RABU, 26 SEPTEMBER – Sambutan Hari Ozon Sedunia 2018 Peringkat Negeri Sabah yang diadakan baru-baru ini mampu membina minda, nilai jati diri dan tingkah laku hijau dan lestari  kepada semua peserta yang terdiri daripada kalangan generasi muda.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, sambutan peringkat negeri Sabah itu merupakan satu lagi output positif dalam iltizam ke arah merealisasikan tuntutan agenda EcoCampus, bukan hanya untuk warga universiti bahkan untuk semua golongan muda yang belajar di institusi pengajian tinggi yang ada di Kota Kinabalu dan negeri Sabah amnya.

“Program hari ini telah dimeriahkan dengan penyertaan kira-kira 150 peserta dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah, Politeknik Kota Kinabalu, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Kinabalu serta Institut Kemahiran Mara (IKM) Kota Kinabalu di samping para pempamer (Ozone Stations) terdiri daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang berteraskan penglibatan belia.

“Sehubungan itu, saya berharap agar para peserta memanfaatkan sebaik mungkin peluang ini untuk memperluaskan kesedaran dan memperkasakan pengetahuan berkaitan dengan ozon sepanjang program ini berlangsung. Syabas dan tahniah juga kepada semua jawatankuasa pelaksana bersama dari Jabatan Alam Sekitar Negeri Sabah dan Pusat Pengurusan EcoCampus UMS yang telah menjayakan penganjuran program ini,” katanya. 

Beliau berucap demikian ketika merasmikan sambutan tersebut di Pantai Pusat Pembangunan Luar (ODEC) UMS.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Sabah, Tunku Khalkausar Tunku Fathahi dalam ucapannya berkata, bersempena sambutan Hari Ozon Sedunia itu, beberapa kempen kesedaran turut diadakan bertujuan untuk menyampaikan maklumat berkaitan kepentingan melindungi lapisan ozon dan bahan-bahan yang boleh merosakkan lapisan ozon serta pendedahan kepada para pelajar berhubung dengan usaha-usaha kerajaan dalam melindungi lapisan tersebut.

“Usaha memelihara dan pemuliharaan alam sekitar adalah tanggungjawab kita bersama, setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak UMS atas kerjasama selaku penganjur bersama bagi program ini, dan harapan saya agar kerjasama seumpama ini akan terus kekal dan akan membawa impak positif yang lebih besar dalam memupuk kesedaran masyarakat terhadap alam sekitar,” katanya.

Turut hadir, Pengarah Pusat Pengurusan EcoCampus, Prof. Madya Dr. How Siew Eng dan Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan EcoCampus,  Kueh Boon Hee.

RABU, 26 SEPTEMBER - Hampir 600 peserta menyertai UMS Color Run 2018 anjuran Persatuan Pelajar Pascasiswazah UMS (PSA) dengan sokongan Pusat Pengajian Pascasiswazah dan kerjasama Pusat Pengurusan EcoCampus UMS baru-baru ini.

Larian sejauh lima kilometer itu menyaksikan penyertaan rata-rata terdiri daripada orang awam sekitar UMS dan peserta dari luar Kota Kinabalu.

Selain diisi dengan acara larian, program yang dianjurkan bersempena dengan sambutan Hari Malaysia itu turut dimeriahkan lagi dengan acara simbolik penanaman pokok, cabutan tiket bertuah, dan percikan serbuk warna.

Majlis perasmiannya disempurnakan Dekan Pusat Pengajian Pascasiswazah, Prof. Dr. Hajah Arsiah Haji Bahron menerusi gimik penanaman pokok sebelum acara pelepasan larian dilakukan.

Dalam pada itu, Pengarah Program, Mohd Norfadli berkata, keputusan untuk menggunakan serbuk warna dalam program sambutan Hari Malaysia 2018 adalah satu gambaran terhadap elemen rakyat Malaysia yang berasal dari kepelbagaian kaum dan etnik dengan adat dan kepercayaan agama yang berbeza.

“Warna-warni yang terhasil ini menjadikan baju putih yang dipakai oleh para peserta menjadi kelihatan lebih menarik bila terkena percikan warna yang merupakan gabungan warna yang terdapat pada Jalur Gemilang,” katanya.

