ISNIN, 16 OKTOBER - Siswa-siswi Universiti Malaysia Sabah (UMS) merupakan antara 3,000 orang peserta yang memanfaatkan penganjuran Program Keusahawanan Coca Colaku Via KPDNKK dan UMS sebagai asas mendalami kemahiran dan pengetahuan berkaitan keusahawanan baru-baru ini.

Program anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bersama Coca-Cola Malaysia dengan kerjasama Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Keusahawanan (ERDEC) UMS itu menyasarkan kepada semua usahawan dan bakal usahawan khususnya penuntut institusi pendidikan tinggi untuk mendapat latihan dan sokongan dalam bentuk peningkatan pengetahuan dan kemahiran dalam mengembangkan perniagaan.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, penganjuran program ini di kampus UMS juga selari dengan usaha Kementerian Pendidikan Tinggi untuk membudayakan dan menghasilkan graduan bercirikan keusahawanan.

“Matlamat utama program ini adalah supaya peserta yang telah diberikan latihan dapat memulakan perniagaan mereka sendiri secara mikro atau kecil-kecilan.

“Melalui kerjasama ini diharap akan dapat mencapai matlamat untuk membangunkan masyarakat, mempertingkatkan pendapatan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan perasmian program tersebut, yang disampaikan oleh Dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin di Dewan Kuliah Pusat Ke-2, UMS.

Tambah beliau, pihak ERDEC sememangnya telah merancang pelbagai aktiviti bercirikan keusahawanan bagi memastikan graduan UMS dapat mendalami ciri-ciri keusahawanan, dan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang dilaksanakan KPDNKK dan Coca-Cola Malaysia melalui program ini mampu menyokong usaha tersebut.

“Saya yakin para pelajar UMS bersama komuniti setempat dapat memanfaatkan usaha murni ini dan menjadi usahawan yang berjaya,” ujar beliau.

Hadir sama pada majlis tersebut Pengarah ERDEC, Dr. Bonaventure Boniface, Ketua Perhubungan Awam dan Komunikasi Malaysia, Singapura-Brunei Coca-Cola Bottling Investment Group, Finaswani Mohd Zain dan wakil Pengarah KPDNKK, Geoffrey Gumalang.

JUMAAT, 13 OKTOBER - Lebih 100 peserta dari dalam dan luar negara menyertai ‘Borneo International Social Work Symposium 2017’ yang dianjurkan Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) bermula kelmarin.

Simposium yang diadakan selama dua hari itu bertujuan membincangkan pelbagai aspek bidang kerja sosial dalam kalangan masyarakat majmuk yang dibentangkan oleh para pensyarah, pelajar serta pengamal sosial.

Ketika merasmikan simposium tersebut, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Dr. Shahril Yusof berkata, setiap negara harus menjaga kebajikan warganya dalam semua sudut termasuk keselamatan, ekonomi dan pendidikan.

“Namun, sebaik mana pun sesebuah kerajaan, pasti ada masyarakat yang terpinggir daripada menerima perlindungan ini.

Oleh itu, setiap daripada kita harus menghulurkan bantuan dan saling menjaga orang di sekeliling kita untuk menjadikan kehidupan lebih harmoni dan sejahtera,” katanya.

Beliau turut menyeru agar para pelajar UMS dapat turut serta dalam menjalankan aktiviti kerja sosial kepada masyarakat terutamanya yang berada di kawasan luar bandar.

“Melalui pendedahan ini, kita akan dapat melahirkan graduan yang mempunyai kemahiran insaniah yang mantap dan sensitif kepada persekitaran mereka sebagai persediaan memasuki alam kerjaya nanti,” tambahnya.

Pada program tersebut, dua ucaptama disampaikan oleh Pengarah Asian Research Institute for International Social Work (ARIISW), Profesor Dr. Tatsuru Akimoto dan Dekan Kolej Sains Sosial, Chonbuk National University Korea, Profesor Dr. Choi Wongyu.

Turut hadir, Dekan FPP, Profesor Dr. Mohd. Dahlan A. Malek.

KHAMIS, 12 OKTOBER – Seramai 409 peserta menjayakan program Run & Ride Charity Integrity 2017 anjuran Sekretariat Rakan Integriti Mahasiswa (SRIM) Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.

Bertempat di Dataran Padang Kawad UMS, program julung kalinya itu telah menerima penyertaan beberapa organisasi berbasikal tempatan, antaranya Gabungan Basikal Likas (GBL) dan Unggun Cycling Club Kota Kinabalu, selain penyertaan pelajar kokurikulum basikal UMS, warga UMS serta orang awam.

Program duathlon yang berorientasikan basikal dan larian itu bertujuan untuk melahirkan masyarakat yang cergas dan aktif, selain menjadi medium untuk mengumpul dana bagi Tabung Amanah Orang Kurang Upaya (OKU) UMS.

