam memperkukuh kerangka perpaduan negara dengan menyelami dan menghormati perbezaan antara agama.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin menyeru warga UMS khususnya agar mengukuhkan sikap bersangka baik sesama warga, berpersepsi positif dan melihat sesuatu daripada pelbagai sudut serta tidak bersikap mudah menghukum terhadap pihak lain.

"Sinergi dalam kalangan pelajar datang daripada pelbagai latar belakang budaya dan agama mampu menatijahkan iklim kampus yang sihat dan kondusif.

"Bermula daripada kehidupan bermasyarakat di kampus, kita harus memahami bahawa pembinaan negara yang aman dan harmoni merupakan perjuangan kolektif yang didukung oleh masyarakat pelbagai etnik dan agama," ujar beliau.

Dialog anjuran bersama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dengan kerjasama UMS serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) antara lain adalah bagi memenuhi hasrat negara memupuk kesepaduan masyarakat melalui program ilmiah dalam kalangan penganut pelbagai agama dan merupakan satu usaha penting dalam memperkasa hubungan antara penganut agama.

Dialog tersebut dikendalikan Pensyarah dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Ustaz Muhammad Hasbi Abdul Rahman, dan melibatkan lima panel, iaitu pensyarah kanan UMS, Dr. Sarip Adul sebagai panel agama Islam; Ahli Jawatankuasa Kerja Majlis Belia Malaysia, Thai Ming Yeow sebagai panel agama Buddha; Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Ooli Gunalan Manickam sebagai panel agama Hindu; Presiden Christian For Peace and Harmony Malaysia, Wong Kim Kong sebagai panel Agama Kristian; dan Pemegang Kursi Kadazandusun UMS, Prof. Madya Dr. Andreas Totu sebagai panel peribumi Sabah.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.