Penasihat Program, Dr. Jakaria Dasan pula berkata, objektif utama program tersebut  bukan sahaja untuk menggalakkan cara hidup sihat menerusi aktiviti sukan, tetapi juga untuk mewujudkan satu komuniti yang sentiasa hidup harmoni dan ceria sesama mereka.

Beliau yang juga Timbalan Dekan (Kebajikan Pelajar) Pusat Pengajian Pascasiswazah UMS memberitahu objektif itu dicapai apabila hadiah-hadiah cabutan tiket bertuah adalah merupakan sayur-sayuran, buah-buahan, telur, ikan, dan ayam.

Dalam nada yang sama, Prof. Dr. Hajah Arsiah juga menekankan bahawa sudah tiba masanya aktiviti-aktiviti cara hidup sihat itu bukan sahaja menanam sikap untuk memenangi sesebuah pertandingan semata-mata, sebaliknya memastikan agar acara seumpama itu dijadikan medan untuk mengeratkan ikatan kekeluargaan dan meningkatkan rangkaian kenalan dalam kalangan anggota masyarakat.

Larian yang memerlukan para peserta menempuhi laluan di persekitaran UMS yang berbukit menyaksikan Zulhajjia Alwi muncul sebagai pemenang bagi kategori lelaki, Hasrin Herma di tempat kedua dan Vilvin Alex mendapat tempat ketiga.

Bagi kategori wanita pula, Darlina Matius memenangi tempat pertama, disusuli Liza Suriana Peter di tempat kedua, dan Mimi Udi di tempat ketiga.

 

Sumber: Dr. Jakaria Dasan

 

RABU, 26 SEPTEMBER - Sabah menyambut baik perbincangan berkenaan pembangunan usahawan tani sebagai usaha untuk melindungi sektor buah-buahan tropika yang ada di negeri ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, kerajaan negeri mengambil maklum cabaran yang dihadapi sektor buah-buahan tropika, termasuk kewujudan perosak dan penyakit dengan melihat secara serius masalah tersebut.

“Bagi Sabah, untuk menempatkan diri sebagai pengeluar buah-buahan tropika utama di rantau ini, kerajaan negeri terus memperkukuh tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan, penguatkuasaan kuarantin dan pembangunan usahawan tani.

“Kerajaan akan melihat isu ini dengan lebih serius, agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian negeri giat mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan jangkitan penyakit tanaman dengan menguatkan prosedur kuarantin serta penguatkuasaan di kesemua pintu masuk di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan Antarabangsa Buah-buahan Tropika, Perosak dan Penyakit (Troped) 2018 di Hotel Le Meridien Kota Kinabalu anjuran International Tropical Fruits Network (TFNet) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Dr. Daud Yusof.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin menyeru para penyelidik agar mengambil peluang menerusi pelbagai bantuan yang diberikan oleh kementerian untuk menjalankan penyelidikan.

Tambahnya ia amat penting dalam pembangunan teknologi dan inovasi baharu seperti aplikasi komputer dan proses pengkomersialan bagi menangani masalah kejatuhan pengeluaran buah-buahan tropika secara global.
Persidangan selama tiga hari itu turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Mohd Sallehhuddin Hassan dan Pengarah Jabatan Pertanian Sabah, Datuk Idrus Shafie.

 

 

SELASA, 25 SEPTEMBER – Program Motivasi Menyeluruh di 4 Dimensi (WM4D) mampu membantu masyarakat menyedari hala tuju dan matlamat kehidupan untuk memajukan diri seterusnya membangunkan negeri dan negara.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Apdal berkata, program itu yang merangkumi perbincangan menyeluruh berkaitan inspirasi, transformasi dan motivasi dalam empat dimensi iaitu “Emosi, Minda, Qalbu (kalbu) dan Rohani (EQMR)” adalah relevan untuk tujuan tersebut dan ke arah mencapai kesejahteraan sosial.

“Pada pengamatan saya, EMQR yang berada dalam diri setiap orang merupakan faktor utama yang mempengaruhi watak seseorang serta nilai murni dan keupayaan berinteraksi dan bertindak balas secara rasional dengan persekitaran yang mencabar ini.