Hasil daripada program tersebut, pihak penganjur berjaya mengutip dana sebanyak RM2,646 yang kemudiannya diserahkan kepada wakil Bahagian Kebajikan dan Kewangan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS, Ahirunnisham Ahmad.

Terdahulu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Dr. Ismail Ali dalam ucapan perasmian program itu berkata, program tersebut mampu memberi impak positif kepada peserta dalam memupuk nilai-nilai murni melalui aktiviti sukan.

“Program sebegini wajar dilaksanakan kerana mampu memupuk sikap integriti dalam kalangan siswa siswi, dan diharap akan ada kesinambungan bagi program ini pada masa akan datang agar nilai-nilai murni terus dapat disemai dalam diri setiap insan,” katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan Pegawai Belia dan Sukan, Charles Thomas.

Program itu turut diserikan dengan persembahan daripada Kelab Lentera Tari, Kolej Kediaman Excellent, UMS.

 

Sumber: Jabatan Hal Ehwal Pelajar

KHAMIS, 12 OKTOBER – Program pencegahan dadah perlu dikaji dan diberi suntikan idea baru bagi memastikan gejala penyalahgunaan dadah dalam kalangan kumpulan sasar dapat dikurangkan.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Dr. Shahril Yusof berkata, program pencegahan sedia ada dilihat belum memadai untuk mengurangkan statistik kes berkaitan gejala dadah di negara ini.

“Untuk itu, pelajar Pascasiswazah UMS khususnya perlu mencari alternatif baru bagi mewujudkan satu program pencegahan yang lebih efektif dengan menumpukan kepada kumpulan sasar yang berisiko untuk terdedah  kepada penyalahgunaan dadah.

“Hasil kajian itu nanti mampu diketengahkan kepada agensi berkaitan untuk tujuan pencegahan sekali gus membantu kerajaan dalam menangani isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Interaktif Peringkat Kebangsaan: Kaunseling dan Penyalahgunaan Dadah, Smart Sharing Programme (SHARP) 2017 di Dewan Resital UMS.

Beliau menambah, pelajar tidak seharusnya takut untuk gagal dalam kajian yang dijalankan, sebaliknya terus memberi cadangan program pencegahan yang boleh memberi manfaat kepada kumpulan sasar.

Terdahulu, Dekan Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) UMS, Prof. Dr. Mohd Dahlan A Malek berkata, seminar tersebut adalah program tahunan yang bertujuan untuk memberi pendedahan tentang punca dan kesan penyalahgunaan dadah.

Di samping itu, seminar itu turut memberi kefahaman mengenai kaedah sesuai dalam membasmi penyalahgunaan dadah serta mengenal pasti usaha bersesuaian untuk membasmi gejala tersebut.

Seminar anjuran pelajar Pascasiswazah Program Sarjana Psikologi Kaunseling (Penyalahgunaan Dadah) SPADA itu berlangsung selama dua hari sehingga hari ini.

RABU, 11 OKTOBER – Siri syarahan Majlis Profesor Negara  (MPN) Chapter Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menyentuh isu hak asasi manusia kelmarin mendapat perhatian siswa-siswi UMS yang berpeluang untuk mendalami pelbagai isu berkaitan hak asasi daripada pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).

Syarahan bertajuk “Hak Asasi Manusia di Malaysia dan Rantau ASEAN” yang disampaikan oleh Pengerusi SUHAKAM, Tan Sri Razali Ismail memfokuskan mengenai pendekatan dan kedudukan Malaysia dalam aspek hak asasi manusia di rantau ini.

Syarahan tersebut turut menyentuh perbincangan berkaitan isu-isu seperti kemasukan pendatang dan pelarian ke negara ini, pelaksanaan hukum hudud di Malaysia,  dan hak asasi bagi golongan Lesbian, Gays, Bisexsuals dan Transgender (LGBT) dalam sesi soal jawab  bersama pelajar.

“Saya amat gembira dengan respons positif para pelajar yang berminat mendalami isu-isu hak asasi manusia.

“Ini bermakna pihak SUHAKAM perlu memainkan peranan lebih besar dalam memberi lebih pendedahan dan pengetahuan kepada siswa-siswi universiti khususnya di UMS berkaitan isu-isu sebegini,” katanya.

Tambah beliau, Sabah merupakan sebuah negeri yang menjadi contoh terbaik dalam aspek keharmonian antara kaum serta penghormatan masyarakatnya terhadap hak asasi setiap individu.  

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof, Prof. Datuk Dr. Hj Kasim Md Mansur sebagai moderator, dan Pengerusi MPN-Chapter UMS, Prof. Dato’ Mohd Hamdan Adnan.

 

Foto: Musaab Umair

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.