“Ini amat penting bagi kerajaan negeri menggarap jaminan sosial yang lain seperti kebebasan beragama, perlindungan kepada hak asasi serta pelaksanaan undang-undang yang melindungi kepentingan dan menjamin keselamatan, kesejahteraan dan keharmonian semua rakyat serta ketenteraman awam,” katanya dalam teks ucapan perasmian program WM4D yang dibacakan Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Mohammad Muhamirin di Auditorium Perpustakaan UMS, baru-baru ini.

Datuk Seri Mohd Shafie turut menyuarakan sokongan terhadap tajuk-tajuk yang dibentangkan pada program itu yang disifatkannya amat bertepatan dengan dasar Kerajaan Negeri terutamanya dalam aspek pendidikan yang holistik untuk membina generasi berbilang kaum yang berakhlak mulia, saling sayang-menyayangi dan menghormati antara satu sama lain, seterusnya memperteguhkan keharmonian kaum di negeri ini.

“Saya sebagai Ketua Menteri menyokong penuh program bertaraf dunia ini dan berharap dapat diperluaskan ke merata tempat pada masa akan datang,” ujarnya lagi.

Hampir 200 peserta menyertai Program WM4D itu yang merupakan anjuran gabungan kerjasama Jabatan Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Global Systematic Education (GSE) Sdn. Bhd. Kuala Lumpur dan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA).

Terdahulu, Pengarah Gobal Systematic Education, Jualiazira Jamain dalam ucapannya berkata, program itu merupakan sebuah program motivasi menyeluruh untuk pengisian di empat tahap kesedaran dalam diri manusia iaitu emosi, minda, kalbu dan rohani.

“Masa kini masyarakat semakin berkecamuk khususnya yang melibatkan masalah dalaman emosi dan minda, maka program ini dirancang melalui tiga objektif utama iaitu mencetuskan inspirasi peserta, memberi garis panduan kepada peserta untuk mentransformasikan EMQR mereka dari negatif kepada positif dan memberi garis panduan kepada peserta agar mampu memotivasikan diri sendiri secara berterusan dan berkesan,“ katanya.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pustakawan Kanan UMS, Zawawi Tiyunin; mantan Ketua Pustakawan UMS pertama, Che Salmah Che Mehamood; dan mantan Ketua Pustakawan UMS kedua Dg. Rukiah Ag. Amit.

SELASA, 25 SEPTEMBER - Seramai 13 Profesor Adjung Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) diraikan dalam satu Majlis Makan Malam Penghargaan dan sesi penyerahan surat pelantikan Profesor Adjung baharu di salah sebuah hotel terkemuka di Kota Kinabalu baru-baru ini.

Berucap pada majlis itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi)  UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof berkata, pihak universiti berterima kasih atas kesudian kesemua 13 Profesor Adjung FPSK menerima pelantikan itu.

“Terima kasih juga kerana sudi menyumbang ilmu dan kepakaran dalam bidang masing-masing kepada universiti ini,” katanya yang mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin.

Sementara itu, Dekan FPSK, Prof. Dr. Saffree Jeffree berkata, majlis itu diadakan bertujuan menghargai jasa dan bakti Profesor Adjung FPSK dan seterusnya menyerahkan surat pelantikan kepada Profesor Adjung baharu Fakulti.

Antara senarai Profesor Adjung FPSK termasuklah Prof. Adjung Datuk Dr. Christina Rundi, Prof. Adjung Datuk Dr. Ajaz Ahmad Nabijan dan Prof. Adjung Dato’ Dr. Raman Muthukarupan.

Turut hadir pada majlis itu wakil Pendaftar UMS, Samsuidin Nurdin; Ketua Pegawai Eksekutif HUMS Prof. Madya Dr. Helen Lasimbang; Timbalan Dekan Akademik dan Pengantarabangsaan FPSK, Dr. Fairrul Kadir; Timbalan Dekan Penyelidikan dan Pascasiswazah FPSK, Dr. Mohd. Firdaus Mohd. Hayati; Timbalan Dekan Hal-Ehwal Pelajar dan Jaringan Komuniti, Prof. Dr. Kew Seih Teck; dan Timbalan Pendaftar FPSK, Hasmi Hashim.